Skip to main content

Singapura

Majlis iftar OTH raikan keluarga ComLink+, pupuk semangat kebersamaan penduduk berbilang kaum, generasi

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sekitar 50 keluarga ComLink+ diraikan dalam sebuah majlis berbuka puasa di Hab Tampines Kita (OTH) untuk mengeratkan silaturahim antara penduduk pelbagai kaum dan agama serta generasi usia.

Selain menghimpunkan para penduduk, acara itu juga dikendalikan bersama sekitar 20 sukarelawan belia daripada Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Timur dan Politeknik Temasek.

Pengurus Besar OTH, Noriman Ali Salam menjelaskan, "Kami ingin mempereratkan lagi persefahaman di antara kaum dan kedua kami ingin keluarga-keluarga yang mungkin menghadapi kesukaran ketika ini untuk sama sama meraikan bulan Ramadan dan juga hari raya yang akan tiba tidak lama lagi dan ketiga, acara ini menjadi satu landasan atau wadah bagi para penduduk, terutama para belia untuk sama sama melibatkan diri dalam kerja kerja kemasyarakatan".

Ini sejajar dengan matlamat OTH untuk memupuk semangat dan memperkukuhkan penglibatan para belia dalam masyarakat serta mewujudkan sebuah masyarakat yang lebih bersatu dan penyayang.

TEMANI KELUARGA COMLINK+ BELI-BELAH RAYA

Selain meraikan para hadirin dalam acara berbuka puasa tersebut, para sukarelawan daripada Kelab Khidmat Komuniti ITE Kolej Timur juga telah meluangkan masa untuk menemani keluarga ComLink+ dalam satu sesi membeli-belah barangan Raya serta keperluan harian.

Setiap keluarga telah menerima baucar pasar raya percuma bernilai $50.

Ini untuk memberi peluang kepada para sukarelawan belia untuk berinteraksi dengan keluarga-keluarga tersebut, sambil menawarkan bantuan dan menemani mereka sepanjang pengalaman tersebut.
Related article image
Cik Rohana Darwis merupakan antara keluarga ComLink+ yang hadir dalam acara tersebut. (Gambar: Hidir Ezat)
Di samping itu, ia juga dapat meringankan beban kewangan keluarga-keluarga ComLink+ bagi perbelanjaan rumah sempena Lebaran.

"$50 itu memang membantu saya. Kita dapat membeli bahan yang saya perlukan setiap hari seperti beras, bawang dan sebagainya. $50 itu dapat membantu saya dalam minggu ni," kata antara keluarga ComLink+, Rohana Darwis.

Selain mendapat baucar pasar raya dan set makanan bagi berbuka puasa, para keluarga ComLink+ juga telah menerima pek cenderahati perayaan yang bernilai lebih daripada $120.

USAHA KUKUHKAN PERPADUAN LEBIH GENTING KINI

Acara ini turut dihadiri Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli yang juga merupakan Penasihat Akar Umbi Tampines.

Dalam ucapannya, beliau mengatakan bahawa usaha mengukuhkan perpaduan masyarakat sebegini menjadi lebih genting lagi di tengah-tengah keadaan dunia yang semakin tidak menentu.


"Kita semua tahu bahawa kita sedang hidup pada suatu masa di mana persekitaran global semakin berpecah-belah, sangat terbahagi dan tentunya juga sangat tidak menentu. Apabila berdepan dengan ketidaktentuan seperti ini di sekeliling kita, hanya ada satu perkara yang boleh kita lakukan iaitu kita mesti berpegang teguh kepada nilai-nilai yang menyatukan masyarakat kita," kata Encik Masagos.
Related article image
(Gambar: Hidir Ezat)
"Ini kerana perpaduan sosial serta pengukuhan keharmonian kaum dan keharmonian sosial serta agama adalah sesuatu yang mesti kita pertahankan. Walaupun ia merupakan usaha yang sentiasa berterusan, kita tidak boleh sekali-kali membiarkannya merosot. Di situlah sebenarnya terletaknya kekuatan kita. Kita hidup secara harmoni walaupun kita berbeza antara satu sama lain," tambahnya lagi.

Wakil-wakil daripada pelbagai agama serta rakan komuniti turut hadir bagi memeriahkan acara berbuka puasa bersama sekitar 300 hadirin.

Asatizah daripada Masjid Darul Ghufran turut diundang bagi berkongsi pengertian dan amalan Ramadan dengan para hadirin.
Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita