Majlis kenduri kumpulan Qaryah meriahkan suasana malam raya kawasan kejiranan
Suasana malam raya di kawasan kejiranan kembali meriah tahun ini dengan sebilangan kumpulan Qaryah menganjurkan majlis kenduri dan bertakbir beramai-ramai di kolong blok.
(Gambar: Syawal Yusoff)
BERITAmediacorp: Suasana malam raya di kawasan kejiranan kembali meriah tahun ini dengan sebilangan kumpulan Qaryah menganjurkan majlis kenduri dan bertakbir beramai-ramai di kolong blok.
Di Tampines misalnya, sekitar 100 penduduk yang tinggal di kawasan flat studio Golden Pines di Blok 827A Tampines Street 81 berkumpul untuk bersama-sama memeriahkan malam Raya mereka.
Mereka mula datang selepas waktu berbuka dengan membawa pelbagai lauk-pauk dan kuih-muih untuk dikongsi bersama.
Tradisi seperti itu sebenarnya dimulakan sejak 16 tahun yang lalu dan diadakan setiap tahun pada penghujung Ramadan.
Namun ia ditiadakan semasa pandemik.
"Alhamdulillah sambutannya amat menggembirakan terutama buat para penduduk yang memang amat mengalu-alukan untuk mendapat lakukan solat Tarawih dan solat Aidilfitri untuk tahun ini. Mereka juga dapat berjumpa teman-teman mereka yang lama sudah mereka tidak dapat jumpa semasa pandemik COVID-19," kata Pengerusi Qaryah Golden Pines, Encik Ibrahim Akbar.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Menurut Encik Ibrahim, sepanjang Ramadan, kira-kira sekitar 150 jemaah yang kebanyakkannya warga emas juga melakukan solat tarawih secara berjemaah di tempat tersebut.
Beliau menjangkakan sehingga 500 jemaah termasuk dari blok-blok berdekatan juga akan datang untuk solat Aidilfitri pagi esok (22 Apr).
"Kita mulakan persiapan sejak seminggu yang lalu. Jadi ada tugas-tugas ahli jawatankuasa kita yang laksanakan tugas-tugasnya dan juga kita sudah beritahu penduduk sekitaran ini yang kita akan adakan solat Aidilfitri. Sambutannya Alhamdulillah," tambahnya.
Selain makan bersama-sama, majlis diteruskan dengan bacaan tahlil serta sesi bertakbir beramai-ramai.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.