Majlis Gaji Kebangsaan sarankan kenaikan gaji S$50- S$70 serta bayaran sekali saja
Majlis Gaji Kebangsaan (NWC) menekankan peranan latihan dalam meningkatkan daya penghasilan untuk mengekalkan kenaikan gaji.
SINGAPURA: Majlis Gaji Kebangsaan (NWC) menekankan peranan latihan dalam meningkatkan daya penghasilan untuk mengekalkan kenaikan gaji.
Dalam garis panduannya yang baru, NWC mencadangkan semua syarikat mengadakan latihan berstruktur untuk pekerja masing-masing.
Bagi syarikat-syarikat yang menikmati peningkatan daya penghasilan, ia mencadangkan bayaran sekali sahaja kepada pekerja.
Garis panduan tahun ini juga merangkumi lebih ramai pekerja berpendapatan rendah memandangkan NWC menaikkan had gaji asas.
Kementerian Tenaga Manusia menyatakan ia menerima cadangan-cadangan NWC itu dan mengalu-alukan penekanan terhadap latihan yang dipimpin oleh majikan.
Kadar penyertaan latihan tenaga buruh pada 2018 mencapai 48 peratus dan NWC berharap dapat melihat jumlah itu naik lebih tinggi.
Majlis itu mencadangkan supaya semua majikan mengadakan latihan berstruktur untuk pekerja mereka, melaksanakan inisiatif produktiviti dan juga menubuhkan Jawatankuasa Latihan Syarikat untuk membina keupayaan pembelajaran di tempat kerja.
Ia turut mencadangkan supaya majikan yang meraih peningkatan daya penghasilan tahun lalu supaya berkongsi keuntungan dengan para pekerja dengan memberi mereka ganjaran bayaran sekali sahaja.
Bagi pekerja bergaji rendah, NWC mengesyorkan bayaran sekali sahaja antara S$200 hingga S$360 untuk peningkatan daya penghasilan serta kenaikan gaji antara S$50 hingga S$70.
Ini memandangkan had asas gaji dinaikkan kepada S$1,400 daripada S$1,300 untuk meliputi lebih ramai pekerja.
Garis panduan tersebut digunakan untuk semua pekerja di seluruh sektor awam dan swasta, termasuk pekerja yang diambil bekerja semula.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.