MAJ Iskandar pimpin pasukan skuadron pejuang terbaik SAF buat 2 tahun berturut-turut
Skuadron 142 yang dipimpin Mejar Iskandar (tengah) muncul sebagai unit Skuadron Pejuang Terbaik buat dua tahun berturut-turut. (Gambar: Hidir Ezat)
This audio is generated by an AI tool.
Kejayaan ini menandakan kemenangan dua tahun berturut-turut bagi skuadron tersebut, yang terus menampilkan prestasi konsisten dalam operasi dan kesiapsiagaan tempur.
Selain itu, Mejar Muhammad Iskandar Dzulfadhli bakal dinaikkan pangkat menjadi Leftenan Kolonel (LTC) bermula Selasa depan (1 Julai).
Penilaian dilakukan secara menyeluruh sepanjang tahun sebelumnya bagi memastikan tahap kecemerlangan dan profesionalisme sentiasa dikekalkan.
"Kekuatan pasukan kami terletak pada anggota-anggota kami. Mereka sangat berdedikasi dan sentiasa memikul tanggungjawab sepenuhnya terhadap misi kami untuk mempertahankan Singapura," kata Mejar Iskandar.
"Kami tidak mengejar trofi. Fokus kami adalah untuk menjadi individu dan pasukan yang lebih baik setiap hari. Komitmen berterusan inilah yang membentuk kami dan membolehkan kami mencapai kecemerlangan dalam setiap tugasan" tambahnya
Walaupun menjuarai kategori ini bagi dua tahun berturut-turut, Mejar Iskandar menegaskan bahawa matlamat utama skuadron adalah keselamatan negara.
"Saya percaya kami menerima penghargaan ini kerana pasukan kami sentiasa bersiap sedia dari segi operasi dan komited mengekalkan standard yang tinggi dalam operasi dan pentadbiran. Kami dikenali dengan budaya pemilikan yang kuat di mana setiap anggota berbangga dengan peranan mereka dan sentiasa berusaha mencapai kecemerlangan. Dalam masa yang sama, kami sedar bahawa semua skuadron berusaha keras untuk misi bersama mempertahankan Singapura dan kami bangga berdiri bersama mereka" kata beliau.
Ia adalah hasil daripada latihan intensif, disiplin tinggi dan budaya kerja yang menekankan semangat kerjasama dan tanggungjawab bersama.
"Tahun lalu, salah satu detik yang benar-benar menguji skuadron kami adalah tindak balas terhadap ancaman bom dalam sebuah pesawat Air India. Ia menunjukkan betapa pantas kami perlu beralih daripada operasi rutin waktu aman kepada menghadapi potensi ancaman keganasan rentas negara. Apa yang membolehkan kami bertindak dengan berkesan bukan sahaja kesiapsiagaan individu tetapi kecemerlangan kolektif seluruh pasukan — daripada juruterbang, anggota logistik, kru sokongan hinggalah komuniti Pangkalan Udara Paya Lebar. Kesepaduan dan komitmen bersama inilah yang memastikan kami dapat bertindak dengan tegas dan menjaga keselamatan Singapura," kata Mejar Iskandar.
Pegawai Sistem Senjata (Pejuang) Skuadron 142, Kapten Koh Kai Jie turut berkongsi pengalamannya.
"Pegawai Pemerintah (CO)saya menanamkan budaya kawalan misi yang kukuh dan mendorong setiap individu dalam skuadron, memberikan kami kepercayaan dan kebebasan untuk bertindak dengan tegas dan bertanggungjawab dalam peranan masing-masing," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.