Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Majikan, pembantu rumah diharap buat penyesuaian dan bina kepercayaan sebelum peraturan cuti wajib dilaksanakan

Sentimen itu dikongsikan sebuah agensi pembantu rumah dan beberapa pembantu rumah yang ditemui BERITAmediacorp. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Para majikan yang menggajikan pembantu rumah hijrahan diharapkan untuk menggunakan tempoh lebih setahun untuk membuat penyesuaian dan membina kepercayaan sebelum peraturan cuti wajib dilaksanakan pemerintah menjelang hujung tahun 2022.

Sentimen itu dikongsikan sebuah agensi pembantu rumah dan beberapa pembantu rumah yang ditemui BERITAmediacorp.

Mereka memberikan pandangan itu menyusuli pengumuman Kementerian Tenaga Manusia (MOM) bagi mewajibkan para majikan untuk memberi pembantu rumah hijrahan mereka sekurang-kurangnya satu hari cuti sebulan.

MOM juga menyatakan bahawa satu hari cuti itu tidak boleh ditukar ganti dengan penambahan gaji seperti yang diamalkan sekarang.

MAJORITI SOKONG LANGKAH MOM

Para pembantu rumah yang ditemui BERITAmediacorp amat mengalu-alukan peraturan baru tersebut.

Antara mereka adalah Srihastuti, 37 tahun, yang sudah bekerja di Singapura sejak 12 tahun lalu.

Apabila dia mula-mula bekerja di sini, kontrak kerja pertama yang ditawarkan kepadanya hanya menjanjikan gaji $340, tiada hari cuti selama dua tahun dan tidak dibenarkan mengguna telefon bimbit.

Para pekerja domestik migran meluangkan masa sewaktu hari cuti mereka. (Gambar: BERITAmediacorp)

Srihastuti (kiri) bertemu dengan rakannya semasa hari cuti yang diberikan majikan.

Namun, atas tekad untuk mencari rezeki bagi membantu keluarganya di Jawa Barat, dia tidak berfikir dua kali untuk menerima tawaran itu.

Bagaimanapun setelah beberapa bulan bekerja, dia mula berasa agak berat untuk terus bekerja tanpa hari rehat.

Srihastuti menjelaskan: "Dulu aku awal-awal kerja di sini, sama juga cutinya sebulan sekali kerana memang dalam perjanjian tidak ada cuti. Cuma atas kebijakan majikan yang saya minta cuti kerana dengan alasan penat dan tertekan dan mereka beri aku cuti sebulan sekali."

"Menurut aku bergantung kepada sikap masing-masing. Ada saja yang cuti setiap minggu tetapi suka tinggal di rumah, hanya keluar kalau ada keperluan penting saja," tambah Srihastuti.

Mentelah lagi, dia dan beberapa lagi pembantu rumah berkata mereka memerlukan hari cuti itu bukan untuk berehat semata-mata.

"Kerana kita setiap bulan perlu kirim wang ke rumah jadi kita perlu keluar buat kirim," kata Halimah, yang sudah bekerja di Singapura selama tujuh tahunnya.

Namun begitu, Srihastuti juga menasihati rakan-rakan setugasnya untuk terus menghormati kontrak dan persetujuan yang sudah ditetapkan sebelum mereka mula bekerja dengan majikan mereka.

"Kamu jangan ambil kerja itu sekiranya kamu tidak mampu melakukannya dan kadang ada juga yang berubah fikiran kerana sudah sampai di sini lihat teman-teman ada hari cuti, ikut hendak cuti juga walau pada awalnya tidak ada hari cuti," tegasnya yang kini sudah diberi kepercayaan untuk mengambil cuti setiap hari Ahad dan meraih gaji sebanyak $900.

KEPRIHATINAN DARI PIHAK MAJIKAN

Dasar itu akan mula berkuat kuasa pada hujung tahun 2022 dan merupakan antara beberapa langkah yang bakal dilaksanakan MOM untuk bantu memperkukuh sokongan kepada pembantu rumah dan kesejahteraan mereka.

Sejak perkara itu diumumkan minggu lalu (22 Jul), beberapa majikan sudah berkongsi keprihatinan mereka kepada pihak agensi.

Menurut pengasas Hilwah Maid Agency, Hilwah Brown, ada di antara mereka memang benar-benar memerlukan pembantu rumah sepanjang minggu untuk menjaga anak-anak kecil atau orang tua dan ada juga yang khuatir akan pergaulan pembantu rumah bila mereka keluar pada hari cuti.

Pengasas Hilwah Maid Agency, Cik Hilwah Brown. (Gambar: BERITAmediacorp)

Oleh itu Cik Hilwah menasihatkan para majikan untuk menggunakan tempoh lebih setahun ini sebelum langkah itu dikuatkuasakan, untuk membuat penyesuaian dan saling bina kepercayaan dengan para pembantu rumah mereka.

"Mereka boleh mengehadkan masa 'Okey bibik, kamu jangan pulang selepas Maghrib begitu'. Beri mereka sedikit disiplin bukan satu masalah. Berbual dengan pembantu misalnya 'Bibik, tadi pergi ke mana? Jumpa dengan siapa'. Berbual secara santai dan daripada situ, kita seorang majikan akan mendapat kepercayaan secara tidak langsung. Pembantu rumah akan berfikir majikan saya ini percaya dengan saya. Jadi kalau diberi dengan kebaikan, mereka akan memberi kebaikan lebih daripada itu," ujar beliau.

Selain itu, Cik Hilwah turut menekankan peri pentingnya untuk pihak agensi sama-sama memainkan peranan dalam membantu para majikan melakukan penyesuaian tersebut.

Beliau berkata: "Kita selalu mengadakan latihan sendiri iaitu menerangkan kepada para pembantu jangan ambil kesempatan daripada hari cuti ini.

"Kita akan menerangkan kepada para pembantu rumah untuk mendaftarkan diri bagi kursus-kursus yang dianjurkan khas buat para pembantu rumah seperti kelas memasak, kelas agama dan kelas bahasa Inggeris."

Beliau turut mengesyorkan agar pihak majikan untuk memanfaatkan khidmat kaunseling yang ditawarkan pihak agensi bagi membantu mereka dalam sebarang masalah dengan pembantu rumah mereka. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan