Skip to main content

Singapura

Majlis bandaran boleh menetapkan peraturan PMD di kolong blok: Lam Pin Min

Majlis-majlis bandaran boleh menetapkan dan menguatkuasakan peraturan sendiri bagi pengunaan alat mobiliti peribadi (PMD) di kolong-kolong flat, kata Dr Lam Lin Min.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 07 May 2019 04:02PM Dikemas Kini : 07 May 2019 11:37PM

SINGAPURA: Majlis-majlis bandaran boleh menetapkan dan menguatkuasakan peraturan sendiri bagi pengunaan alat mobiliti peribadi (PMD) di kolong-kolong flat, kata Dr Lam Lin Min, Menteri Negara Kanan Pengangkutan, di Parlimen pada Selasa (7 Mei).

Dr Lam menjawab pertanyaan Anggota Parlimen (AP) SMC Bukit Batok, Murali Pillai, yang mencadangkan supaya Kementerian Pengangkutan (MOT) menerajui kerjasama dengan majlis-majlis bandaran untuk menetapkan kolong-kolong flat sebagai kawasan untuk pejalan kaki sahaja.

Menukil insiden seorang wanita lanjut usia yang dimasukkan ke hospital setelah dilanggar oleh pengguna PMD ketika mengambil surat, Encik Pillai berkata, peraturan yang ditetapkan majlis-majlis bandaran mungkin tidak memadai bagi tujuan mencegah para pengguna PMD daripada menunggang di kolong-kolong blok.

Dr Lam berkata, dalam membuat keputusan sama ada sesuatu kawasan awam itu disifatkan sebagai laluan awam untuk dikecualikan daripada Akta Mobiliti Aktif, tiga prinsip utama dipertimbangkan.

"Yang pertama, iaitu keselamatan, kedua, kemudahan pergerakan dan ketiga, peraturan yang jelas," tambah Dr Lam.

Kolong-kolong blok dikecualikan daripada Akta tersebut kerana ia mempunyai "banyak sudut terhadang kerana adanya tiang", dan ia "tidak penting bagi pergerakan dari satu tempat ke tempat yang lain" dan "mudah ditandakan" bagi mengelak kekeliruan.

"Atas sebab itu, majlis-majlis bandaran diberi fleksibiliti untuk menetapkan dan menguatkuasakan peraturan-peraturan tersendiri bagi penggunaan alat-alat mobiliti peribadi, menurut keperluan masing-masing," kata Dr Lam.

"Oleh itu, jika sesebuah majlis bandaran merasakan, kolong-kolong flat merupakan kawasan di mana kemalangan mungkin berlaku, majlis bandaran itu boleh melarang penggunaan PMD di kolong-kolong blok."

Dr Lam menekankan bahawa "oleh sebab pelan kolong blok berlainan antara satu sama lain", majlis-majlis bandaran akan terus diberi fleksibiliti untuk membuat keputusan sama ada penggunaan PMD patut dilarang di kolong-kolong blok. 

Sumber : CNA/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita