Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mahu sediakan rawatan menyeluruh yang lebih dimampui ramai dorong Dr Farhan Alami buka klinik warga emas

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Orang ramai, khususnya warga emas kini mempunyai sebuah lagi pilihan untuk mendapatkan rawatan menyeluruh daripada sebuah klinik privet. 

Klinik Alami yang ditubuhkan Dr Nur Farhan Mohammad Alami adalah klinik pertama pakar geriatrik seumpamanya yang menawarkan pelbagai khidmat serta rawatan untuk isu-isu kesihatan warga emas.

Selain menawarkan rawatan dan ujian kesihatan dari aspek fizikal, klinik tersebut turut menawarkan rawatan psikiatri bagi kesihatan mental para pesakit.

Dengan lebih 16 tahun pengalaman dalam bidang geriatrik, Dr Farhan mengamati bahawa ramai dalam kalangan warga emas yang berasa berat atau takut untuk datang ke hospital. 

Lantaran itu, beliau berharap kliniknya di kawasan Kembangan itu dapat mewujudkan sekitaran yang lebih mesra warga emas supaya mereka lebih berani dan selesa untuk menjalani rawatan.

"Kadang-kadang memang susah untuk para pesakit datang ke hospital kerana mereka takut hendak masuk hospital sebab itu di kawasan perumahan mereka berasa lebih senang, lebih relaks dan saya boleh memberi jagaan yang baik," kata Dr Farhan, semasa ditemui di majlis meraikan pembukaan kliniknya pada Sabtu (4 Mac).

HARGA KONSULTASI PERTAMA SEKITAR 50% LEBIH RENDAH BERBANDING SPESIALIS LAIN

Menawarkan harga yang lebih berpatutan juga antara keutamaan klinik itu.

Jika misalnya harga untuk konsultasi pertama di klinik-klinik spesialis lain adalah antara S$250 hingga S$350, Klinik Alami mengenakan bayaran S$139 - sekitar 50 peratus lebih rendah.

"Saya mahu rawatan yang baik untuk lebih dimampui masyarakat kita. Kos perubatan seperti ubat demensia misalannya, dan ujian-ujian seperti ujian darah dan imbasan juga lebih murah daripada dibandingkan klinik privet yang lain," jelasnya.

Dalam usahanya untuk membantu lebih ramai anggota masyarakat, Dr Farhan juga sedang berusaha mendapatkan subsidi bagi rawatan di kliniknya. 

"Saya harap dalam empat hingga lapan minggu, saya boleh dapat akreditasi MediSave supaya pesakit saya boleh gunakan CHAS atau MediSave untuk membayar kos ubatan dan konsultasi di sini," tambah Dr Farhan.

PESAKIT, PENGASUH BERPUAS HATI DENGAN RAWATAN, KHIDMAT

Walaupun kos masih agak tinggi buat masa ini, pengasuh seperti Cik Nurhidayah Md Taib tetap berpuas hati setelah melihat kemajuan dalam tahap kesihatan ibunya.

"Saya rasa ia munasabah sebab cara perkhidmatannya 'tip-top'," kata Cik Nurhidayah.

Sejak dua tahun lalu, ibunya menghidap penyakit Parkinson's dan masalah kesihatan dipanggil 'Foot Drop' yang menjejas pergerakannya.

Meskipun baru tiga minggu ke klinik itu, Cik Nurhidayah bersyukur kerana ibunya sudah pun menunjukkan perbezaan positif. 

"Saya bimbang sebab keadaan ibu saya semakin teruk hari demi hari. Jadi saya terkejut apabila Dr Farhan ada klinik sebegini khas untuk orang-orang tua. Klinik juga ajar bagaimana untuk membawa dia bersenam, ada fisioterapi untuk dia. Sekarang ada sedikit membantu. Kalau dulu dia tidak boleh hendak berjalan tapi sejak dia ada fisioterapi, sejauh ini ada peningkatan di situ," ujarnya, yang membawa ibunya untuk rawatan fisioterapi seminggu sekali.

Selain menyediakan khidmat rawatan bagi kesihatan fizikal, klinik di Kembangan ini juga menawarkan konsultasi psikiatrik bagi kesihatan mental. 

"Nasihat yang diberikan Dr Farhan untuk pesakit seperti kita yang sudah berumur betul-betul khusus bagaimana untuk elakkan dari terjatuh, bagaimana kita makan ubat mesti dengan cara yang baik begitu," kata salah seorang pesakit Klinik Alami, Tengku Sri Indra Ismail, 69 tahun yang menghidapi kencing manis.

Bagi menawarkan khidmat penjagaan yang berterusan di rumah dan menyeluruh, klinik itu turut dilengkapi tentang teknologi-teknologi terkini yang juga digunakan di hospital-hospital.

Dalam masa kurang tiga bulan, klinik ini sudah menerima sekitar 50 pesakit warga emas yang menjalani pelbagai rawatan termasuk demensia dan kemurungan.

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan