Majlis Kesediaan Digital teraju usaha Negara Bijak
Satu majlis khas akan meneraju usaha-usaha bagi mempersiapkan rakyat Singapura untuk ekonomi digital dan rancangan-rancangan Negara Bijak negara ini.
Ruang kanak-kanak direka khas bagi merangsang daya cipta kanak-kanak serta kemahiran mereka untuk menghuraikan masalah. (Gambar: Cheryl Lin)
SINGAPURA: Satu majlis khas akan meneraju usaha-usaha bagi mempersiapkan rakyat Singapura untuk ekonomi digital dan rancangan-rancangan Negara Bijak negara ini.
Dalam perbahasan Jawatankuasa Perbekalan hari ini (4 Mac), Menteri Negara Kanan Perhubungan dan Penerangan merangkap Pengangkutan Janil Puthucheary berkata beliau akan mempengerusikan Majlis Kesedian Digital tersebut.
Beliau akan disokong Anggota Parlimen Tin Pei Ling, timbalan pengerusi Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) bagi Perhubungan dan Penerangan serta Anggota Parlimen Dilantik Douglas Foo, yang juga pengasas dan pengerusi Sakae Holdings.
Perkara itu diumumkan menyusuli Pelan Induk Kesediaan Digital yang didedahkan pada Jun lalu. Beberapa saranan dikemukakan di bawah pelan tersebut termasuk akses meluas kepada pengupaya digital asas, menumpukan lebih perhatian kepada maklumat dan kemahiran celik media serta menggalak pertubuhan-pertubuhan untuk mereka kemudahan digital yang bersifat inklusif.
"Meraih hasil daripada saranan-saranan ini memerlukan usaha bersama Pemerintah, industri dan masyarakat," menurut kementerian itu sambil menambah bahawa majlis tersebut akan memastikan usaha-usaha yang dijalankan dapat "membantu rakyat Singapura untuk bersiap sedia merebut peluang-peluang dengan adanya teknologi dalam kehidupan seharian."
SOKONGAN DANA
Di samping menubuhkan majlis baru, MCI juga mendedahkan bahawa ia akan bekerjasama dengan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) dan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia untuk mewujudkan inisiatif baru di bawah Dana Singapura Kita untuk menyokong inisiatif-inisiatif akar umbi.
Ia menyatakan bahawa projek-projek yang layak boleh mendapat sokongan dana hingga S$20,000 untuk menampung sehingga 80 peratus kos projek. Empat pusingan permohonan akan dibuka: 15 Mac-15 Mei, 15 Jun-15 Ogos, 15 Sep-15 Nov dan 15 Dis-15 Feb 2020.
"Inisiatif itu menyokong saranan Pelan Induk Kesediaan Digital untuk menyediakan sokongan bagi projek-projek yang mewujudkan peluang-peluang bagi penyertaan masyarakat," tambah MCI.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.