Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Majikan berdepan 'tindakan penguatkuasaan' jika laksana insentif kehadiran terikat cuti sakit

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 28 Feb 2022 02:38PM Dikemas Kini : 28 Feb 2022 09:23PM

SINGAPURA: Mulai tahun hadapan, syarikat yang terus melaksanakan skim insentif berkaitan kehadiran yang menimbangkan penggunaan cuti sakit pekerja boleh berdepan "tindakan penguatkuasaan", kata Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia Koh Poh Koon.

Ini termasuk penggantungan hak istimewa pas kerja, kata Dr Koh ketika berucap di Parlimen hari ini (28 Feb).

"Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil dan Progresif (TAFEP) akan mendampingi dan menasihatkan majikan yang masih meneruskan dengan skim-skim seumpama itu agar berhenti berbuat sedemikian," kata beliau.

"Jika mereka meneruskan dengan amalan itu, TAFEP akan menyarankan kepada Kementerian Tenaga Manusia (MOM) agar mengambil tindakan penguatkuasaan."

Dr Koh menjawab satu soalan parlimen yang diajukan oleh Anggota Parlimen (AP) Louis Ng (PAP-Nee Soon) tentang sama ada Pemerintah akan menghentikan syarikat-syarikat daripada mengeluarkan bonus kehadiran, yang boleh menghambat pekerja daripada mengambil cuti sakit apabila mereka jatuh sakit.

Insentif bagi pekerja yang tidak menggunakan cuti sakit menjadi tajuk berita baru-baru ini selepas seorang teknisyen kawalan serangga perosak dipenjara gara-gara enggan menjalani swab COVID-19 kerana dia tidak mahu kehilangan insentif kerja bulanannya.

"Jawatankuasa Perikatan Tiga Pihak bagi Keadilan di Tempat Kerja sedang membincangkan skop dan reka bentuk undang-undang untuk memaktubkan Garis Panduan bagi Amalan Pekerjaan Adil (TGFEP) di dalam undang-undang," kata Dr Koh.

"Matlamat utama undang-undang baru ini adalah untuk menyediakan satu kenyataan tegas terhadap diskriminasi di tempat kerja dan memperluaskan pelbagai tindakan yang boleh diambil apabila diskriminasi di tempat kerja berlaku atas alasan ciri-ciri seperti usia, kewarganegaraan serta kaum.

Bersama-sama rakan perikatan tiga pihak, MOM mengambil "pelbagai pendekatan" seperti garis panduan dan pendidikan yang berkesan bagi menangani pelbagai isu di tempat kerja, tambah Dr Koh.

"Ia tidak wajib untuk bergantung kepada undang-undang bagi mencari huraian bagi setiap isu di tempat kerja."

Dr Koh juga menggariskan respons lebih awal oleh MOM yang menjelaskan bahawa TGFEP sudahpun menetapkan syarat untuk majikan "menilai serta menggajikan pekerja secara adil dan objektif", dengan menimbangkan prestasi serta sumbangan kakitangan.

Skim insentif berkaitan kehadiran mungkin lama-kelamaan muncul sebagai satu cara untuk membantu "mencegah tipu sakit dan menyemai tenaga kerja yang lebih berdisiplin", kata Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng pada 14 Februari lalu.

"Meskipun ia mungkin diwujudkan dengan tujuan untuk mencapai hasil tersebut, rakan perikatan tiga pihak berpandangan bahawa skim berkaitan kehadiran yang menimbangkan penggunaan cuti sakit tidak lagi seharusnya dilihat sebagai satu amalan munasabah atau adil," kata beliau ketika itu.

Dr Koh menambah: "Skim insentif berkaitan kehadiran yang menimbangkan penggunaan cuti sakit bercanggah dengan prinsip ini. Lantaran itu, syarikat seharusnya menyemak semula dan membuat penyesuaian, jika perlu."

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan