Skip to main content

Singapura

Majikan diwajibkan beli pelan jagaan asas untuk pekerja hijrahan mulai 1 Apr

Mulai April, majikan perlu membeli pelan jagaan asas untuk pekerja hijrahan mereka sebagai sebahagian daripada syarat pas kerja mereka, umum Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Sabtu (19 Feb).
 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Mulai April, majikan perlu membeli pelan jagaan asas untuk pekerja hijrahan mereka sebagai sebahagian daripada syarat pas kerja mereka, umum Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Sabtu (19 Feb).

Ini akan dikenakan ke atas pemegang permit kerja dan Pas S yang tinggal di dormitori serta mereka yang bekerja dalam sektor-sektor binaan, limbungan kapal dan pemprosesan, menurut MOM.

Pelan itu, yang boleh menelan belanja sehingga S$138 setahun, akan meliputi kebanyakan keperluan jagaan asas untuk para pekerja tersebut. Ini termasuk pemeriksaan perubatan untuk memohon atau memperbaharui pas kerja, konsultasi perubatan akut atau kronik tanpa had serta khidmat rawatan dan teleperubatan.

Ia juga akan meliputi pemeriksaan kesihatan asas setiap tahun dan perjalanan ulang-alik berjadual dari dormitori dan pusat perubatan MOM dalam setiap sektor.

Pekerja hijrahan juga boleh mendapatkan rawatan di Klinik Doktor Swasta (GP) yang bekerjasama dengan para pengendali utama, menurut MOM.

Ini sejajar dengan sistem jagaan kesihatan asas yang baru untuk pekerja hijrahan, seperti yang diumumkan pada November tahun lalu.

Berkuat kuasa 1 April 2022, majikan kepada pekerja hijrahan baru tiba yang layak atau pekerja yang memperbaharui pas kerja mahupun menukar majikan mereka, mesti membeli pelan itu terlebih dahulu sebelum pas kerja baru boleh dikeluarkan.

Semua pekerja hijrahan sedia ada yang layak mesti mempunyai pelan jagaan asas yang sah menjelang 31 Mac 2023 sekalipun jika pas kerja mereka hanya akan diperbaharui selepas tarikh berkenaan, menurut MOM.

BERI LEBIH KETENANGAN

Mengumumkan langkah itu, Menteri MOM Tan See Leng berkata pada Sabtu bahawa pelan itu direka untuk meliputi sebahagian besar keperluan jagaan asas pekerja hijrahan dan memberikan mereka ketenangan apabila mengakses jagaan kesihatan asas.

"Ia juga akan menyediakan majikan dengan pencerahan mengenai kos dan memperkukuhkan perlindungan bagi majikan terhadap bil jagaan kesihatan yang tidak dijangka," kata Dr Tan ketika berucap di pembukaan Pusat Perubatan Pekerja Hijrahan St Andrew's.

Majikan kepada pekerja hijrahan yang layak dikehendaki membeli pelan jagaan asas dengan pengendali utama yang menguruskan sektor di mana para pekerja hijrahan itu tinggal, menurut MOM.

Pengendali utama sedia ada adalah StarMed Specialist Centre, SATA CommHealth, Fullerton Healthcare Group dan St Andrew’s Mission Hospital.

Pelan itu berharga dari S$108 hingga S$138 setahun bagi setiap pekerja, menurut MOM. Ia menambah jumlah itu boleh dibayar melalui ansuran bulanan.

"Kos yang diselaraskan ini melindungi majikan daripada mengumpul bil jagaan asas yang besar setiap tahun," menurut MOM.

Pekerja yang dilindungi di bawah pelan itu mesti membuat pembayaran bersama sebanyak S$5 bagi setiap lawatan ke pusat perubatan MOM atau S$2 bagi setiap sesi teleperubatan, menurut MOM.

Ia menyatakan pembayaran bersama yang dibuat oleh pekerja hijrahan membantu "memupuk tanggungjawab peribadi ke atas kesihatan diri mereka sendiri".

Bagi pekerja hijrahan yang tidak dilindungi di bawah pelan itu, jumlah yang perlu dibayar bersama boleh dipersetujui bersama melalui kontrak pekerjaan atau persetujuan kolektif. Jumlah itu dihadkan oleh undang-undang pada satu peratus daripada gaji bulanan tetap pekerja bagi setiap lawatan pesakit luar, atau S$5, mana-mana yang lebih tinggi.

Naib Presiden Pertama Persatuan Kontraktor Singapura, Encik Lee Kay Chai, berkata pelan itu akan membolehkan pekerja hijrahan mendapatkan khidmat jagaan kesihatan yang lebih mudah diakses dan bermutu sambil memastikan kos perubatan kekal dimampui oleh pihak majikan.

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita