Majlis berbuka puasa silang agama kongsi amalan kepercayaan lain di SG
Lebih 100 orang menyertai sebuah majlis berbuka puasa silang agama pada Isnin (18 Mac).
SINGAPURA: Lebih 100 orang menyertai sebuah majlis berbuka puasa silang agama pada Isnin (18 Mac).
Majlis yang dianjurkan buat julung-julung kalinya oleh pertubuhan tidak meraih untung, 'Dialogue Centre' itu bertujuan memupuk persefahaman serta bersifat inklusif.
"Objektif 'M Iftar' ini ialah untuk masyarakat silang agama menyantuni golongan yang kurang bernasib baik di luar sana dan juga golongan terpinggir untuk sama-sama kita memahami dan juga mendengar kehidupan dan cabaran kehidupan mereka," kata Pengarah, Program dan Pembangunan Dialogue Centre, Norhayati Mohammad Ali.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Majlis itu diadakan dan disokong oleh M Hotel. Ia dihadiri para penerima bantuan daripada badan-badan termasuk SG Cares, Casa Raudha, HOME, Pusat Khidmat Keluarga Allkin, The Greenhouse dan The T Project.
Selain sesi perbincangan secara berkumpulan, para hadirin juga dapat mengikuti sesi dialog tentang persamaan antara agama seperti amalan berpuasa.
"Kita ingin mengetengahkan kepada umum bahawa yang berpuasa itu bukan hanya masyarakat Islam di mana ada juga bangsa-bangsa lain yang berpuasa dan adalah penting untuk kita memahami dan juga kita menghormati masa-masa mereka berpuasa. Jadi tidaklah kita macam ingat yang hanya kita sahaja berpuasa.
"Perbincangan ini boleh meluaskan lagi minda kita, boleh meluaskan lagi pemikiran kita untuk kita dapat menerima satu sama lain dalam masyarakat," tambah Cik Norhayati.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Sesi dialog itu turut menampilkan wakil-wakil daripada agama Islam, Baha'i, Buddha, Hindu, Yahudi dan Taoist.
"Puasa merangkumi puasa jasmani dan juga rohani. Kami mempunyai pantang berpuasa dari makanan dan jenis makanan tertentu semasa perayaan tertentu atau tempoh tertentu dalam setahun. Jadi kami mempunyai banyak perkara yang sama. Jadi saya fikir adalah baik untuk berkongsi dari perspektif Taoist supaya kita dapat memahami antara satu sama lain dengan lebih baik," kongsi Presiden Persatuan Kebudayaan Quan Zhen, Ketua Sami Chung Kwang Tong.
Sebagai penganjur bersama, Ketua Sami Chung berkongsi pertubuhannya sudah banyak menyokong inisiatif-inisiatif Dialogue Centre, sebelum ini.
Ini dalam usaha untuk mengeratkan jalinan masyarakat berbilang kaum dan agama di Singapura.
"Kami mempunyai banyak dialog bersama di mana kami membawa orang dari kepercayaan yang berbeza, latar belakang yang berbeza untuk memahami antara satu sama lain. Jadi kadang-kadang kami melakukan dialog yang lebih intim. Kami bercakap tentang topik sensitif dan juga sesuatu yang peribadi kepada kami.
“Jadi saya rasa dialog sebegini amat penting bagi kita untuk memahami antara satu sama lain dan juga untuk memecahkan sebarang halangan di antara masyarakat dan juga untuk memudahkan dan memupuk persahabatan," tambahnya.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Di akhir sesi, para tetamu yang hadir juga berasa dapat lebih menghargai antara satu sama lain menerusi usaha pertukaran budaya itu.
"Perbincangan atau perkongsian seperti ini buat saya sangat bagus kerana kita sama-sama menghormati dan menghargai sesama agama. Untuk saya betul-betul sangat berguna sekali dan sangat menarik sekali," kata Cik Tuti Ratnasih dari pertubuhan HOME.
Sesi tersebut turut dianjurkan bersama dengan sebuah lagi badan tidak meraih untung, Pusat Pemahaman Silang Agama (CIFU).
(Gambar: Syawal Yusoff)
Bagi Cik Norhayati, beliau berharap usaha murni itu dapat diadakan pada setiap Ramadan dan terus mendapat sokongan.
"Kita akan adakan sesi ini mungkin setahun sekali, mungkin ke hadapannya bukan hanya dari 'Dialogue Centre' sahaja tetapi kita pun mengalu-alukan juga kalau ada badan-badan di luar sana juga yang boleh membuat dialog-dialog seperti ini. Jadi tiada siapa yang ketinggalan di belakang. Di mana kita sama-sama bersatu dan sifat bertoleransi itu lebih kukuh lagi dalam masyarakat kita," kata Cik Norhayati.
Istimewa di majlis itu, para tetamu juga dapat menikmati hidangan 'hotpot' sebagai juadah berbuka puasa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.