Majlis Gaji Kebangsaan gesa potongan gaji dipulih, pekerja bergaji rendah dinaikkan gaji
Majlis Gaji Kebangsaan (NWC) pada Jumaat (29 Okt) menggesa pemotongan gaji dipulihkan dalam industri-industri yang semakin pulih dan gaji dinaikkan sehingga S$90 atau 7.5 peratus bagi pekerja bergaji rendah.
SINGAPURA: Majlis Gaji Kebangsaan (NWC) pada Jumaat (29 Okt) menggesa pemotongan gaji dipulihkan dalam industri-industri yang semakin pulih dan gaji dinaikkan sehingga S$90 atau 7.5 peratus bagi pekerja bergaji rendah.
Dengan ekonomi Singapura berada di landasan pemulihan, NWC menekankan gaji harus bergerak seiring dengan kadar pemulihan perniagaan dan berdasarkan sistem gaji yang fleksibel.
Di bawah garis panduan terbarunya, NWC menyatakan keutamaan pertama bagi syarikat yang telah pulih atau semakin pulih adalah memulihkan sebarang langkah pemotongan gaji yang dilaksanakan sebelum ini.
Majikan yang mengurangkan gaji tetap sebagai langkah luar biasa untuk menyelamatkan pekerjaan juga patut memulihkan komponen gaji tetap terlebih dahulu, diikuti dengan komponen gaji berubah-rubah seperti Komponen Bulanan Berubah-rubah dan Komponen Tahunan Berubah-rubah.
Ekoran itu, majikan seharusnya menarik balik langkah penjimatan kos dikaitkan dengan gaji, seperti minggu kerja lebih singkat, pemberhentian sementara dan cuti tanpa gaji.
Bagi syarikat yang menunjukkan prestasi baik pula, NWC menyatakan mereka patut memasukkan kenaikan gaji dan bayaran berubah-ubah, setara dengan prestasi perniagaan, prospek dan peningkatan daya hasil, serta sumbangan pekerja.
Syarikat-syarikat itu juga harus menarik balik langkah-langkah penjimatan kos lain, seperti pemotongan elaun.
Pada masa yang sama, NWC akur bahawa pemulihan tidak sama rata, lebih-lebih lagi sektor yang berhubung kait dengan pelancongan dan penerbangan.
Dalam garis panduannya bagi syarikat yang masih terjejas akibat COVID-19, NWC menggesa syarikat-syarikat itu agar terus memanfaatkan langkah sokongan pemerintah untuk menjadi pemangkin transformasi perniagaan dan tenaga kerja.
Langkah penjimatan kos yang "sesuai", serta latihan kemahiran semula, juga boleh dilaksanakan untuk mengekalkan pekerja mereka.
Dalam kenyataan media yang berasingan pada Jumaat, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menyatakan Pemerintah menerima garis panduan NWC, yang meliputi tempoh antara 1 Disember hingga 30 November tahun depan.
MOM menyatakan bahawa pasaran buruh bertambah baik pada tiga suku pertama tahun ini apabila pengambilan kerja penduduk berkembang sementara pengangguran penduduk terus menguncup. Pemberhentian pekerja juga merosot ke tahap sebelum pandemik seperti yang dicatat pada 2018 dan 2019.
Kementerian itu bagaimanapun menambah, pemulihan pasaran buruh tidak sama-rata bagi semua sektor dan dijangka kekal begitu.
BANTU PEKERJA BERGAJI RENDAH
Bagi pekerja bergaji rendah, NWC menyatakan gaji mereka harus tumbuh lebih pantas daripada paras gaji median untuk memastikan pertumbuhan gaji yang mampan.
Ia menyarankan kenaikan gaji antara 4.5 peratus hingga 7.5 peratus daripada gaji kasar pekerja atau S$70 hingga S$90 - mana yang lebih tinggi - untuk pekerja yang menerima gaji kasar bulanan sehingga S$2,000.
