Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Majikan khidmat jagaan kesihatan harus pelbagaikan sumber pekerja di tengah kekurangan jururawat Filipina: Koh Poh Koon

Majikan dalam sektor jagaan kesihatan harus mempelbagaikan sumber pekerja mereka di tengah-tengah masalah bekalan jururawat dari Filipina, kata Menteri Negara Kanan bagi Kesihatan Koh Poh Koon di Parlimen pada Selasa (27 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 27 Jul 2021 06:23PM Dikemas Kini : 28 Jul 2021 02:23PM

SINGAPURA: Majikan dalam sektor jagaan kesihatan harus mempelbagaikan sumber pekerja mereka di tengah-tengah masalah bekalan jururawat dari Filipina, kata Menteri Negara Kanan bagi Kesihatan Koh Poh Koon di Parlimen pada Selasa (27 Jul).

Negara Filipina, yang merupakan salah satu sumber terbesar bagi jururawat di dunia, mencapai had tahunan pengerahan pekerja jagaan kesihatan seramai 5,000 orang pada lewat Mei. Permit yang membenarkan pekerja jagaan kesihatan bekerja di luar negara, digantung oleh pemerintah Filipina.

Meski Filipina menambah had tahunannya kepada 6,500 menyusuli permintaan tinggi, Dr Koh berkata Kementerian Kesihatan (MOH) sedang bekerja dengan majikan untuk memastikan terdapat tenaga kerja jururawat yang mencukupi dan mapan di sini.

"Majikan harus juga mempelbagaikan sumber pengambilan pekerja mereka," kata beliau, yang juga merupakan Menteri Negara Kanan bagi Tenaga Manusia.

Menukil sebuah laporan oleh Lembaga Kejururawatan Singapura pada 2019, Dr Koh berkata sekitar 7,600 atau 18 peratus tenaga kerja jururawat di Singapura adalah warga Filipina.

Beliau turut berkongsi bahawa bekalan jururawat tempatan telah meningkat. Pada 2020, terdapat sekitar 1,400 pendaftaran baru warga Singapura, berbanding 1,200 pada 2019, kata beliau.

Dr Koh menganggap kenaikan itu disebabkan "usaha-usaha lampau" untuk meningkatkan kemasukan ke bidang kejururawatan di institusi-institusi pengajian tinggi Singapura.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Anggota Parlimen Foo Mee Har (PAP-West Coast), yang ingin tahu sama ada MOH dapat memberi perangkaan tentang sejauh mana Singapura bergantung kepada jururawat-jururawat Filipina dan kesan penggantungan permit negara itu terhadap sistem jagaan kesihatan Singapura.

Cik Foo juga bertanya jika peralihan dalam protokol kesihatan MOH apabila COVID-19 dianggap endemik akan menambah beban terhadap jururawat, serta bagaimana Singapura boleh memperbanyakkan bekalan jururawatnya sendiri demi mengurangkan penggantungan pada jururawat asing.

Menteri Kesihatan Ong Ye Kung dalam kenyataan menterinya pada Isnin berkata bahawa Singapura harus mengubah protokol penjagaan kesihatan bagi COVID-19 kepada cara ia menangani demam selesema.

Ini termasuk membenarkan lebih ramai kes COVID-19 yang sudahpun menerima suntikan vaksin dan menunjukkan gejala ringan atau tidak mengalami sebarang gejala terus dimasukkan ke kemudahan penjagaan masyarakat, dan bukan hospital.

Dr Koh berkata pihak kementerian mempunyai pelan untuk mengerahkan jururawat ke kemudahan-kemudahan penjagaan kesihatan ini, sama seperti ketika ramai pekerja hijrahan dirawat di kemudahan tersebut itu.

Beliau menambah selain jururawat dan doktor yang lebih tertumpu pada penyeliaan perubatan, terdapat juga relawan yang memberi bantuan lebih berbentuk penjagaan masyarakat kerana "tidak memerlukan jagaan rapi" seperti penjagaan hospital akut.

Secara keseluruhan, sekitar 7.5 jururawat bagi setiap 1,000 penduduk ialah "angka yang baik" jika dibandingkan dengan ekonomi Asia lain, kata Dr Koh.

"Namun...sedang rakyat kami semakin menua, permintaan bagi khidmat jagaan kesihatan akan meningkat dan tenaga manusia perlu meningkat setara dengannya," tambah beliau.

Dr Koh menekankan bahawa Pemerintah telah mula menaikkan gaji dasar bagi jururawat sektor awam dan berusaha menyediakan aturan kerja yang lebih fleksibel, serta laluan kerjaya yang pelbagai untuk menarik lebih ramai warga Singapura menceburi kerjaya tersebut.

Sumber : CNA/IH/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan