Mahu perkukuh dan jadikan perusahaan media S'pura lebih rancak
Sedang landskap media sejagat beralih ke benua Asia, pemerintah sedang meninjau untuk mewujudkan ekosistem perusahaan media yang lebih rancak bagi menarik lebih ramai pemain antarabangsa serta meningkatkan kerjasama dengan syarikat-syarikat tempatan.
CANNES: Sedang landskap media sejagat beralih ke benua Asia, pemerintah sedang meninjau untuk mewujudkan ekosistem perusahaan media yang lebih rancak bagi menarik lebih ramai pemain antarabangsa serta meningkatkan kerjasama dengan syarikat-syarikat tempatan.
Hal itu dikongsi oleh Menteri Perhubungan dan Penerangan S Iswaran di MIPCOM, di pameran dagangan media tahunan di Cannes, Perancis.
Tumpuan ramai kini tertumpu ke Asia dengan tarikan ekonomi semakin bertambah di rantau ini. Para pengguna Asia semakin celik teknologi dan cepat memanfaatkan wadah-wadah digital yang baru.
Menurut Encik Iswaran, ini mendorong media global beralih ke rantau ini serta menghasilkan lebih banyak kolaborasi dan kerjasama bagi para penerbit media di sini.
"Asia kini adalah destinasi sangat menarik dan tapak untuk mencipta perisian - perisian yang unik dalam bentuknya oleh budaya Asia, penceritaan cara Asia dan kaedah-kaedahnya. Dan ini bukan untuk Asia sahaja, tetapi perisian yang boleh diimport oleh bahagian-bahagian lain di dunia," kata Encik Iswaran.
Gergasi media, Discovery Networks, misalnya mengumumkan kerjasama dengan syarikat Singapura, Beach House Pictures, bagi menerbitkan satu siri rancangan TV.
HBO Asia pula menjalinkan perjanjian dengan syarikat-syarikat tempatan seperti Zhao Wei Films dan Infinite Studios bagi pengedaran kandungan terpilih di peringkat antarabangsa.
Menjual kandungan Singapura kepada penonton antarabangsa bagaimanapun adalah lebih mencabar, dan syarikat-syarikat tempatan perlu bersaing dengan para pemain perusahaan yang lebih mapan dan berpengalaman.
Itulah sebabnya pemerintah sedang meninjau cara-cara untuk memperkukuh dan menjadikan perusahaan media Singapura lebih rancak.
Pemerintah juga memikat para pemain antarabangsa ke Singapura menerusi wadah-wadah seperti Pesta Media Tahunan Singapura, yang melibatkan lebih 20,000 peserta dari lebih 50 buah negara setiap tahun.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.