Majlis berbuka puasa beramai-ramai di Arab Street cerminkan semangat inklusif, perpaduan rakyat SG
Seramai 1,000 orang menyertai majlis berbuka puasa beramai-ramai di Arab Street pada Sabtu (22 Mac).
Majlis berbuka puasa anjuran One Kampong Gelam dengan tajaan daripada syarikat Travel Connect, diadakan sebagai sebahagian daripada Bazar Ramadan Gemilang Kampong Gelam.
Perdana Menteri Lawrence Wong turut hadir bagi memeriahkan acara tersebut selaku tetamu terhormat bersama Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital Josephine Teo, Menteri Negara Kanan Pertahanan Heng Chee How, Menteri Negara bagi Pembangunan Negara Dr Faishal Ibrahim, serta para Anggota Parlimen GRC Jalan Besar.
Dalam ucapannya yang ringkas, PM Wong berkata bahawa majlis iftar yang dianjurkan mencerminkan semangat Ramadan di Singapura yang terus memperkukuh keharmonian antara masyarakat berbilang kaum dan agama.
Beliau menekankan kepentingan nilai-nilai yang dibawa oleh Ramadan serta keunikan keharmonian yang dinikmati di negara ini.
"Ramadan adalah masa untuk beribadah, renungan dan keihsanan. Ia mengingatkan kita tentang kekuatan iman, peri pentingnya keluarga, dan kuasa masyarakat. Jadi, sesuai bahawa One Kampong Gelam dan rakan-rakannya mengumpulkan kita semua untuk datang ke majlis berbuka puasa ini dan sama-sama berbuka sebagai sebuah masyarakat dan keluarga yang besar," kata PM Wong.
Tambahnya, walaupun majlis berbuka puasa sering diadakan di Singapura, hakikat bahawa masyarakat berbilang latar belakang dapat berkumpul dan meraikan Ramadan bersama-sama adalah sesuatu yang unik dan perlu dihargai.
"Ini banyak kami lakukan di Singapura. Banyak majlis berbuka puasa. Saya yakin anda semua sudah menyertai banyak majlis iftar. Saya sudah tidak terkira. Kami rasa ini begitu lazim bahawa orang berlainan latar belakang, berlainan kepercayaan, berlainan kaum, berlainan agama, boleh berkumpul dan meraikan makna Ramadan dan berbuka puasa bersama-sama. Namun hakikatnya ia sangat unik dan sesuatu yang kita harus hargai dan lindungi di Singapura," kata PM Wong.

Majlis berbuka puasa beramai-ramai di Arab Street pertama kali diadakan pada 2019 dan sejak itu telah menjadi acara ikonik setiap bulan Ramadan.
Tahun ini, sebanyak 100 meja disediakan di sepanjang Arab Street.
Acara ini turut dijayakan dengan sokongan 130 sukarelawan daripada Travel Connect dan One Kampong Gelam (OKG) yang bertungkus-lumus membuat persiapan sejak awal petang bagi memastikan kelancaran majlis.

Mereka bukan sahaja berbuka puasa bersama masyarakat tetapi juga menerima beg cenderahati daripada oleh PM Wong.
MERAIKAN SEMANGAT KEMURAHAN HATI DAN PERPADUAN
Pengerusi One Kampong Gelam, Zaki Ma’arof, berkata, “Ramadan adalah masa untuk bermuhasabah, berkongsi rezeki dan mengeratkan silaturahim. Melalui Iftar Beramai-ramai ini, kami ingin memupuk semangat inklusif serta menghimpunkan masyarakat dari pelbagai latar belakang dalam satu majlis yang bermakna. Amat mengharukan melihat komuniti bersama-sama meraikan tradisi istimewa ini, sambil menghayati nilai kemurahan hati dan perpaduan.”

Pengarah Travel Connect, Mohamed Nafis Abdul Rahman pula berkata pihaknya berbesar hati dapat turut menjayakan acara itu.
"Kami berbesar hati dapat menganjurkan iftar pada tahun ini buat kali ketiga berturut-turut. Selain daripada jamuan yang disediakan kepada penerima zakat dan mereka yang kurang berkemampuan, kami juga menaja beg cenderahati yang mengandungi minuman, makanan, dan habuan untuk mereka.
"Majlis iftar ini bukan sahaja memberikan peluang kepada golongan yang memerlukan untuk berbuka puasa, tetapi juga melibatkan 130 orang sukarelawan yang berusaha keras menjayakan acara ini," kata Encik Nafis.
Beliau berharap acara ini dapat terus diadakan setiap tahun untuk memberi peluang kepada lebih ramai orang yang tidak dapat hadir.
HUJUNG MINGGU TERAKHIR BAZAR GEMILANG KAMPONG GELAM TAMPILKAN PELBAGAI ACARA ISTIMEWA
Bazar Gemilang Kampong Gelam bakal melabuhkan tirainya pada Selasa ini, menjadikan hujung minggu ini peluang terakhir bagi pengunjung menikmati pelbagai aktiviti dan persembahan menarik yang disediakan.
Ini termasuk 'Joget Parade’, satu perarakan khas yang mempamerkan keunikan budaya setempat, serta pertunjukan pancaran lampu khas pada permukaan Masjid Sultan.

Rakaman tersebut turut disertakan dengan sedutan dokumentari khas Sinar Kota Singa, yang mengimbau 25 tahun saluran Suria Mediacorp.
Dokumentari itu mengetengahkan perjalanan dan evolusi saluran televisyen Melayu di Singapura, serta peranannya dalam memperkaya industri hiburan tempatan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.