Skip to main content

Singapura

Majikan gesa pemerintah bantu ringankan kos berkait dasar keibubapaan, langkah mesra keluarga

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 21 Aug 2026 07:19PM Dikemas Kini : 04 Sep 2026 10:18PM
  • Majikan dan pertubuhan di Singapura menggesa pemerintah menanggung lebih banyak kos berkaitan dasar keibubapaan untuk meringankan beban syarikat.
  • Cadangan ini timbul menjelang Rapat Umum Hari Kebangsaan, dengan Perdana Menteri Lawrence Wong dijangka mengumumkan sokongan baharu kepada keluarga.
  • Pemain industri menekankan perlunya perubahan budaya kerja, termasuk aturan kerja lebih fleksibel dan kepercayaan antara majikan serta pekerja.
  • Langkah ini bertujuan menangani isu kadar kelahiran menurun dan memastikan keseimbangan antara keperluan keluarga serta operasi perniagaan.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Majikan menggesa pemerintah menghulurkan lebih banyak sokongan bagi meringankan kos yang ditanggung terkait dasar keibubapaan, selain memastikan perniagaan dapat terus memenuhi keperluan operasi apabila melaksanakan langkah-langkah mesra keluarga.

Gesaan sedemikian dikemukakan menjelang Rapat Umum Hari Kebangsaan pada Ahad (23 Ogos), di mana Perdana Menteri Lawrence Wong dijangka mengumumkan rancangan untuk menghulurkan lebih banyak sokongan kepada keluarga.

Para pemain industri berpandangan isu perkahwinan, keibubapaan dan kadar kelahiran yang merosot di Singapura adalah masalah berlapik yang memerlukan huraian berbentuk serampang berbilang mata.

Gelombang pertama cadangan oleh kumpulan kerja perkahwinan dan keibubapaan bakal diumumkan tidak lama lagi.

Lantaran itu, pelbagai pihak menantikan, bagaimana dasar-dasar baharu itu akan dilaksanakan.

Satu saranan mereka ialah mendapatkan pemerintah, dan bukannya majikan, untuk menanggung kos lebih besar sokongan keibubapaan kepada para pekerja.

Presiden, Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana, Ang Yuit berkata: "Pemerintah boleh tampil untuk mengurangkan kos, seperti penjagaan anak. Sekarang, jika anda bincang tentang cuti bersalin selama empat bulan - dua bulan dibayar oleh syarikat dan dua bulan lagi dibayar oleh pemerintah - saya rasa, jika ia boleh dilakukan, dan kos lebih besar dapat ditanggung oleh pemerintah, saya fikir ia akan benar-benar membantu."

Di bawah skim sedia ada, memberikan hari-hari cuti bersalin dan cuti bapa untuk pekerja menambahkan kos kepada syarikat.

Ini kerana majikan terus membayar gaji pekerja berkenaan, di samping perlu menggajikan pekerja gantian.

Satu lagi gesaan utama ialah berkaitan budaya di tempat kerja.

Melangkaui Cuti Dikongsi Ibu Bapa (SPL) dan garis panduan perikatan tiga pihak, pertubuhan-pertubuhan setempat juga menyokong aturan kerja lebih longgar, bersandarkan rasa percaya yang tinggi antara pekerja dan majikan.

Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (SNEF), Hao Shuo berkata: "Jadi apabila si pekerja tiada, atas apa sebab sekalipun, jika majikan masih boleh mempercayai pekerja itu bahawa pada akhirnya, sasaran tugas siap dicapai, maka saya fikir itu akan membantu untuk mewujudkan sebuah budaya, di mana keutamaan kerja masih dipenuhi dan pekerja dapat mengisi keperluan keluarga mereka dan jagaan anak mereka."

Memandangkan cabaran penekatan yang dihadapi Singapura, kedua-dua pemain industri itu berkata usahanya harus bermula dari sekarang.

Ia bermakna mengorak langkah tegas dan berani ke arah mendakapi sebuah sistem yang menyokong keluarga di rumah dan di tempat kerja, serta fasa berbeza dalam membesarkan anak.
Sumber : CNA/FZ/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita