Skip to main content

Singapura

Majlis Bandaran KL, Hong Kong belajar cara WGS anjur Bazar Raya, kata Dr Maliki

Majlis Bandaran Kuala Lumpur dan sebuah delegasi dari Hong Kong datang ke Singapura pada Mei lalu untuk mempelajari cara-cara Wisma Geylang Serai (WGS) menganjurkan dan menguruskan Bazar Raya Geylang Serai. Ini kerana kedua- dua pihak tertarik dengan cara WGS mengendalikan bazar tahunan itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Majlis Bandaran KL, Hong Kong belajar cara WGS anjur Bazar Raya, kata Dr Maliki

Bazar Geylang Serai (Gambar: Izzah Imran/BERITAmediacorp)

Diterbitkan : 22 Jun 2019 07:35PM Dikemas Kini : 22 Jun 2019 08:53PM

SINGAPURA: Majlis Bandaran Kuala Lumpur dan sebuah delegasi dari Hong Kong datang ke Singapura pada Mei lalu untuk mempelajari cara-cara Wisma Geylang Serai (WGS) menganjurkan dan menguruskan Bazar Raya Geylang Serai.

Ini kerana kedua- dua pihak tertarik dengan cara WGS mengendalikan bazar tahunan itu.

BAZAR TARIK PERHATIAN PELANCONG, TETAMU LUAR NEGARA

Semasa menyampaikan ucapannya di majlis Perjumpaan Hari Raya Wisma Geylang Serai 2019 pada malam ini (22 Jun), Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar Dr Mohamad Maliki Osman berkata bahawa bazar yang berjaya memikat lebih 2 juta pengunjung itu bukan saja dipuji oleh masyarakat tempatan, malah mendapat perhatian juga daripada pelancong dan tetamu luar negara.

Related article image
Bazar Geylang Serai (Gambar fail: Izzah Imran/BERITAmediacorp)

Berdasarkan maklum balas yang diterima pada tahun lalu, WGS menurut Dr Maliki, berikrar untuk menangani keprihatinan dan memperbetulkan sebarang kelemahan untuk menampilkan konsep bazar yang lebih bertenaga dan selesa bagi para pengunjung. Bazar tahun ini juga menawarkan pengalaman yang tidak boleh dilupakan.

BERANI BUAT PERUBAHAN BESAR

Dr Maliki, yang juga Datuk Bandar CDC Tenggara, turut mendedahkan bahawa WGS perlu membuat banyak perubahan termasuk beberapa perubahan drastik pada bazar tahun ini.

Related article image
Baju kurung tradisional melayu dijual di bazar Geylang Serai (Gambar: Izzah Imran/BERITAmediacorp)

Dengan bertemakan “Datang Beramai, Pulang ke Geylang Serai”, bazar tahun ini menyaksikan semakin ramai pengunjung dan pelancong mengambil bahagian dalam pelbagai acara dan kegiatan yang dianjurkan khas sempena bulan Ramadan dan Syawal.

Ambin yang dibina di dewan utama WGS bukan saja disambut baik oleh para pengunjung, bahkan popular juga dalam kalangan majikan dan badan-badan korporat yang menempah ruang terbuka itu untuk menganjurkan majlis berbuka puasa bersama rakan-rakan sekerja.

MAKIN RAMAI USAHAWAN MUDA GIAT BERNIAGA

Turut membanggakan, semakin ramai usahawan muda tampil berniaga dalam edisi bazar tahun ini, dedah Dr Maliki.

Ada yang memperlihatkan kemahiran memasak, sementara ada pula yang menyerlahkan bakat mereka dalam bidang fesyen dan reka bentuk melalui bazar tahunan itu.

Related article image

Menurut Dr Maliki lagi, ramai usahawan muda sudahpun menyuarakan minat untuk menyertai bazar tahun depan memandangkan harga sewa yang ditawarkan pada tahun ini lebih dimampui para peniaga dan penyewa gerai.

PELBAGAI KEGIATAN MENARIK BAKAL DIANJURKAN

Berdasarkan maklum balas yang memberangsangkan, Bazar Lambak/Satay Club akan diadakan sekali lagi pada bulan Ogos.

Pada September dan Oktober pula, WGS akan memanfaatkan ruang-ruang lain di pekarangan WGS untuk menganjurkan Karnival Keluarga Mega dan Bazar Perarakan Kereta.

Related article image
Sebanyak 6,030 ketupat berjaya dianyam dalam tempoh 12 jam. (Gambar: Wisma Geylang Serai)

(Gambar: Wisma Geylang Serai)

Buat julung-julung kalinya, Pesta Makanan Hipster akan dianjurkan pada bulan November, sementara penutupan jalan raya buat kali kedua akan diadakan pada Disember kelak.

Selain meraikan Bulan Bahasa pada Oktober, WGS juga adalah antara lokasi di Singapura yang dipilih untuk mengadakan Bicentennial National Day @ Heartlands di mana orang ramai berpeluang untuk menyaksikan perbarisan kereta kebal dan kenderaan berperisai dari Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan peralatan serba canggih yang akan dipamerkan oleh Home Team pada bulan Ogos sempena sambutan Hari Kebangsaan.

WGS buat julung-julung kalinya juga akan menganjurkan Bakat WGS bagi mencungkil bakat-bakat terbaik dalam masyarakat. Butiran mengenai format peraduan ini belum lagi dapat diumumkan kerana ia masih dirancang, dedah Dr Maliki.

WGS ALU-ALUKAN LEBIH BANYAK KERJASAMA

Acara Hari Raya malam ini bukan sahaja untuk menjalin ikatan yang lebih kukuh sempena bulan Syawal tetapi juga untuk menghargai sokongan badan-badan pemerintah dan Melayu/Islam Singapura yang turut membantu menjayakan Bazar Raya Geylang Serai yang baru sahaja berlalu dan juga WGS pada amnya.

Pintu WGS terbuka luas untuk mengundang lebih ramai lagi rakan-yang ingin bekerjasama dengan WGS untuk terus menyemarakkan dan memeriahkan kawasan Geylang Serai dengan program-program kemasyakaratan dan aktiviti-aktiviti kebudayaan untuk melestarikan warisan lama supaya menjadi pemangkin evolusi warisan baru kita, kata Dr Maliki. 

Sumber : BERITA Mediacorp/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita