Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Majikan firma binaan dipenjara 3 minggu; serang pekerja dengan palang besi dek pertikaian gaji

Anggaran Waktu Membaca:
Majikan firma binaan dipenjara 3 minggu; serang pekerja dengan palang besi dek pertikaian gaji

Mahkamah Negara di Singapura. (Gambar fail: Jeremy Long)

SINGAPURA: Gara-gara marah kerana bertikai dengan pekerjanya mengenai gaji tertunggak, seorang majikan syarikat binaan menghayunkan palang besi ke arah pekerja itu, menyebabkan kepalanya cedera.

Pada Jumaat (19 Ogos), Ho Seow Gai, 67 tahun dihukum penjara tiga minggu selepas dia mengaku bersalah sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Encik Mia Rashed, seorang warga Bangladesh berusia 39 tahun.

Encik Rashed merupakan kakitangan syarikat Ho, Ho Seow Gai Construction ketika kejadian pada 12 Februari tahun lepas.

Pada 11 Februari, Encik Rashed memberitahu Ho bahawa beliau mahu dapatkan gajinya yang tertunggak. Ho berkata dia akan membayarnya esok.

Encik Rashed mengulangi permintaannya pada keesokan hari. Ho menjawab dia akan berjumpanya di sebuah tapak perindustrian di Sungei Kadut untuk membincangkan perkara itu.

Tidak jelas sebab dia memilih tempat berkenaan di bahagian utara Singapura.

Apabila mereka bertemu, kedua-dua lelaki itu mula bertengkar. Akhirnya, Ho mencapai sebatang palang besi yang beratnya hampir 500 gram dan mula menyerang Encik Rashed.

Pukulan pertama terkena kepala Encik Rashed manakala yang kedua kalinya terkena tangannya yang beliau gunakan untuk melindungi dirinya.

Ho hanya berhenti menyerang
Encik Rashed apabila seorang lagi lelaki datang membantunya.

Ho meninggalkan tempat itu sebelum polis tiba.

Encik Rashed dibawa ke Hospital Besar Ng Teng Fong di mana beliau didapati mempunyai luka sepanjang 2 sentimeter di dahinya dan luka kecil di tapak tangannya.

Mahkamah diberitahu bahawa Ho membayar bil perubatan Encik Rashed yang berjumlah lebih S$2,000.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP), R Arvindren, memohon hukuman penjara antara tiga dengan lima minggu. Meskipun kecederaan yang dialami Encik Rashed "tidak serius", Ho menyasarkan bahagian badan Encik Rashed yang lemah.

Ho juga menggunakan palang besi yang disifatkan pihak pendakwa sebagai berbahaya.

Ho diberikan masa untuk mengatur urusannya dan akan mula menjalani hukumannya pada 23 Ogos.

Anak lelaki Ho dan seorang penjamin membayar wang jaminan sebanyak S$5,000.

Atas kesalahan menyebabkan kecederaan dengan sengaja, dia boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga S$5,000, atau kedua-duanya.
Sumber : Today/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan