Skip to main content

Singapura

Majikan tidak boleh desak pemohon kerja dedah gaji terakhir: Josephine Teo

Tidak ada undang-undang yang menetapkan bahawa pemohon kerja mesti mengisytiharkan gaji terakhir mereka, dan majikan tidak boleh mendesak mereka melakukannya, kata Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo di Parlimen pada Khamis (4 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Majikan tidak boleh desak pemohon kerja dedah gaji terakhir: Josephine Teo

Pekerja di kawasan Raffles Place (Gambar fail: Mediacorp)

Diterbitkan : 04 Jun 2020 08:24PM Dikemas Kini : 04 Jun 2020 08:28PM

SINGAPURA: Tidak ada undang-undang yang menetapkan bahawa pemohon kerja mesti mengisytiharkan gaji terakhir mereka, dan majikan tidak boleh mendesak mereka melakukannya, kata Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo di Parlimen pada Khamis (4 Jun).

Sebaliknya, "pendekatan praktikal" harus diambil sama ada majikan dibenarkan untuk meminta maklumat itu, kata Cik Teo, kerana gaji terakhir pemohon kerja dapat membantu majikan mengukur tahap pengalamannya atau membuat tawaran pekerjaan yang sesuai.

Cik Teo berkata demikian sebagai menjawab soalan Anggota Parlimen (AP) Saktiandi Supaat tentang bagaimana amalan itu mempengaruhi daya bekerja dan pakej gaji pemohon, dan sama ada ia harus dihentikan.

Majikan yang menggunakan gaji terakhir sebagai ukur tara untuk menyaring calon kerja berisiko kehilangan calon baik yang bersedia menyesuaikan jangkaan gaji mereka, terutama pada masa sekarang, kata Cik Teo.

"Juga kurang bijak bagi majikan untuk mengabaikan rekod pekerjaan dan berapa lama pemohon sudah bekerja, lalu membuat tawaran hanya berdasarkan gaji terakhir diterimanya, terutama jika jawatan tersebut adalah pekerjaan sementara," tambahnya.

"Sekiranya seorang pemohon memilih untuk mendedahkan maklumat gaji, majikan harus menggunakannya dengan berhati-hati."

Membalas jawapan itu, Encik Saktiandi berkata pencari kerja seperti graduan baru mungkin teragak-agak untuk mengambil pekerjaan yang menawarkan gaji di bawah paras median, kerana bimbang gaji mereka pada masa depan akan selalu ketinggalan jika dikaitkan dengan gaji terakhir yang diterima.

Beliau ingin tahu sama ada pihak berkuasa dapat mengkaji masalah tersebut sebelum pasca COVID-19, sambil merujuk kepada Akta Keadilan Gaji (Paycheck Fairness Act) yang diluluskan oleh Kongres Amerika Syarikat pada 2019 yang menangani isu meletakkan gaji dalam permohonan kerja.

"Apa yang saya bimbangkan ialah sama ada beberapa amalan berhubung gaji oleh majikan ini sebenarnya akan menyebabkan kesan negatif lebih lanjut pada masa depan, sehingga memburukkan jumlah pengangguran," katanya.

Memetik pengalamannya sebelum ini sebagai pengarah sumber manusia, Cik Teo menjawab bahawa syarikat biasanya melihat pada pelbagai faktor - selain daripada gaji terakhir seseorang - ketika mereka membuat tawaran kerja.

Sekiranya syarikat mengukur "nilai seorang pemohon pada organisasi" semata-mata pada gaji terakhir diterimanya, maka, Cik Teo menasihatkan pencari kerja supaya: "Carilah majikan lain. Ini bukan syarikat yang harus anda beri terlalu banyak perhatian."

"Dan sebenarnya, rakan-rakan kerja kami ... berbesar hati bekerja dengan pemohon kerja untuk meneroka pilihan lain."

Beliau menambah: "Jangan menghabiskan terlalu banyak masa dan buang tenaga anda dengan majikan seperti ini yang tidak dapat melihat lebih daripada satu nombor."

AP Louis Ng pula bertanya jika Pemerintah akan mengkaji sama ada masalah tersebut menyumbang kepada jurang gaji antara jantina di Singapura. Ini memandangkan sebuah kajian yang diterbitkan pada April yang mengkaji larangan pengisytiharan gaji di California mendapati bahawa undang-undang baru itu merapatkan jurang gaji antara lelaki dan wanita di wilayah itu.

Cik Teo menjawab bahawa beliau berpendapat ada faktor lain yang lebih menonjol yang menyebabkan masalah itu.

"Kami mempunyai banyak perkara lain untuk ditangani dan kajian-kajian yang berguna, akan kami menelitinya, tetapi tidak realistik untuk meneliti setiap kajian," tambahnya.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita