Skip to main content

Singapura

Majlis Bandaran Bishan-Toa Payoh gagal capai rating warna hijau dalam laporan tadbir urus korporat

Anggaran Waktu Membaca:
Majlis Bandaran Bishan-Toa Payoh gagal capai rating warna hijau dalam laporan tadbir urus korporat

Blok HDB di Toa Payoh Lorong 2. (Gambar: Google Street View)

Diterbitkan : 11 Dec 2024 05:37PM Dikemas Kini : 11 Dec 2024 08:30PM
SINGAPURA: Semua majlis bandaran, kecuali Majlis Bandaran Bishan-Toa Payoh (BTPTC), mencapai rating tertinggi warna hijau bagi tadbir urus korporat dalam laporan pengurusan estet terkini yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Negara (MND).

BTPTC diberi rating warna jingga bagi Tahun Kewangan 2023 disebabkan oleh beberapa kelalaian pada pentadbirannya, dedah MND pada Rabu (11 Dis).

Majlis Bandaran Bishan-Toa Payoh tidak mendapat kelulusan menteri sebelum memulakan kerja-kerja ke atas hartanah bukan untuk dikongsi bersama dan mengagihkan dana untuk tiga projek. Kelulusan menteri yang diperlukan hanya diminta dan diberikan kepada majlis bandaran tersebut secara retrospektif.

"Memandangkan terdapat beberapa kejadian melibatkan jenis ketidakpatuhan yang serupa, ini dianggap sebagai pemerhatian tahap sederhana," menurut MND.

Lantaran itu, BTPTC memperoleh satu mata bagi penunjuk tadbir urus korporat dan diletakkan dalam kategori warga jingga bagi Tahun Kewangan 2023.

BTPTC menguruskan estet-estet HDB di GRC Bishan-Toa Payoh dan SMC Marymount. Para Anggota Parlimen bagi GCR Bishan-Toa Payoh ialah Menteri Pertahanan Ng Eng Hen, Menteri Pengangkutan Chee Hong Tat, Encik Chong Kee Hiong, Encik Saktiandi Supaat dan Menteri Negara Pendidikan merangkap Tenaga Manusia Gan Siow Huang, yang merupakan Anggota Parlimen Marymount.

MND turut mendedahkan bahawa bagi Tahun Kewangan 2023, semua majlis bandaran secara amnya melaporkan kedudukan kewangan yang bertambah baik.

Ini sebahagian besarnya disebabkan oleh peningkatan yuran Bayaran Perkhidmatan dan Penyenggaraan (S&CC), serta Pakej Sokongan Pembiayaan Khas (SFS) sekali sahaja yang diberikan oleh pemerintah kepada majlis-majlis bandaran, yang menyesuaikan yuran S&CC masing-masing.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita