Majikan dalam kes Sumo Salad terima bayaran balik penuh daripada syarikat insurans yang tidak kesan unsur penipuan: MOM
Majikan dalam kes kecederaan di tempat kerja Sumo Salad sudah menerima bayaran balik sepenuhnya daripada syarikat insurans pada 26 dan 27 Jun bagi bil perubatan dan tuntutan cuti sakit yang dikemukakan setakat itu, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Jumaat (1 Ogos).
Sumo Salad, yang kini dikenali sebagai Sumo Well, di Holland Village. (Gambar: CNA/Davina Tham)
MOM juga menyatakan bahawa pihaknya belum menerima sebarang petunjuk daripada syarikat insurans mengenai unsur penipuan setakat ini dan tidak mengesan sebarang bukti bahawa adanya sindiket yang terlibat dalam kes tersebut.
Kementerian tersebut memberikan kemas kini itu semasa satu taklimat media berhubung Akta Pampasan bagi Kecederaan di Tempat Kerja, susulan minat orang awam yang meluas terhadap kes tersebut. MOM tidak menamakan syarikat insurans yang terlibat.
Isu itu timbul menyusuli kematian pemilik kedai makan Sumo Salad, Cik Jane Lee, yang pernah menerbitkan beberapa catatan Facebook tentang seorang pekerja asing yang didakwa mengemukakan tuntutan palsu kecederaan di tempat kerja untuk mendapatkan pampasan.
Dalam satu catatan Facebook pada 18 Julai, sehari sebelum beliau meninggal dunia, Cik Lee berkata bahawa “disebabkan jurang yang tidak disengajakan dalam perlindungan insurans kami, kami kini menjadi sasaran kepada sesuatu yang saya percaya adalah skim penipuan”.
Tuntutan kecederaan di tempat kerja itu dikemukakan terhadap EatGreen, pengendali Sumo Salad.
MOM sebelum ini menyatakan bahawa pekerja yang terlibat dilindungi di bawah WICA dan kementerian itu sedang bekerjasama dengan syarikat insurans pekerja untuk “menilai kesahihan kes tersebut”.
Pada Jumaat, MOM menjelaskan bahawa kejadian kecederaan di tempat kerja itu berlaku pada 6 Jun dan majikan kemudiannya mengemukakan laporan kecederaan di tempat kerja kepada pihak kementerian. Menurut MOM, majikan itu dilindungi dasar insurans yang sah.
MOM menyatakan ia tidak dapat memberikan maklumat lanjut mengenai kes itu kerana siasatan masih dijalankan. Pasukan Polis Singapura juga sedang menyiasat kematian luar biasa Cik Lee.
“Kami belum menerima sebarang petunjuk daripada syarikat insurans bahawa terdapatnya unsur penipuan. Tetapi itu tidak bermakna tiada penipuan, kerana kami sedang menyiasat,” kata jurucakap kementerian.
Jurucakap itu menambah bahawa proses tuntutan dalam kes Sumo Salad itu masih belum selesai.
Apabila ditanya mengenai status pekerja yang terlibat, jurucakap berkata MOM lazimnya tidak mengulas tentang status pekerjaan individu tertentu. Pihak kementerian boleh mengeluarkan pas khas bagi pekerja yang terlibat dalam kes siasatan untuk membolehkan mereka terus tinggal secara sah di Singapura.
SEKITAR 12 TUNTUTAN DIRUJUK SETIAP TAHUN KERANA DISYAKI PENIPUAN
MOM menyatakan sekitar 28,500 tuntutan kecederaan di tempat kerja difailkan setiap tahun, dan pampasan dibayar bagi sekitar 26,800 tuntutan setiap tahun.
Syarikat insurans merujuk sekitar 12 tuntutan setahun kepada MOM untuk disiasat atas kemungkinan berlakunya penipuan pampasan kecederaan di tempat kerja.
Menurut MOM, WICA menetapkan had maksimum bagi pampasan untuk menghadkan liabiliti kewangan majikan dan melindungi mereka daripada pembayaran mendadak yang besar akibat kecederaan di tempat kerja.
Pada masa yang sama, ia memberikan perlindungan sosial kepada para pekerja dengan menyediakan laluan pampasan yang jimat kos dan cepat.
Majikan diwajibkan membeli insurans kecederaan di tempat kerja bagi semua pekerja manual tanpa mengira gaji, serta pekerja bukan manual yang memperoleh S$2,600 atau kurang sebulan. Pengendali platform juga perlu menyediakan perlindungan insurans kepada semua pekerja platform.
WICA meliputi perbelanjaan perubatan, gaji cuti perubatan dan pampasan yang dibayar sekali gus bagi ketidakupayaan kekal dan kematian.
Dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, 94 peratus daripada tuntutan di bawah WICA dibayar oleh syarikat insurans. Sebahagian besar daripada baki enam peratus tuntutan dibayar terus oleh majikan yang dikecualikan daripada keperluan membeli insurans bagi kecederaan di tempat kerja.
MOM menyatakan pelbagai lapisan kawalan terhadap penipuan sudah diwujudkan. Tuntutan kecederaan di tempat kerja dinilai oleh syarikat insurans yang bertindak sebagai “penapis utama”; dan doktor, di mana penilaian ketidakupayaan pekerja "tertakluk kepada piawai yang ketat".
Semua pihak juga mempunyai peluang untuk mengemukakan bantahan terhadap tuntutan kecederaan di tempat kerja.
PERSATUAN SME MENYERU LEBIH BANYAK DIDIKAN DAN SOKONGAN
Dalam kenyataan berasingan berikutan taklimat MOM, Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (ASME) menyatakan bahawa kecederaan di tempat kerja yang tidak sahih memberi kesan yang jauh melangkaui aspek kewangan.
“Ia membawa tekanan psikologi yang besar kepada pemilik perniagaan yang perlu terus menjalankan operasi sambil menguruskan pertikaian tersebut,” menurut ASME dalam kenyataan itu.
“Walaupun ASME tidak menjejak data khusus berkaitan kes sebegini, kami menyedari kelemahan struktur yang menjadikan SME lebih terdedah.”
Berdasarkan maklum balas yang diterima, banyak SME yang menghadapi kesukaran untuk memahami pematuhan dan amalan sumber manusia (HR) yang betul.
Persatuan itu menyifatkannya sebagai "cabaran 'permulaan' klasik" berpunca daripada jurang pengetahuan asas dalam pengurusan perniagaan.
Akibatnya, pemilik SME "terpaksa belajar secara reaktif, selalunya hanya selepas berlaku kejadian besar", menurut persatuan itu.
Salah satu cara untuk menanganinya ialah melalui pendidikan berhubung pencegahan. ASME menyokong pelaksanaan program orientasi “Perniagaan 101” yang berstruktur untuk usahawan baharu, yang merangkumi amalan terbaik HR dan penggunaan teknologi HR. Sebuah jawatankuasa khusus persatuan itu sedang meneliti perkara tersebut.
ASME juga sedang meneroka cara untuk mempertingkat sokongan yang disediakan apabila kejadian berlaku, kerana terdapat keperluan bagi “titik rujukan pusat yang boleh dipercayai”. Ia sedang meneliti langkah-langkah untuk mengukuhkan peranan penasihat Pusat SME di bawahnya.
ASME menambah bahawa demi mengekalkan integriti dasar sedia ada yang “berorientasikan ekosistem”, penting untuk memastikan dasar-dasar tersebut tidak disalahgunakan oleh majikan atau pekerja, demi melindungi kepercayaan dan keadilan yang menjadi asasnya.
Membantu usahawan membina asas yang kukuh bukan sahaja dapat melindungi mereka daripada pertikaian, malah mempersiapkan mereka untuk mengembangkan perniagaan, menurut ASME.
Di Mana Untuk Mendapatkan Bantuan:
Talian Bantuan Kesihatan Mental Kebangsaan: 1771
Hotline Samaritans of Singapore (SOS): 1767
Talian Bantuan Persatuan Kesihatan Mental Singapura: 1800 283 7019
Anda juga boleh mencari senarai talian bantuan antarabangsa di sini. Jika seseorang yang anda kenali berisiko serta-merta, hubungi khidmat kecemasan perubatan 24 jam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.