Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Majikan pemegang permit kerja bukan warga M'sia boleh kongsi kos berkaitan COVID-19: MOM

Majikan sedia ada bagi pemegang permit kerja bukan warga Msia yang memindahkan mereka ke majikan seterusnya boleh berkongsi kos menjalani Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) dan ujian-ujian berkaitan dengan COVID-19 berkuat kuasa serta-merta.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 12 Nov 2021 11:31AM Dikemas Kini : 12 Nov 2021 08:50PM

SINGAPURA: Majikan sedia ada bagi pemegang permit kerja bukan warga Msia yang memindahkan mereka ke majikan seterusnya boleh berkongsi kos menjalani Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) dan ujian-ujian berkaitan dengan COVID-19 berkuat kuasa serta-merta.

Kos-kos sedemikian boleh dikongsi jika tempoh pemindahan dibuat dalam masa 12 bulan setelah SHN selesai dijalani, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) hari ini (12 Nov).

Satu lagi kriteria adalah majikan sedia ada tidak boleh menerima lebih daripada jumlah yang dibayar untuk SHN dan ujian COVID-19 dan kedua-dua majikan mesti menandatangani perjanjian bertulis yang harus dikekalkan selama setahun.

MOM menyarankan supaya majikan sedia ada menanggung kos pada kadar pro rata mengikut tempoh penggajian pekerja dalam tempoh 12 bulan.

Para majikan juga boleh menentukan peruntukan sendiri kos mengikut persetujuan bersama, ia menambah.

MOM menyatakan aturan perkongsian kos itu tertakluk kepada para majikan yang mengizinkan untuk memindahkan pemegang permit kerja.

"Memandangkan para pemegang permit kerja warga Malaysia boleh menukar majikan tanpa perlu mendapatkan izin majikan, pilihan perkongsian kos sedemikian tidak dikenakan ke atas para majikan," menurut MOM.

Sebaliknya, para majikan pemegang permit kerja warga Malaysia boleh mempertimbangkan untuk menetapkan syarat kontrak seperti tempoh penggajian minimum atau tempoh notis untuk berhenti kerja, menurut MOM.

Syarat-syarat sedemikian harus dipersetujui oleh kedua-dua majikan dan pekerja dan "mempunyai tempoh munasabah" seperti tiga hingga enam bulan bagi tempoh penggajian minimum, ia menambah.

Jika pekerja itu melanggar syarat pekerjaan, mereka perlu membayar balik kos notis SHN dan ujian-ujian berkaitan COVID-19 kepada majikan mereka, menurut MOM.

Bayaran balik itu boleh dilakukan secara separuh atau sepenuhnya, bergantung kepada tempoh perkhidmatan mereka, menurut MOM.

Tempoh permit kerja adalah sehingga dua tahun dan ia bagi para pekerja yang datang dari negara-negara sumber diluluskan yang bekerja dalam sektor binaan, perkilangan, limbungan kapal marin, pemproses atau perkhidmatan.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan