Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Majikan, kesatuan sekerja sambut baik lanjutan Kredit Pekerjaan Warga Emas; jadikan pekerja lanjut usia aset syarikat

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Selepas hampir empat dekad dalam industri perhotelan dan kemudian menjadi penyelaras makanan dan minuman (F&B) di Hospital Besar Tan Tock Seng, Encik Rahmat Hamid membuat pilihan untuk bersara pada usia 58 tahun.

Namun setelah beberapa tahun berehat, Encik Rahmat kemudian berhasrat mahu kembali bekerja dan menabur bakti kepada masyarakat.

'

"Saya rasa saya perlu mendapatkan pekerjaan yang tetap sebab umur pun sudah meningkat lebih 60 tahun," jelas Encik Rahmat.

Beliau akhirnya menyertai sektor penjagaan warga emas dan kini bekerja di kemudahan penjagaan All Saints Home di Yishun sejak 2021.

Keputusannya itu tidak disesali Encik Rahmat yang kini mencecah usia 62 tahun.

'

Ini lebih-lebih lagi setelah Kredit Pekerjaan Warga Emas dilanjutkan sehingga 2025 diumumkan pemerintah dalam Belanjawan tahun ini.

Dalam tempoh ini, para pekerja menerima sehingga lapan peratus gaji yang dibayar kepada para pekerja rakyat Singapura yang berusia 55 dan ke atas, bergantung pada usia dan gaji pekerja itu.

Imbangan gaji itu tertakluk kepada pekerja sedemikian yang mendapat meraih pendapatan bawah S$4,000 setiap bulan, dengan lebih banyak bantuan diberi kepada para majikan yang menggajikan pekerja lebih lanjut usia.

SKIM DIMANFAAT MAJIKAN UNTUK HANTAR PARA PEKERJA LANJUT USIA KE KURSUS, LATIHAN

Ketua Kelab Gaya Hidup Warga Senja All Saints Home, Encik Jonathan Zhang juga amat mengalu-alukan sokongan Pemerintah menerusi lanjutan Kredit Pekerjaan Warga Emas kali ini.

Beliau berkata: "Saya rasa ini satu inisiatif yang baik. Kita percaya dalam mengambil para pekerja daripada pelbagai latar belakang. Dengan adanya kredit ini, kita juga lebih yakin untuk mengambil para pekerja lanjut usia dan memahami bahawa kita boleh meningkatkan kemahiran mereka juga."

'

Menurut Encik Zhang, pekerja lanjut usia membentuk hampir 60 peratus tenaga kerja di All Saints Home sejak tahun lalu.

Bagi Encik Zhang, pekerja berpengalaman seperti Encik Rahmat bukan sahaja menyumbang tenaga tetapi menjadi mentor kepada para pekerja lebih muda.

"Para pekerja usia senja seperti Encik Rahmat mempunyai banyak pengalaman yang mereka bawa daripada pekerjaan-pekerjaan lalu. Saya percaya bahawa golongan ini adalah sangat penting untuk mengajar golongan pekerja muda, misalnya dalam cara untuk menangani situasi menjaga golongan warga senja," kata Encik Zhang.

Menerusi skim itu juga, All Saints Home dapat menghantar para pekerja lanjut usia seperti Encik Rahmat untuk mengikuti kursus-kursus latihan dan kemahiran.

Encik Rahmat berkata, "Kursus yang saya hadiri ini saya belajar 14 jenis bidang berlainan tetapi kursus hanya sandaran dalam bidang pekerjaan. Kemampuan seseorang itu penting untuk menjaga orang tua pada masa sekarang."

'

Beliau merasakan bahawa meskipun usianya sudah meningkat, kemahiran baru masih perlu terus ditimba.

"Golongan yang sudah bersara, kalau bagus ambil peluang dalam apa-apa bidang yang sesuai untuk mereka. Apabila usia semakin meningkat, kita tidak boleh seperti dulu. Jadi perlu ambil bidang yang sesuai."

"Lebih baik kita menyesuaikan diri kepada bidang-bidang yang kita sudah ceburi dan kita cuba ambil pembaharuan dalam kehidupan kita," tambah Encik Rahmat.

GOLONGAN PEKERJA LANJUT USIA JUGA PERLU LIHAT KEPADA SEKTOR-SEKTOR MEMBANGUN

Dasar-dasar, bantuan serta sokongan bagi golongan pekerja yang diumumkan dalam Belanjawan 2023 juga dialu-alukan oleh Pengarah Operasi NTUC, Mohd Fahmi Aliman.

"Belanjawan tahun ini amat merangkumi semua aspek, daripada pekerja kepada keluarga. Dari segi pekerjaan, saya rasa inisiatif amat penting adalah untuk membantu syarikat-syarikat mempertingkatkan daya produktiviti mereka. Jika ia lebih mantap, dan lebih membangun, ia akan membantu para pekerja kita," kata Encik Fahmi.

Encik Fahmi juga berharap para majikan boleh melihat warga emas sebagai aset dari segi pengalaman yang dapat dikongsi dengan pekerja lebih muda.

'

Beliau berkata: "Para majikan tidak patut melihat mereka sebagai di antara jumlah pekerja sahaja. Kalau pandangannya begitu, mereka pastinya tidak akan dapat bekerja sepantas para pekerja muda. Kita perlu tingkatkan kesedaran dan kesedaran kepada para majikan."

"Kita perlu membantu warga senja untuk terus meningkatkan kemahiran mereka. Banyak lagi kursus yang memang ditumpukan kepada warga-warga senja. Jadi banyak cara yang boleh dilakukan untuk memberi mereka peluang. Yang penting, mereka mesti mahu belajar dan mempertingkatkan diri sendiri," tambah beliau lagi.

Encik Fahmi juga menasihatkan para pekerja matang seperti Encik Rahmat untuk memantau sektor-sektor yang membangun dan yang boleh memberikan lebih banyak peluang pekerjaan buat mereka.

Lantaran itu, Encik Fahmi menegaskan kepentingan untuk meningkatkan kesedaran serta keyakinan golongan itu agar mereka boleh terus menyumbang dan memberi manfaat kepada diri mereka.

Menurut Encik Fahmi, itu juga sesuatu yang akan diusahakan di dalam Bidang Tumpuan Keempat (FA4) di bawah gerakan M³ yang bertujuan mempersiapkan tenaga kerja sekarang dan masa depan untuk memanfaatkan peluang-peluang pekerjaan dalam landskap pasca COVID-19 dan bersedia untuk masa depan.

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan