Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Majlis bandaran PAP sediakan pekerja penyumberan luar dengan kawasan rehat khusus

Majlis-majlis bandaran Parti Tindakan Rakyat (PAP) sedang bekerjasama dengan kontraktor untuk memperuntukkan kawasan rehat khas bagi para pekerja penyumberan luar, termasuk di bilik-bilik kemudahan awam atau stor. 

Anggaran Waktu Membaca:
Majlis bandaran PAP sediakan pekerja penyumberan luar dengan kawasan rehat khusus

Seorang pembersih estet menyapu blok di flat Yishun Avenue 2. (Gambar fail: Najeer Yusof/TODAY)

Diterbitkan : 12 Dec 2019 07:49PM Dikemas Kini : 12 Dec 2019 07:51PM

SINGAPURA: Majlis-majlis bandaran Parti Tindakan Rakyat (PAP) sedang bekerjasama dengan kontraktor untuk memperuntukkan kawasan rehat khas bagi para pekerja penyumberan luar, termasuk di bilik-bilik kemudahan awam atau stor.

Langkah itu dilakukan setelah satu garis panduan dikeluarkan pada Isnin (9 Dis) bagi syarikat untuk menyediakan kawasan rehat yang betul buat para pekerja penyumberan luar seperti pekerja pembersihan atau pegawai keselamatan. Saranan-saranan termasuk menyediakan kemudahan bagi pekerja untuk menyimpan barang-barang peribadi mereka dengan selamat dan akses kepada air minuman.

Dalam respons kepada pertanyaan Mediacorp, Pengerusi Penyelaras majlis bandaran PAP, Dr Teo Ho Pin, berkata majlis bandaran "menyokong penyediaan kawasan rehat betul bagi pekerja-pekerja pemuliharaan dan hortikultur".

Dr Teo, yang juga Pengerusi Majlis Bandaran Holland-Bukit Panjang Town, berkata kawasan rehat mungkin terletak di bilik-bilik kemudahan awam atau stor yang cukup besar untuk memuatkan kemudahan-kemudahan asas seperti meja, kerusi dan kipas angin selain mempunyai akses kepada air minuman serta elektrik.

Sekurang-kurangnya dua majlis bandaran sudahpun memperuntukkan tempat rehat untuk para pekerja mereka.

Majlis Bandaran Nee Soon menyatakan ia mempunyai lima tempat rehat bagi para pekerja pembersihnya, satu di setiap kawasan undi sekitar GRC Nee Soon. Ruang-ruang tersebut dilengkapi dengan peralatan seperti cerek elektrik dan peti sejuk serta lokar, meja dan kerusi.

Majlis Bandaran Jurong-Clementi, yang mempunyai sekitar 500 pekerja penyumberan luar, menyatakan kebanyakan kawasan rehatnya terletak di bilik-bilik kemudahan.

Majlis Bandaran itu menambah sesetengah kontraktor juga menyewa tempat penginapan berhampiran dengan tempat kerja para pekerja mereka dan ini turut digunakan sebagai tempat rehat.

Majlis Bandaran Tampines menyatakan para pekerjanya biasanya berehat di tempat-tempat awam seperti kolong blok dan kedai kopi.

Kesemua tiga majlis bandaran tersebut menyatakan mereka akan mengkaji garis panduan berkenaan untuk menentukan bagaimana mereka boleh melaksanakan beberapa saranan yang diusulkan di dalamnya.

Mediacorp sudahpun menghubungi Majlis Bandaran Aljunied-Hougang untuk mendapatkan ulasannya.

Penasihat Perikatan Tiga Pihak mengenai Peruntukan Kawasan Rehat bagi Pekerja Penyumberan Luar dibangunkan oleh Kementerian Tenaga Kerja (MOM), Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (SNEF).

MOM menyatakan ia sudahpun mendekati majlis-majlis bandaran dan agensi-agensi awam "untuk memastikan pekerja penyumberan luar mempunyai akses kepada kawasan rehat betul dan memadai, di mana praktikal" dan ia akan berkongsi lebih banyak perincian pada masa kelak.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan