Skip to main content

Singapura

Majlis Bandaran Sengkang tidak dapat terima bayaran tunai S&CC kerana isu IT

Majlis Bandaran Sengkang (SKTC) menyatakan pada Rabu (28 Okt) malam bahawa pihaknya tidak dapat menerima bayaran perkhidmatan dan penyenggaraan secara tunai di pejabatnya kerana masalah IT.

Anggaran Waktu Membaca:
Majlis Bandaran Sengkang tidak dapat terima bayaran tunai S&CC kerana isu IT

Pejabat SKTC di 266 Compassvale Bow pada 28 Okt 2020. (Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 29 Oct 2020 11:09AM Dikemas Kini : 29 Oct 2020 11:13AM

SINGAPURA: Majlis Bandaran Sengkang (SKTC) menyatakan pada Rabu (28 Okt) malam bahawa pihaknya tidak dapat menerima bayaran perkhidmatan dan penyenggaraan secara tunai di pejabatnya kerana masalah IT.

Parti Pekerja (WP) mengambil alih pengurusan GRC Sengkang pada Rabu, menyusuli penyerahan beberapa estet di bawah majlis bandaran yang dikendalikan oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP).

GRC Sengkang terdiri daripada kawasan Buangkok, Compassvale dan Rivervale, yang sebelum ini diuruskan oleh Majlis Bandaran Pasir Ris-Punggol, dan kawasan Anchorvale, yang sebelum ini berada di bawah SMC Sengkang West dan diuruskan oleh Majlis Bandaran Ang Mo Kio.

Dalam satu kenyataan di laman Facebooknya pada Rabu malam, SKTC menyatakan pihaknya telah "menghubungi secara aktif" vendor IT sedia ada untuk Sistem Pengurusan Majlis Bandaran (TCMS) menjelang penyerahan tersebut, untuk "memastikan kesinambungan perkhidmatan IT".

Semasa proses itu, kami diberi jaminan oleh vendor IT bahawa TCMS boleh berfungsi pada 28 Oktober 2020. Namun, kakitangan SKTC mendapati pada 8.00 pagi ini, tatarajah untuk sistem kutipan bayaran belum sedia," menurut catatan Facebook itu pada Rabu malam.

Setakat jam 6.00 petang pada Rabu, SKTC masih belum dapat menerima bayaran perkhidmatan dan penyenggaraan secara tunai di pejabatnya.

Majlis bandaran itu memohon maaf dan menyatakan pihaknya sedang bekerjasama dengan vendor IT untuk memulihkan fungsi operasi TCMS secepat mungkin, sambil menambah bahawa ia akan memberikan kemas kini lanjut bagi penduduk sebaik sahaja ia tersedia.

Majlis Bandaran Sengkang yang baru itu akan diuruskan oleh EM Services and CPG Facilities Management, menurut majlis bandaran tersebut dalam kenyataan di laman Facebooknya pada pagi Rabu.

Dalam pilihan raya umum pada Julai, sebuah pasukan WP menang di GRC Sengkang yang baru dibentuk dengan 52.12 peratus undian.

Pasukan itu, yang terdiri daripada peguam He Ting Ru, pakar ekonomi Jamus Lim, penganalisis penyelidikan ekuiti Louis Chua dan aktivis sosial Raeesah Khan, mengalahkan pasukan PAP yang terdiri daripada ketua buruh Ng Chee Meng, dua pemegang jawatan politik lain - Dr Lam Pin Min dan Encik Amrin Amin - serta calon baru Encik Raymond Lye. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita