Majlis kahwin di kolong blok HDB boleh disambung semula terhad kepada 100 tetamu: MOH
Majlis jamuan perkahwinan yang diadakan di ruang-ruang bersama flat HDB boleh disambung semula, tertakluk kepada kelulusan daripada majlis bandaran, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Selasa (20 Okt).

Gambar hiasan. (Gambar: Pixabay/ericaa1215)
SINGAPURA: Majlis jamuan perkahwinan yang diadakan di ruang-ruang bersama flat HDB boleh disambung semula, tertakluk kepada kelulusan daripada majlis bandaran, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Selasa (20 Okt).
Majlis-majlis jamuan ini akan tertakluk kepada had 100 hadirin termasuk pasangan pengantin tetapi tidak termasuk vendor, tambahnya.
Majlis tersebut juga mesti dianjurkan oleh penganjur majlis perkahwinan profesional atau syarikat yang menyediakan khidmat berkaitan.
Sebelum memohon kepada majlis bandaran, pasangan mempelai serta penganjur majlis perkahwinan mesti menyerahkan butiran acara mereka kepada Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) dan mendapatkan surat perakuan.
Pasangan pengantin dan penganjur majlis perkahwinan boleh menghubungi DPPMS mulai 9 Nov untuk mendapatkan surat berkenaan.
Sementara itu, para tetamu pula mesti mematuhi langkah-langkah pengurusan selamat sedia ada bagi majlis jamuan perkahwinan.
Secara berasingan, MOH menyatakan acara persembahan secara langsung akan dibenarkan disambung semula di tempat-tempat persembahan yang ditetapkan mulai 1 Nov.
Tempat-tempat itu, bagaimanapun, tertakluk kepada had dua zon dianggotai 50 penonton setiap satu.
Langkah-langkah pengurusan selamat, termasuk had ke atas bilangan kru penerbitan dan penghibur di atas pentas yang tidak memakai pelitup serta jarak selamat antara penghibur dengan penonton, mesti dipatuhi.
Perincian lanjut akan dikeluarkan oleh Kementeria Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) serta Majlis Seni Kebangsaan (NAC) pada satu tarikh kelak.
ACARA BERKAITAN KERJA
Mulai Khamis (22 Okt), acara berkaitan kerja melibatkan kehadiran fizikal seperti persidangan serta mesyuarat agung tahunan akan dibenarkan diadakan di tempat pihak ketiga.
Acara-acara ini sudahpun dibenarkan di premis perniagaan dan tempat kerja sejak 28 Sep, menurut MOH.
Sehingga 50 orang bagi setiap acara akan dibenarkan dan acara juga tertakluk kepada mana-mana dasar tambahan oleh pemilik premis, tambah MOH.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.