Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Majlis Celik Media & MUIS ganding bahu tingkat keupayaan asatizah dalam penggunaan wadah online

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seramai 40 asatizah akan mengikuti satu bengkel digital yang diatur khusus untuk meningkatkan kemahiran dan pemahaman mereka tentang penggunaan aplikasi online mahupun isu-isu berkaitan kegiatan online.

Pendedahan ini merupakan hasil kolaborasi yang pertama seumpamanya antara Majlis Celik Media (MLC) dengan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dalam bidang kesejahteraan digital.

Demikian menurut Setiausaha Parlimen Perhubungan dan Penerangan Rahayu Mahzam dalam satu wawancara bersama media selepas membahaskan peruntukan belanjawan bagi kementeriannya di Parlimen.

Menurut beliau, sebanyak tiga bengkel digital kesemuanya akan dijalankan bermula 25 Mac ini. 40 asatizah yang menyertainya pula merupakan mereka yang mengajar murid-murid peringkat sekolah rendah dan menengah di madrasah.

"Kalau di sekolah, mungkin ada program-program tertentu yang sudah diadakan dalam kurikulum mereka. Untuk madrasah, kita mahu pastikan mereka juga tidak ketinggalan dan mereka juga tahu tentang apa yang perlu diperhatikan tentang dari segi apa yang negatif, yang mungkin muncul dalam penggunaan tabiat asyik menggunakan telefon bijak saja," ulas Cik Rahayu.



Bengkel tersebut, tambah Cik Rahayu, akan juga mengupas isu 'scam' yang kian berleluasa kebelakangan ini.

Semua usaha berkenaan bakal dikendalikan Timbalan Ketua Jabatan Komunikasi dan Media Baru di NUS, Prof Madya Dr Elmie Nekmat.

MEMBINA PERKONGSIAN YANG DAPAT PERKASA MASYARAKAT

Daya usaha penyediaan akses digital dan meningkatkan kesediaan digital sebenarnya hanya salah satu daripada tiga wawasan penting yang digariskan Cik Rahayu dalam perbahasan Jawatankuasa Peruntukan MCI pada Jumaat (4 Mac).

Dua wawasan lain yang beliau bentangkan adalah menggalak penguasaan digital menerusi perpustakaan dan mempersiap golongan yang mudah terjejas untuk mengenal serta menangani risiko ancaman online.

Dalam ucapannya, Cik Rahayu turut memuji seorang anak Melayu bernama Mohd Afiq yang tekad menceburi bidang teknologi sehingga akhirnya dapat membangunkan satu platform sendiri.



Platform yang beliau maksudkan adalah 'PlayTours' - satu wadah online yang membolehkan para pengguna mereka permainan online sendiri!

"Kita harus menggalakkan dan juga menonjolkan mereka yang berjaya dalam sektor-sektor ini kerana itu juga merubah naratif tentang bagaimana masyarakat kita benar-benar mendakap digital," kata Cik Rahayu.

"(Apabila) mereka yang daripada sektor teknologi datang bersama untuk berkongsi idea, berkongsi peluang tentang pekerjaan dan berkongsi topik-topik berkenaan teknologi... Ini akan memperkasa mereka dan juga menggalak anggota lain dalam masyarakat kita untuk ikut serta dalam usaha ini."

Cik Rahayu antara lain menyebut program Jom Surf sebagai contoh. Inisiatif yang diterajui MESRA itu membuka peluang kepada golongan muda untuk mendidik warga emas tentang penggunaan wadah digital dalam kegiatan seharian.

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan