Majlis buka puasa PPIS Vista Sakinah eratkan silaturahim & perkasa keluarga tiri
Dengan matlamat untuk merapatkan silaturahim antara keluarga tiri, Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) Vista Sakinah menganjurkan sebuah sesi berbuka puasa bersama 29 keluarga yang dibantu.
PPIS Vista Sakinah menawarkan khidmat untuk pasangan yang mendirikan rumahtangga sekali lagi setelah bercerai atau kematian pasangan masing-masing.
Majlis yang berlangsung di Village Hotel Bugis pada Sabtu (15 Mac) itu, menurut pihak penganjur selari dengan misi PPIS untuk mengukuhkan dan memperkasa keluarga-keluarga dalam masyarakat Melayu/Islam.
Dalam masa yang sama, memberi peluang dan ruang bagi keluarga-keluarga yang diundang untuk meluangkan masa yang berkualiti dengan ahli keluarga tiri mereka.
Pengurus Pusat PPIS, Kamariah Yusoff berkongsi bahawa PPIS bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) untuk melakarkan program-program untuk membantu masyarakat dalam mengemudi kehidupan membina keluarga tiri.
"Kajian menunjukkan penting untuk keluarga tiri meluangkan masa yang berkualiti untuk merapatkan lagi hubungan mereka dan membina hubungan salin percaya antara ibu bapa, ibu bapa tiri, adik beradik dan juga adik-adik tiri.
"Berbeza dengan pasangan yang lain, mereka yang membina keluarga tiri bukan sahaja perlukan masa dengan pasangan mereka tetapi juga masa dengan keluarga mereka," kata Cik Kamariah.
Dalam usaha untuk memupuk hubungan yang positif sesama keluarga, mereka yang hadir diberikan kanvas kosong untuk menghasilkan lukisan yang menggambarkan aspirasi keluarga mereka.
"Pada peringkat awal sebuah keluarga tiri itu membina keluarga mereka, setiap ahli keluarga harus memainkan peranan untuk membina identiti mereka yang baharu.
"Melalui aktiviti melukis bersama keluarga, kami mengharap setiap ahli keluarga memainkan peranan untuk mencapai identiti mereka yang baharu itu," kongsi Cik Kamariah.
Selain itu, mereka juga dapat mengikuti sesi ceramah pasangan yang disampaikan oleh Ustaz Nuzhan Halim.
MEREKA YANG HADIR KONGSI MANFAAT ACARA BUAT KELUARGA MEREKA
Antara yang teruja diundang untuk menghadiri acara adalah Supiah Mohamed, 45 tahun dan keluarganya.
"Kami dapat luangkan masa bersama dan dapat berbuka puasa bersama. Selain itu juga dapat berjumpa dengan keluarga-keluarga yang lain di sini," kata Cik Supiah.
Beliau sudah meraih manfaat daripada Program Pengayaan dan Sokongan Perkahwinan Vista Sakinah (VS Mprep) selama dua tahun.
"Saya rasa amat bahagia kerana selama ini, cabaran yang saya hadapi dengan suami saya dan anak-anak saya, Vista Sakinah banyak membantu menyelesaikan masalah kami.
"Selepas kami hadir sesi kaunseling keluarga, banyak yang kami pelajari dan dari situ kami dapat membina satu keluarga yang baik dan bahagia dan tenang," kongsi Cik Supiah.
Pasangan Encik Mohamad Idham Idris, 42 tahun dan isterinya, Rashidah Hasan, 36 tahun juga mendapati acara sebegini banyak kebaikannya.
"Acara hari ini sangat bermanfaat. Ustaz Nuzhan telah menceritakan kepada kami betapa pentingnya silaturahim antara keluarga dan tidak lupa juga untuk menghabiskan masa yang berkualiti dengan satu sama lain. Akhir sekali juga kemaafan kerana kami sedang dalam bulan Ramadan jadi kemaafan itu salah satu yang penting jadi ia tidak menjadi beban untuk diri kita," kata Encik Idham.
Isterinya, Cik Rashidah pula berkongsi bahawa sudah mempelajari strategi-strategi untuk menyelesaikan konflik antara pasangan dengan berkesan apabila timbulnya perbezaan dalam cara mendidik anak.
Pasangan suami isteri itu juga sudah menghadiri program VS Mprep sebelum ini dan menerima sokongan dari PPIS selama tiga tahun.
"Tip-tip yang kami dapat daripada kaunselor kami ialah komunikasi dan pengurusan adalah penting untuk kami. Terutamanya komunikasi dengan anak kami dan anak-anak tiri kami. Juga untuk mengimbangkan masa antara anak tiri dengan anak sendiri supaya tiada orang rasa tersisih," kongsi pasangan itu.
PPIS berharap menerusi acara itu, ia dapat menyuntik inspirasi kepada wanita dan memperkukuhkan hubungan keluarga dalam masyarakat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.