Majikan akan terima lebih S$600 juta agihan Skim Kredit Gaji: MOF, IRAS
Para majikan di Singapura akan menerima agihan lebih S$600 juta di bawah Skim Kredit Gaji (WCS) pada 31 Mac, menurut Kementerian Kewangan (MOF) dan Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) pada Selasa (17 Mac).
Pekerja di kawasan Raffles Place (Gambar fail: Mediacorp)
SINGAPURA: Para majikan di Singapura akan menerima agihan lebih S$600 juta di bawah Skim Kredit Gaji (WCS) pada 31 Mac, menurut Kementerian Kewangan (MOF) dan Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) pada Selasa (17 Mac).
Lebih 90,000 majikan akan menerima pembayaran tersebut, dengan syarikat-syarikat perusahaan kecil dan sederhana (SME) menerima bahagian terbesar daripada agihan itu - sekitar 70 peratus daripada keseluruhan jumlah pembayaran yang diagihkan.
Melalui agihan WCS pada Mac, Pemerintah akan membiayai bersama kenaikan gaji untuk lebih 700,000 pekerja Singapura yang layak yang memperoleh gaji bulanan kasar tidak melebihi S$4,000.
Pembayaran pada Mac akan mengimbangi 15 peratus kenaikan gaji pada 2019, 2018 dan 2017 untuk pekerja-pekerja yang layak itu.
Dalam Belanjawan 2020, pengumuman dibuat bahawa had gaji bulanan kasar akan dinaikkan dari S$4,000 kepada S$5,000 untuk kenaikan gaji pada 2019 dan 2020 bagi pekerja yang layak.
Tahap pembiayaan bersama Pemerintah juga akan dinaikkan daripada 15 peratus sekarang bagi tahun 2019 dan 10 peratus bagi 2020, kepada 20 peratus bagi tahun 2019 dan 15 peratus bagi 2020.
Majikan yang layak bagi penambahan agihan untuk kenaikan gaji tahun 2019, akan menerima pembayaran tambahan pada separuh kedua tahun 2020.
Majikan tidak perlu memohon untuk menerima pembayaran WCS. Majikan yang layak akan menerima surat daripada IRAS pada 31 Mac memaklumkan kepada mereka tentang jumlah yang mereka akan terima bulan ini.
Wang tersebut akan dimasukkan ke dalam akaun bank berdaftar melalui PayNow Corporate atau GIRO.
Rayuan bagi pembayaran WCS mesti dikemukakan kepada IRAS selewat-lewatnya 30 Jun, dan akan dipertimbangkan berdasarkan setiap kes.
Peningkatan WCS adalah sebahagian daripada Pakej Penstabilan dan Bantuan S$4 bilion yang diumumkan semasa Belanjawan untuk menyokong pekerja dan perniagaan yang terjejas oleh wabak COVID-19.
Kini diisytiharkan sebagai pandemik global oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penularan COVID-19 dan kesannya terhadap ekonomi global semakin buruk sejak pakej itu diumumkan.
Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat berkata minggu lalu bahawa Pemerintah telah mula merancang pakej rangsangan kedua.
Data rasmi yang dikeluarkan pada Selasa menunjukkan bahawa eksport domestik bukan minyak (NODX) susut 4.8 peratus pada Februari berbanding bulan sebelumnya berdasarkan penyesuaian musiman, sedang jumlah perdagangan keseluruhan merosot sebanyak 8.6 peratus dari bulan ke bulan.
"Memandangkan ketidaktentuan ekonomi yang timbul daripada situasi COVID-19", Majlis Gaji Kebangsaan (NWC) akan bermesyuarat lebih awal daripada biasa tahun ini pada Selasa untuk membincangkan garis panduan tahunan mengenai isu berkaitan gaji dan pekerjaan, kata Kementerian Tenaga Kerja.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.