NWC menjelaskan usulan itu mengambil kira pelbagai faktor, termasuk kadar pertumbuhan gaji yang dijangkakan dalam tempoh sederhana, iklim ekonomi sekarang, serta kadar yang dipersetujui oleh kerjasama tiga pihak untuk meningkatkan pekerja bergaji rendah supaya dapat merapatkan jurang gaji dengan pekerja berpendapatan median.
Sejajar dengan cadangan awal yang dibuat oleh Kumpulan Bertindak Tiga Pihak mengenai Pekerja Bergaji Rendah, NWC menggesa majikan agar memberikan peratusan kenaikan gaji lebih tinggi bagi pekerja yang menerima gaji lebih rendah.
Bagi perniagaan yang masih mengalami kesan besar COVID-19 dan merancang untuk melanjutkan pembekuan atau memotong gaji, NWC menyarankan kenaikan gaji sehingga $50
untuk pekerja yang memperoleh gaji kasar bulanan S$2,000 dan lebih rendah.
Golongan majikan seperti itu juga digesa supaya melakukan pembekuan gaji daripada memotongnya.
NWC menyatakan ia sedang beralih daripada menggunakan gaji bulanan asas kepada gaji bulanan kasar sebagai rujukan baru, ekoran cadangan daripada kumpulan kerja tiga pihak.
Menjawab soalan media mengenai sebab di sebalik langkah ini, timbalan setiausaha agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) Chee Hong Tat berkata ia akan menyediakan "ukur tara yang lebih standard" untuk membuat perbandingan meliputi kumpulan semua pekerja bergaji rendah yang berbeza dalam sektor yang berbeza.
UBAH PEKERJAAN, TINGKATKAN KEMAHIRAN
Selain memulihkan pemotongan gaji dan menaikkan gaji, NWC menyeru semua pihak, termasuk Pemerintah, majikan, kesatuan sekerja dan pekerja, agar mengambil langkah tegas untuk merubah pekerjaan dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja.
Ia menyuarakan kebimbangan ekoran merosotnya jumlah majikan yang menyediakan latihan berstruktur kepada pekerja pada 2020, berbanding tahun sebelumnya.
Menurut NWC, 65.4 peratus majikan menyediakan latihan untuk pekerja mereka pada 2020, susut daripada 79.1 peratus pada 2019.
Peratusan pekerja yang menerima latihan berstruktur juga merosot daripada 55.8 peratus pada 2019 kepada 46.5 peratus pada 2020.
Untuk menangani hal ini, NWC menggalakkan majikan agar bekerjasama dengan pergerakan buruh untuk menubuhkan Jawatankuasa Latihan Syarikat untuk membangunkan keupayaan pembelajaran di tempat kerja, supaya pekerja tidak ketinggalan dengan perubahan.
Selain itu, majikan dan pekerja mesti berinovasi dan melaksanakan inisiatif daya penghasilan, dan berusaha ke arah gaji dan kemahiran yang lebih baik, tegas NWC lagi.
Ini termasuk mereka semula pekerjaan dan menimba kemahiran baru serta meningkatkan kemahiran pekerja bagi memainkan peranan pekerjaan baru dalam syarikat, khususnya bagi mereka yang lebih berisiko untuk diberhentikan kerja.
NTUC mengesahkan sokongannya terhadap garis panduan terbaru NWC, sambil menambah bahawa pertumbuhan gaji perlu seimbang dan mampan dalam iklim ekonomi sekarang untuk memastikan jaminan pekerjaan dan kestabilan pendapatan buat pekerja.
Dalam satu kenyataan media, NTUC menyeru majikan agar memberi ganjaran kepada pekerja mereka secara adil sejajar dengan prestasi dan prospek perniagaan syarikat, serta memberi perhatian khusus kepada usaha meningkatkan pekerja bergaji rendah.
Persekutuan Majikan Nasional Singapura (SNEF) menyatakan ia akan terus bekerjasama dengan Pemerintah, pergerakan buruh dan majikan untuk membantu negara bangkit lebih kukuh.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.