Skip to main content

Singapura

Majlis buka puasa Nee Soon himpun 2,000 penduduk pelbagai kaum; 150 penerima dapat duit, baju raya

Anggaran Waktu Membaca:
Majlis buka puasa Nee Soon himpun 2,000 penduduk pelbagai kaum; 150 penerima dapat duit, baju raya
(Gambar: Nee Soon GCDO) 

SINGAPURA: Sekitar 2,000 penduduk berhimpun untuk berbuka puasa bersama dalam Majlis Berbuka Puasa Harmoni Nee Soon yang berlangsung di MPC @ Khatib pada Ahad (8 Mac).

Acara tahunan itu dianjurkan bersama oleh Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Nee Soon GRC, M³@Nee Soon serta Persatuan Khidmat Sosial India Muslim (IMSSA).

Majlis itu bukan sahaja menghimpunkan penduduk Muslima malah juga penduduk bukan Muslim sebagai tanda perpaduan dan semangat kebersamaan dalam menghayati bulan Ramadan.

Para hadirin juga disajikan hidangan berbuka yang disediakan oleh sukarelawan IMSSA.

Seramai kira-kira 20 sukarelawan daripada Kumpulan Sukarelawan Pekerja Hijrahan SG turut membantu dalam tugas kawalan orang ramai serta logistik bagi memastikan acara berjalan dengan lancar.

PENERIMA BANTUAN DAPAT DUIT HARI RAYA, BAJU RAYA

Dalam acara yang sama, seramai 150 penerima bantuan menerima duit raya bernilai S$50 setiap seorang.

Mereka juga diberi peluang memilih pakaian tradisional seperti baju kurung atau jubah untuk ahli keluarga masing-masing.

Inisiatif sumbangan pakaian perayaan itu merupakan yang pertama seumpamanya dianjurkan M³@Nee Soon.

Sepanjang empat hujung minggu kempen pengumpulan pakaian bulan lalu, lebih 1,000 helai pakaian dan aksesori berjaya dikumpulkan hasil sumbangan penduduk.

Menurut Pengerusi M³@Nee Soon, Siti Mariam Abu Bakar, sambutan yang diterima amat menggalakkan dan membuktikan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.

“Kami ingin mengajak penduduk memainkan peranan membantu anggota masyarakat yang memerlukan dengan menyumbangkan pakaian perayaan. Kami amat bersyukur menerima lebih 1,000 helai pakaian dan aksesori hasil sumbangan penduduk,” katanya.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Menteri Ehwal Dalam Negeri, K Shanmugam, Pemangku Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim dan Penasihat kepada Pertubuhan Akar Umbi GRC Nee Soon, Dr Syed Harun Alhabsyi, Jackson Lam dan Lee Hui Ying.

Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita