Skip to main content

Singapura

Majlis Seni Kebangsan cari pengendali bagi teater baharu 1,000 tempat duduk Tanglin

Anggaran Waktu Membaca:
Majlis Seni Kebangsan cari pengendali bagi teater baharu 1,000 tempat duduk Tanglin

Gambaran artis teater seni persembahan yang akan menjadi sebahagian daripada pembangunan semula Tanglin Shopping Centre, yang dijadual siap menjelang 2030. (Gambar: Pacific Eagle Real Estate)

Diterbitkan : 24 Sep 2026 10:46PM
National Arts Council seeks operator for new 1,000-seat theatre in Tanglin
  • The National Arts Council, supported by MCCY, opened an expression of interest on Sep 23 to find an operator for a new 1,000-seat theatre in Tanglin, with a decision expected in the second quarter of 2027.
  • The operator will have to manage programming, operations, finances and amenities, while bringing in quality international performances and allocating at least 30 per cent of usage days to local arts groups.
  • Dr Samuel Wong and Ms Usha Chandradas said the project requirements may be challenging for local groups, but partnerships with international operators could open up networks, expertise and opportunities to export works.
  • PERE is waiving base rent for the 20-year lease, but the operator will still bear operating costs, with success to be assessed by the tangible benefits to Singapore's arts scene.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Majlis Seni Kebangsaan (NAC) sedang mencari pengendali bagi teater baharu dengan kapasiti 1,000 tempat duduk di Tanglin.

Pemohon yang berjaya itu juga dijangka membawa masuk persembahan antarabangsa bermutu tinggi di samping menyokong ekosistem seni tempatan.

Dengan sokongan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), NAC melancarkan proses Pernyataan Minat (EOI) pada Rabu (23 Sep), yang dibuka kepada pengendali tempat acara, pertubuhan seni dan institusi kebudayaan tempatan serta antarabangsa.

Pengendali akan bertanggungjawab dalam bidang termasuk hala tuju seni dan penyusunan program, pengurusan teater serta kemampanan kewangan, selain menyelia aspek seperti makanan dan minuman, penerbitan teknikal dan kemudahan.

Pemohon juga perlu memperuntukkan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada hari teater digunakan setiap tahun kepada sekurang-kurangnya empat kumpulan seni tempatan, di samping menyokong ekosistem seni Singapura menerusi inisiatif seperti program bimbingan.

Mereka juga perlu menunjukkan pengalaman menguruskan operasi berskala serupa dari segi kewangan.

Namun, pemerhati seni berkata skala projek dan syarat yang ditetapkan mungkin menimbulkan cabaran kepada kumpulan tempatan yang berharap dapat mengendalikan teater tersebut.

“Saya rasa syaratnya agak mencabar,” kata pengasas bersama dan Pengarah Kreatif pertubuhan seni tidak meraih keuntungan The TENG Company, Dr Samuel Wong.

“Bagi kumpulan tempatan, bahagian yang sukar bukan dari segi kesenian atau cita-cita. Cabaran sebenarnya ialah mengendalikan tempat berskala sebegini, serta memiliki modal dan jangkauan antarabangsa yang diperlukan.”

Beliau menambah bahawa tidak banyak kumpulan tempatan mempunyai “keupayaan dan kekuatan” untuk melaksanakan projek sedemikian dan mungkin perlu bekerjasama dengan pengendali antarabangsa atau membentuk konsortium yang terdiri daripada beberapa pertubuhan tempatan.

Namun, kerjasama seperti itu boleh memberi kumpulan seni tempatan akses kepada rangkaian dan kepakaran antarabangsa, kata pengasas bersama majalah seni online Plural Art Mag, Cik Usha Chandradas, yang juga mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP).

Bagi Dr Wong, kerjasama global seperti itu boleh membantu kumpulan seni tempatan membawa karya mereka ke luar negara.

“Karya ditempah dan dipersembahkan buat julung kalinya di sini, kemudian dibawa ke rantau ini dan seluruh dunia,” katanya.

“Jadi, bukan sekadar persembahan antarabangsa dibawa masuk ke Singapura, tetapi pengendali juga mempunyai rangkaian ... untuk membawa karya tempatan dari Singapura ke pentas dunia.”

KERJASAMA TEMPATAN DIPERLUKAN

Pertubuhan antarabangsa boleh membida untuk mengendalikan teater itu, tetapi mereka perlu mempunyai rakan seni tempatan dalam peranan seperti hala tuju seni.

Bagi usaha sama atau konsortium, syarikat seni tempatan mesti merangkumi sekurang-kurangnya 30 peratus pemilikan atau pelaburan bersama.

Dr Wong berkata syarat itu boleh membantu mengelakkan teater tersebut daripada terlalu cenderung kepada produksi luar negara yang lebih selamat dari segi komersial. Namun, beliau menegaskan bahawa memenuhi kuota semata-mata tidak semestinya membawa kepada sokongan bermakna terhadap seni tempatan.

“Kita bukan melihat kepada jumlah karya tempatan tetapi sejauh mana sokongan diberikan kepada karya tempatan. Bagi saya, kita perlu melabur dalam bakat tempatan, termasuk pentauliahan karya, ruang latihan dan penerbitan bersama,” katanya.

Cik Chandradas turut menarik perhatian bahawa syarat tersebut menetapkan jumlah hari yang perlu diperuntukkan kepada kumpulan tempatan tetapi tidak memperincikan bagaimana tarikh-tarikh itu harus diagihkan.

SEIMBANGKAN PERSEMBAHAN ANTARABANGSA DAN TEMPATAN

Dr Wong berkata membawa produksi antarabangsa utama ke Singapura tidak semestinya dilakukan dengan merugikan artis tempatan.

“Jika dilakukan dengan baik, ia sebenarnya boleh menjadi pemacu yang membiayai dan menyediakan pentas bagi karya tempatan,” katanya.

“Katakan sebuah persembahan yang habis dijual pada Jumaat memberi kita ruang untuk mengambil risiko dengan pementasan sulung karya Singapura pada Selasa. Jika kita melihat sesebuah tempat dari perspektif sebegini, kita boleh mewujudkan keadaan yang menguntungkan semua pihak.”

BUKAN SEKADAR KEUNTUNGAN

Pacific Eagle Real Estate (PERE), yang membiayai dan membina teater tersebut, sebelum ini mengumumkan bahawa sewa asas akan dikecualikan sepanjang tempoh penyewaan 20 tahun.

“Pengecualian sewa merupakan faktor yang agak besar. Ia menghapuskan satu kos tetap yang sangat besar,” kata Cik Chandradas.

Namun, beliau berkata pengendali masih perlu menanggung kos operasi dan tanggungjawab lain, termasuk pengurusan aset serta kerja naik taraf.

Pengendali akan dipilih menerusi proses pemilihan dua peringkat, dengan pemohon yang berjaya dijangka diumumkan pada suku kedua 2027.

Bagi Cik Chandradas, persoalan lebih besar ialah apa yang akhirnya dapat disumbangkan teater baharu itu kepada persada seni Singapura.

“Jika pada akhir usaha ini, kita dapat melakukan perkara dalam persada seni tempatan yang sebelum ini tidak dapat kita lakukan, bagi saya itu merupakan ukuran kejayaan yang sangat baik,” katanya.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita