Skip to main content

Singapura

MAJ Ikhtiaruddin Iman Mustafa antara lulusan cemerlang kursus ketenteraan tertinggi SG 2025

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 29 Oct 2025 05:38PM Dikemas Kini : 30 Oct 2025 12:09AM
SINGAPURA: Sebelum ini, MAJ Ikhtiaruddin Iman Mustafa tidak mempunyai minat dalam bidang geopolitik. Sebagai seorang pegawai Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), beliau lebih cenderung menghabiskan masanya dalam latihan fizikal.

Namun, semua itu berubah apabila beliau menyertai Kursus Komand dan Staf di Kolej Komand dan Staf Goh Keng Swee (GKS CSC).

Kursus tersebut telah membuka perspektif baharu terhadap kepentingan geopolitik dalam kerjaya ketenteraannya.

"Kursus ini telah menimbulkan minat saya terhadap bidang geopolitik, bagaimana situasi geopolitik di luar negara boleh memberi kesan kepada kita di Singapura dan juga kepada Angkatan Bersenjata Singapura. Ia menyedarkan saya betapa pentingnya peranan kami sebagai anggota tentera Singapura dalam mempertahankan negara ini," kata MAJ Ikhtiaruddin.

"Selain itu, kursus ini turut membantu saya menguasai kemahiran baharu. Dengan jumlah esei yang perlu ditulis sepanjang kursus ini, saya belajar bagaimana untuk menyusun dan mengungkapkan idea saya dalam bentuk penulisan dengan lebih jelas dan teratur. Ini banyak membantu saya dalam menyampaikan pemikiran secara bertulis," tambahnya lagi.

Kursus Komand dan Staf Goh Keng Swee merupakan program pendidikan ketenteraan tertinggi di Singapura yang bertujuan melengkapkan pegawai tentera dengan kemahiran kepimpinan, pemikiran strategik dan perancangan operasi bagi menghadapi tugasan pada peringkat tinggi dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).

Kursus ini merangkumi pembelajaran dalam bidang geopolitik, dasar pertahanan, etika, serta latihan penulisan dan pembentangan.

Di samping itu, kursus ini turut memainkan peranan penting dalam mengukuhkan kerjasama antara perkhidmatan serta hubungan pertahanan antarabangsa.

SOKONGAN UNIT DAN ISTERI JADI PEMACU KEJAYAAN

Walaupun pelaksanaan kursus ini menuntut komitmen tinggi, MAJ Ikhtiaruddin, 36 tahun, berjaya mengharunginya dengan sokongan daripada unit serta isterinya yang sentiasa memberi dorongan untuk beliau memberikan tumpuan sepenuhnya.
Related article image
MAJ Ikhtiaruddin Iman Mustafa. (Gambar: MINDEF)
"Satu cabaran yang saya hadapi dalam kursus ini adalah kerana kursus CSC ini kita bukan sahaja sebagai sebuah kursus, tetapi kami cuma ditempatkan secara sementara. Ini bermakna kami juga mempunyai tugas utama di unit masing-masing. Jadi untuk mengimbangi keduanya, pada mulanya sangat sukar, tapi dengan pertolongan komander saya serta anak buah saya yang boleh mengambil tempat saya di unit, saya boleh memberi tumpuan pada kursus ini dengan sempurna," kata MAJ Ikhtiaruddin.

"Saya juga ingin berterima kasih kepada isteri saya. Selama lapan setengah minggu ini, dia yang menjaga anak kami. Sumber kekuatan yang membolehkan saya mengimbangi masa adalah inilah isteri saya," tambahnya lagi.

Dengan ketabahan serta sokongan kuat oleh orang di sekelilingnya, beliau berjaya menamatkan kursus tersebut sebagai antara lulusan yang cemerlang dalam kalangan 289 pegawai.

Dengan kemahiran baharu yang diperoleh melalui kursus ini, MAJ Ikhtiaruddin berharap dapat menggunakannya dalam membimbing dan melatih para pegawai bawahannya.

"Saya rasa dalam kursus ini, kami mempelajari banyak kemahiran berkaitan kepimpinan. Pada usia 36 tahun dan setelah lama berkhidmat dalam angkatan tentera, salah satu perkara yang saya ingin lakukan ialah membimbing pegawai-pegawai muda, berkongsi bagaimana mereka boleh mencapai kejayaan dalam kerjaya ketenteraan, dan pada masa yang sama menjadi pemimpin yang lebih baik demi kebaikan dan pembangunan mereka sebagai anggota tentera," kata MAJ Ikhtiaruddin.

Dalam ucapannya pada majlis tamat kursus yang berlangsung pada Khamis (23 Okt) di Institut Ketenteraan SAFTI (SAFTI MI), Menteri Pertahanan Chan Chun Sing, menekankan pentingnya bagi negara kecil seperti Singapura untuk terus berwaspada dan menyesuaikan diri dalam menghadapi perubahan geopolitik yang kian mencabar, khususnya dalam persaingan kuasa besar yang semakin sengit.
Related article image
Menteri Pertahanan, Chan Chun Sing. (Gambar: MINDEF)
Beliau turut menggesa para pegawai agar memahami dengan mendalam keadaan dunia dan cara ketenteraan harus beroperasi dalam konteks tersebut, serta menekankan keperluan untuk SAF berinovasi bagi menghadapi ancaman yang semakin berkembang.

Graduan dari kursus tersebut terdiri daripada 152 pegawai tetap, 59 pegawai Perkhidmatan Negara (NS), 49 pakar ketenteraan, 5 pegawai waran daripada Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), 1 pegawai Pasukan Polis Singapura dan 23 pegawai antarabangsa (IO) dari 12 negara.
Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita