Majikan bakal terima agihan seterusnya Skim Kredit Gaji pada Mac 2022
Majikan yang layak akan dimaklumkan secara automatik, tidak perlu mendaftar bagi mendapatkan agihan WCS seterusnya.
(Gambar: AFP)
SINGAPURA: Para majikan akan menerima agihan seterusnya Skim Kredit Gaji (WCS)pada Mac tahun depan, umum Kementerian Kewangan (MOF) dan Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) pada Jumaat (17 Dis).
Agihan itu adalah untuk kenaikan gaji yang layak pada 2021.
Di bawah skim itu, Pemerintah akan membiayai secara bersama 15 peratus daripada kenaikan gaji yang layak bagi pekerja warga Singapura yang membawa pulang gaji bulanan kasar sehingga S$5,000. Untuk melayakkan diri bagi agihan akan datang, para majikan mesti menaikkan gaji pekerja mereka sekurang-kurangnya S$50 dan/atau mengekalkan kenaikan gaji (sekurang-kurangnya S$50) yang sebelum ini diberikan kepada para pekerja pada 2019 dan/atau 2020.
Para majikan juga diwajibkan membayar sumbangan CPF kepada gaji pekerja mereka yang layak bagi tahun ini kepada Lembaga CPF selewat-lewatnya pada 14 Jan.
Skim Kredit Gaji diperkenalkan pada 2013 sebagai inisiatif tiga tahun untuk menyokong transformasi syarikat-syarikat perusahaan dan berkongsi hasil daya penghasilan mereka dengan pekerja masing-masing.
Ia kemudian dilanjutkan, paling terkini semasa Belanjawan 2021.
Sekitar S$2 bilion dalam bentuk kredit gaji diagihkan semasa pandemik COVID-19, termasuk S$940 juta dalam bentuk bayaran yang diberikan pada Mac kepada lebih 98,000 majikan.
Para majikan tidak perlu memohon agihan WCS.
Para majikan yang layak akan dimaklumkan secara automatik mengenai jumlah agihan yang akan diterima sebelum hujung Mac 2022, menurut MOF dan IRAS.
Agihan bagi Mac 2022 akan dimasukkan ke dalam akaun bank majikan melalui PayNow Corporate atau GIRO.
Majikan yang belum lagi menyediakan akaun PayNow Corporate atau mendaftar untuk GIRO dinasihatkan supaya berbuat demikian selewat-lewatnya hujung Februari 2022 untuk menerima agihan mereka menjelang hujung Mac.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.