Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Majikan digesa laksanakan rejim 'vaksinasi atau ujian biasa' sebagai dasar syarikat

Semua majikan digalak menimbangkan untuk melaksanakan rejim "ujian biasa atau vaksinasi" sebagai dasar syarikat untuk pekerja sedia ada dan yang baru, menurut rakan kongsi tiga pihak Singapura pada Isnin (23 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 23 Aug 2021 07:24PM Dikemas Kini : 23 Aug 2021 09:21PM

SINGAPURA: Semua majikan digalak menimbangkan untuk melaksanakan rejim "ujian biasa atau vaksinasi" sebagai dasar syarikat untuk pekerja sedia ada dan yang baru, menurut rakan kongsi tiga pihak Singapura pada Isnin (23 Ogos).

Bagi tujuan itu, mereka mungkin melaksanakan langkah vaksinasi dibezakan di tempat kerja termasuk memerlukan kakitangan yang layak dari segi perubatan namun belum divaksinasi untuk menanggung perbelanjaan berkaitan koronavirus, seperti kos menjalani ujian swab.

Ini bagi melindungi kakitangan dan menjadikan tempat-tempat kerja lebih berdaya tahan, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (SNEF) serta Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu makluman.

Rejim "vaksinasi atau ujian biasa" yang memerlukan pekerja belum divaksin dalam sektor-sektor tertentu untuk menjalani ujian pantas antigen COVID-19 dua kali seminggu, akan bermula pada 1 Oktober.

Mereka yang bekerja dalam sektor jagaan kesihatan, jagaan warga emas dan sekitaran dengan kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah akan tertakluk kepada rejim itu.

Pekerja dalam industri yang perlukan mereka untuk berinteraksi dengan pelanggan dalam sekitaran berisiko tinggi tanpa memakai pelitup, seperti di sempadan Singapura atau di barisan hadapan COVID-19, juga tertakluk kepada peraturan itu.

Tempat kerja yang lain termasuk kedai makanan dan minuman, gimnasium dan studio kecergasan, khidmat jagaan peribadi, pusat beli-belah dan pasar raya.

Pemandu teksi dan khidmat sewa kereta, pekerja penghantaran jarak terakhir, pelatih di sekolah memandu dan pemandu privet serta kakitangan barisan hadapan pengangkutan awam juga harus mengikuti rejim tersebut.

Perkhidmatan awam iaitu majikan terbesar Singapura turut akan melaksanakan rejim tersebut terhadap kakitangannya.

LANGKAH VAKSINASI DIBEZAKAN

Majikan boleh melaksanakan langkah berbeza di tempat kerja bagi pekerja yang sudah divaksin dan belum divaksin setelah berunding dengan pihak kesatuan, menurut makluman tersebut.

Dalam melakarkan langkah-langkah itu, rakan-rakan kongsi tiga pihak berkenaan menyatakan bahawa majikan boleh melaksanakan rejim "ujian biasa atau vaksinasi" secara sukarela di samping memerlukan pekerja yang belum divaksin untuk menjalani ujian tambahan COVID-19.

Mereka boleh merujuk kepada panduan MOH bagi menjalankan ujian dua kali seminggu dalam menentukan kekerapan ujian dijalankan. Ujian yang dijalankan di bawah ujian rutin berjadual atau ujian pantas dan mudah sedia ada termasukn di bawah keperluan ini.

Majikan juga boleh meminta kakitangan yang belum divaksin untuk menjalani ujian praacara sebelum menyertai kegiatan di tempat kerja dan acara sosial.

Meskipun pekerja yang belum divaksin boleh terus ditempatkan dalam aktiviti berisiko tinggi dengan menjalani ujian secara kerap, majikan boleh memilih sama ada untuk menempatkan mereka dalam tugasan lain yang mempunyai risiko jangkitan COVID-19 yang lebih rendah.

Ini harus sepadan dengan pengalaman dan kemahiran mereka, menurut rakan-rakan kongsi tiga pihak itu.

Majikan juga boleh melaksanakan langkah-langkah lain di tempat kerja atas mengikut keperluan mereka sendiri.

"Dalam berbuat demikian, majikan harus bersedia untuk memberikan alasan yang kukuh kepada pekerja dan/atau Pemerintah (sekiranya berlaku pertikaian) bahawa langkah-langkah sedemikian adalah munasabah dan perlu bagi operasi perniagaan dan demi melindungi dengan lebih baik kesihatan dan keselamatan pekerja," menurut makluman itu.

TANGGUNG KOS TAMBAHAN

Syarikat-syarikat juga boleh meminta pekerja yang memilih untuk tidak mendapatkan vaksin agar menanggung sendiri perbelanjaan berkaitan koronavirus.

Ini hanya tertakluk kepada pekerja belum divaksin yang layak dari segi perubatan untuk mendapatkan suntikan vaksin. Pekerja yang tidak layak menerima vaksin mRNA COVID-19 - Pfizer-BioNTech/Comirnaty dan Moderna - dikecualikan daripada perlu menanggung kos sedemikian.

Contoh perbelanjaan berkaitan koronavirus yang boleh dituntut daripada pekerja yang belum divaksin termasuk kos kit ujian dan tempat penginapan notis jangan keluar rumah, menurut rakan kongsi tiga pihak itu.

BUKTI VAKSINASI

Majikan juga boleh meminta daripada pekerja mereka status vaksinasi masing-masing untuk tujuan perniagaan, seperti perancangan kesinambungan perniagaan.

Syarikat-syarikat yang mengamalkan rejim "vaksin atau ujian kerap" boleh meminta bukti vaksinasi daripada pekerja, menurut rakan kongsi tiga pihak itu.

"Pekerja yang enggan berbuat demikian akan dianggap sebagai belum divaksin bagi tujuan langkah vaksinasi dibezakan dan tanggungan kos," katanya.

Selain itu, majikan harus memudahkan pekerja mereka mendapatkan suntikan vaksin COVID-19, termasuk dengan memberikan cuti berbayar kepada pekerja untuk menjalani suntikan dan cuti sakit tambahan sekiranya mereka mengalami kesan sampingan berkaitan vaksin, menurut rakan kongsi tiga pihak itu. 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan