Majlis Bandaran PAP tubuh jawatankuasa kemampanan; Dr Wan Rizal terajui usaha lestari alam sekitar
Setiap Majlis Bandaran Parti Tindakan Rakyat (PAP) akan mempunyai sebuah jawatankuasa kemampanan dengan seorang pegawai khas yang ditugaskan untuk "memacu pelaksanaan" usaha melestari alam sekitar, umum parti itu pada Sabtu (15 Mei).

Para Anggota Parlimen PAP di satu sidang media mengumumkan mengenai inisiatif baru itu pada 15 Mei 2021. (Gambar: PAP).
SINGAPURA: Setiap Majlis Bandaran Parti Tindakan Rakyat (PAP) akan mempunyai sebuah jawatankuasa kemampanan dengan seorang pegawai khas yang ditugaskan untuk "memacu pelaksanaan" usaha melestari alam sekitar, umum parti itu pada Sabtu (15 Mei).
Ia akan menjadi sebahagian daripada Inisiatif Tindakan bagi Bandar Hijau yang akan menyaksikan kesemua 15 Majlis Bandaran PAP saling bekerjasama untuk menambah baik amalan kemampanan dalam kalangan masyarakat masing-masing, menurut parti itu dalam kenyataan medianya.
Inisiatif itu bertujuan untuk menggembleng tenaga pelbagai pihak berkepentingan untuk berusaha menjadikan setiap bandar yang diuruskan PAP "sifar sisa, cekap tenaga dan lebih mesra alam" menjelang 2025, tambah PAP.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif itu, setiap Majlis Bandaran PAP juga akan mempunyai seorang Anggota Parlimen (AP) selaku "pejuang kemampanan".
Kesemua 15 individu itu, bersama dengan para wakil PAP Muda, akan membentuk pasukan bertindak Tindakan bagi Bandar Hijau yang diterajui oleh Pengerusi Majlis Bandaran Jalan Besar, Dr Wan Rizal.
Pasukan bertindak itu juga akan menggunakan kepakaran para pakar dan penyokong kemampanan dalam industri, pertubuhan bukan pemerintah dan masyarakat sivil untuk "menasihati serta membantu menjana idea" bagi memaksimumkan penyertaan dan keterangkuman, tambah PAP.
"Kami akan mengkaji apa yang sudah dilakukan di peringkat tempatan dan luar negara serta merangka hala tuju kemampanan bagi semua Majlis Bandaran PAP supaya dapat diterapkan dalam pengurusan bandar mereka. Akan ada banyak cara untuk mendapatkan semua orang tampil ke hadapan dan terlibat secara bermakna," kata Dr Wan Rizal.
"Kami yakin para penduduk kita bukan sahaja mahu berbangga dengan estet yang mereka diami tetapi juga sumbangan mereka dalam menjadikan Singapura sebuah bandar hijau yang bersinar di dunia."
Sebagai permulaan, pasukan bertindak itu akan menyemak semula semua projek kemampanan sedia ada di semua majlis bandaran berbeza dan berkongsi amalan-amalan terbaik, menurut PAP.
Beberapa inisiatif itu termasuk inisiatif tenaga mampan, inisiatif menjimatkan air, inisiatif pengangkutan mampan dan pengomposan makanan.
Pasukan bertindak itu akan mendedahkan lebih banyak butiran rancangannya menjelang lewat tahun ini.
Setiap jawatankuasa kemampanan akan memimpin dan membantu usaha semua pihak berkepentingan dalam bandar masing-masing, tambah PAP.
Para penduduk akan memainkan "peranan penting" dalam membentuk perjalanan mesra alam bagi bandar-bandar mereka dan mereka akan terlibat dalam seluruh proses dari maklum balas hingga ke penjanaan idea dan pelaksanaannya, menurut parti itu.
Berucap di satu sidang maya pada Sabtu, Encik Lim Biow Chuan, Pengerusi Penyelaras bagi Majlis-Majlis Bandaran PAP, menarik perhatian bahawa para AP sudahpun disuruh untuk menjadi pejuang-pejuang kemampanan sedang negara mahu "menekankan" kepentingan usaha-usaha kemampanan.
"Mempunyai seorang AP memperjuangkan usaha-usaha kemampanan adalah isyarat kami bahawa kami memandang serius terhadap gerakan kemampanan ini," tambah Encik Lim.
Para AP itu juga akan terlibat dalam jawatankuasa kemampanan majlis bandaran mereka, tambah Dr Rizal.
Berhubung kos yang berpotensi ditanggung bagi mengusahakan inisiatif-inisiatif mesra alam itu, Encik Lim berkata ia adalah sesuatu yang akan dipertimbangkan.
"Majlis bandaran dibiayai sebahagian besarnya oleh kos perkhidmatan dan penyenggaraan serta juga (pemerintah) memberi dana kepada semua majlis bandaran. Oleh itu, kami akan meneroka pelbagai cadangan yang akan datang dari jawatankuasa (Dr) Wan Rizal, sebelum memutuskan bagaimana untuk membiayai inisiatif ini."
PAP menyatakan bahawa semua majlis bandarannya sedang meningkatkan rancangan dan usaha kemampanan masing-masing dalam mendukung Pelan Hijau Singapura 2030 dan bertujuan untuk "merubah" kawasan perumahan menjadi persekitaran kediaman yang lebih baik bagi setiap penduduk.
"Ini berdasarkan usul kemampanan Parti baru-baru ini di Parlimen, yang disusun oleh Jawatankuasa Parlimen Pemerintah bagi Kemampanan dan Sekitaran bersama PAP Muda," menurut parti itu.
"Kesan perubahan iklim tidak boleh diendahkan dan kita perlu mengambil tindakan untuk memastikan kita mewujudkan persekitaran hidup yang lebih baik dan lebih mampan bagi semua penduduk kita.
"Ini penting untuk menangani kecemasan sejagat dan inilah sebabnya mengapa kemampanan mesti menjadi tunggak dalam amalan pengurusan bandar kita," tekan Encik Lim.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.