Majikan SG ini usaha kumpul S$200,000 buat amah Indonesia yang tiba-tiba rebah
Amah Indonesia, Cik Yuniati (berbaju jingga), 43 tahun, tiba-tiba rebah dan kini dalam keadaan kritikal di Singapura. (Gambar-gambar: Faizal Nordin)
Malangnya, pada 8 April, dua hari sebelum takbir Raya bergema, beliau tiba-tiba rebah di rumah majikannya.
Cik Yuniati kini sudah hampir lima minggu terlantar di atas katil Unit Jagaan Rapi (ICU) Hospital Universiti Nasional (NUH) dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Doktor mendapati pembantu rumah itu mengalami aneurisme di bahagian kritikal otaknya. Aneurisme berlaku apabila pembuluh darah di bahagian otak pesakit membengkak.
Bagi Cik Yuniati, pembuluh darahnya akhirnya pecah lalu menyebabkan beliau mengalami pelbagai komplikasi. Kos perubatannya pula dianggarkan mencecah S$200,000.
Ini mendorong majikan beliau untuk melancarkan satu kempen mengumpul dana buat Cik Yuniati yang akan dihantar pulang ke pangkuan suami dan anak lelakinya.
YUNIATI TABAH JAGA WARGA EMAS, SUDAH DIANGGAP SEBAGAI KELUARGA
Salah seorang anggota keluarga majikannya, Encik Faizal Nordin, 41 tahun, berkongsi bahawa Cik Yuniati ditugaskan menjaga neneknya yang berusia 90 tahun sepanjang dua tahun lalu.
Beliau disifatkan sebagai seseorang yang "sangat penyabar, tidak mementingkan diri sendiri dan bertanggungjawab". Cik Yuniati juga dikatakan menjalin hubungan istimewa dengan keluarga Encik Faizal dan "dianggap sebagai keluarga".
Pembantu rumah itu hanya mengadu "sangat sakit kepala" sehari sebelum beliau rebah. Keluarga majikannya sempat membawanya ke klinik dan ibu satu anak itu pun berehat di rumah. Keadaan beliau bagaimanapun memburuk pada keesokan harinya.
"Semasa beliau perlu menggunakan bilik air, salah satu daripada kami sedang menemani beliau. Malangnya beliau rebah dan tidak sedarkan diri. Kami segera menghubungi ambulans," cerita Encik Faizal Nordin.
MAJIKAN SUDAH BAYAR S$37,000 KOS PERUBATAN YUNIATI
Semasa dirawat di NUH, kumpulan doktor yang merawat Cik Yuniati mendapati beliau mengalami beberapa komplikasi lain.
Cik Yuniati dipercayai "beberapa kali diserang angin ahmar" dan ini menjejas bahagian-bahagian kritikal otaknya. Warga Indonesia itu juga disyaki mengalami jangkitan pada jantung.
Sebagai seorang warga asing di Singapura, Cik Yuniati tidak dapat menerima sebarang subsidi. Jadi bayangkan, betapa tinggi kos perubatan yang perlu ditanggung jika beliau terus dirawat di sini.
Insurans Cik Yuniati juga sekadar menampung S$60,000 yuran hospital dan S$10,000 untuknya dihantar pulang.
Encik Faizal memberitahu BERITA Mediacorp, keluarganya sejauh ini sudah membayar kira-kira S$37,000 bagi perbelanjaan perubatan pembantu rumah mereka itu.
WANG DIPERLUKAN BAGI RAWATAN JANGKA PANJANG
Buat masa ini NUH belum membenarkan Cik Yuniati dipindahkan menerusi pengangkutan udara disebabkan keadaannya yang kritikal. Beliau akan terus ditahan di ICU sehingga keadaannya stabil dan dapat bernafas sendiri.
Pun begitu, doktor-doktor percaya Cik Yuniati akan dapat kembali bergerak jika beliau menjalani fisioterapi dan mendapatkan jagaan serta sokongan perubatan sepenuh masa.
"Kami memohon bantuan anda untuk mengumpul S$200,000 untuk membiayai perbelanjaan buatnya kembali ke pangkuan keluarga dengan selamat, menerusi ambulans udara, serta sokongan kewangan buat keluarganya bagi pemulihannya yang akan memakan masa panjang," tambah Encik Faizal.
Setakat rencana ini diterbitkan, usaha keluarga Encik Faizal baru mengumpul lebih S$27,000.
Mengimbas kembali detik-detik sebelum malang menimpa pembantu rumah itu, Encik Faisal berkongsi betapa Cik Yuniati "sangat seronok dan tidak sabar untuk kembali bersatu dengan keluarganya".
"Beliau mahu pulang ke rumah bagi majlis berkhatan anak lelakinya yang dijadualkan dua minggu selepas Raya pertama. Kami sudah membelikan tiket buatnya bagi acara istimewa ini," ujar Encik Faizal.
Yang pasti, Cik Yuniati masih berjuang dari atas katil hospital dan masih jauh daripada mencapai impiannya.
Mereka yang ingin membuat sumbangan boleh melakukannya menerusi pautan ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.