Majlis Pengangkutan Awam bakal diterajui ketua eksekutif baharu

Encik Tan Kim Hong (kiri) dan Encik Leow Yew Chin (kanan). (Gambar: Kementerian Pengangkutan)
SINGAPURA: Ketua eksekutif Majlis Pengangkutan Awam (PTC) Tan Kim Hong akan berundur daripada jawatannya pada 1 Mac 2024 setelah berada di tampuk kepimpinan tersebut selama sekitar tujuh tahun.
Timbalan pengarah kumpulan bagi dasar dan perancangan di Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) Leow Yew Chin akan dilantik sebagai ketua eksekutif PTC (pengganti) mulai 1 September, sebelum mengambil alih Encik Tan pada 1 Mac tahun depan.
Demikian menurut Kementerian Pengangkutan (MOT) pada Jumaat (11 Ogos).
PTC mengawal selia tambang pengangkutan awam dan perkhidmatan pembayaran tiket, serta menasihati Menteri Pengangkutan berhubung urusan pengangkutan awam.
Encik Tan dilantik sebagai ketua eksekutif PTC pada 1 Julai 2017. Semasa tempoh beliau menyandang jawatan tersebut, beliau menyelia enam semakan semula tambang dan semakan semula pertengahan penggal berhubung Faktor Kapasiti Rangkaian, di mana beliau berusaha mengimbangi keperluan untuk memastikan tambang yang terus dimampui dan kemampanan kewangan sistem pengangkutan awam Singapura.
Beliau turut memainkan peranan yang penting dalam semakan semula terhadap formula dan mekanisme penyesuaian tambang baru-baru ini.
Di bawah pucuk kepimpinannya, PTC terus bekerjasama dengan pihak berkepentingan masyarakat dan industri untuk melancarkan CARE Ride @ South West 2022 dan CARE Bus dengan Sekolah Perikatan Palsi Serebrum Singapura (CPAS).
"Inisiatif ini bermatlamat memupuk sikap empati dan sifat mahu membantu yang lebih mendalam dalam kalangan penumpang demi menghulurkan bantuan kepada warga emas dan golongan kurang upaya untuk menggunakan sistem pengangkutan awam," nyata MOT.
KETUA EKSEKUTIF BAHARU
Encik Leow memulakan kerjayanya pada 2002 sebagai seorang jurutera di LTA.
Selaku timbalan pengarah kumpulan dasar dan perancangan di LTA, Encik Leow menyelia urusan berhubung perancangan pengangkutan, memastikan bahawa rancangan pengangkutan darat kukuh dan menyeluruh. Menurut MOT, beliau juga akan berusaha ke arah hasil 'Walk-Cycle-Ride' dalam Pelan Induk Pengangkutan Darat.
Sebelum pelantikannya sekarang, Encik Leow dipinjamkan ke Kumpulan Strategi di Pejabat Perdana Menteri sebagai pengarah kebolehhunian bandar dan masyarakat serta pengarah teknologi.
Beliau juga pernah ditugaskan di Kumpulan Pengangkutan Awam LTA selaku pengarah promosi dan perkhidmatan pengangkutan awam, dan dipinjamkan ke Kementerian Pengangkutan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.