Skip to main content

Singapura

Majikan, pekerja harus bersikap fleksibel terhadap kerja 4 hari seminggu

Anggaran Waktu Membaca:
 Majikan, pekerja harus bersikap fleksibel terhadap kerja 4 hari seminggu

Pekerja pejabat di Raffles Place di Singapura pada 4 Januari 2022. (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

SINGAPURA: Para majikan dan pekerja harus mengambil pendekatan "fleksibel" mengenai aturan bekerja empat hari seminggu.

Demikian menurut Menteri Negara Tenaga Manusia Gan Siow Huang, di Parlimen hari ini (13 Sep).

Beliau menambah tempoh bekerja empat hari seminggu mungkin baik bagi sebahagian majikan dan pekerja tetapi sebaliknya bagi sebahagian yang lain.

"Tempoh bekerja empat hari seminggu adalah salah satu daripada pelbagai jenis aturan kerja fleksibel dan pihak kementerian (MOM), bersama-sama rakan-rakan perikatan tiga pihak kami, amat menggalak para majikan dan pekerja supaya lebih bersikap terbuka kepada aturan kerja fleksibel dalam segala bentuk untuk mengenal pasti dan mengamalkan aturan yang paling sesuai dengan keperluan unik perniagaan mereka serta keperluan pekerja masing-masing," kata Cik Gan.

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Anggota Parlimen (AP) Melvin Yong (PAP-Radin MAs) tentang sama ada kajian sudah dijalankan oleh pihak-pihak ketiga untuk meneliti sama ada tempoh bekerja empat hari seminggu boleh dilaksanakan di Singapura.

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) bagaimanapun tidak sedia maklum tentang sebarang kajian sedemikian yang dijalankan oleh pihak ketiga, kata Cik Gan, sambil menambah bahawa laporan berhubung percubaan melaksanakan tempoh bekerja empat hari seminggu di negara-negara lain agak bercampur-campur.

Ini termasuk program perintis di Ireland, Jepun dan Sepanyol. Di Belgium, para pekerja berhak meminta aturan bekerja empat hari seminggu tetapi setiap hari waktu kerja mereka dilanjutkan supaya jumlah keseluruhan tempoh mereka bekerja dalam seminggu kekal sama, kata beliau.

"Sejauh ini, dapatannya agak bercampur-campur. Beberapa kebimbangan utama yang dinyatakan pihak-pihak berkepentingan termasuk kesan ke atas produktiviti, kos perniagaan dan kesejahteraan pekerja," kata Cik Gan.

Beliau menambah meskipun peningkatan pada tahap daya penghasilan dilaporkan bagi beberapa kes, ini bergantung kepada sektor dan jenis kerja.

"Dalam beberapa contoh, tempoh bekerja yang dikurangkan perlu digantikan dengan menggajikan lebih ramai pekerja," ujar Cik Gan.

"Pada masa yang sama, para pekerja bimbang sekiranya gaji mereka mungkin dikurangkan disebabkan oleh tempoh bekerja yang berkurangan, manakala sebahagian daripada mereka mungkin berdepan lebih banyak tekanan apabila waktu bekerja mereka dalam sehari lebih panjang untuk menyelesaikan tugasan."

Encik Yong juga bertanya sama ada MOM merancang untuk menjalankan uji kaji pada skala yang lebih kecil bagi tempoh bekerja empat hari seminggu itu dalam kalangan para pegawainya atau bahagian-bahagian lain perkhidmatan awam.

Beliau berkata, ini boleh membantu dalam latihan dan pengambilan kemahiran tambahan serta mempertingkatkan keseimbangan antara kehidupan dan pekerjaan bagi para pekerja.

Cik Gan menjawab MOM tidak berhasrat untuk menetapkan sebarang uji kaji atau melaksanakan formula bagi aturan kerja fleksibel dalam sektor awam dan beliau akur tentang keperluan yang pelbagai dalam sektor dan peranan kerja yang berbeza-beza.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita