Mahu jadi doktor setelah jaga nenek sakit; boleh bertutur tiga bahasa, bahasa isyarat untuk bantu pesakit
Minat Inarah Farahah Muhammad Azlan terhadap dunia perubatan mula berputik sejak beliau menjaga neneknya yang menghidapi demensia. (Gambar: NTU)
Ia merupakan suatu pengalaman yang mengajarnya erti kesabaran dan nilai empati.
"Menjaga opah saya yang menghidap demensia banyak mengajar saya tentang erti empati dan kesabaran. Dari segi empati, saya belajar untuk letakkan diri saya di tempat opah dan cuba faham apa yang beliau rasa dan alami. Dari segi kesabaran, saya sedar yang dulu opah banyak jaga saya semasa kecil," kongsi Cik Inarah kepada wartawan Hidir Ezat.
"Dari segi kesabaran, saya sedar yang dulu opah banyak jaga saya semasa kecil. Kini giliran saya pula untuk membalasnya. Jadi, pengalaman ini membuatkan saya sedar betapa pentingnya merawat dengan hati," tambahnya lagi.
"Saya memilih Duke-NUS kerana saya suka pendekatan Duke-NUS iaitu "Clinicians First, Clinicians Plus" di mana pelajar bukan setakat belajar untuk menjadi doktor tapi juga menggalakkan penggunaan kemahiran dari latar belakang masing-masing untuk sumbang sesuatu yang bermakna dalam bidang perubatan," kata Cik Inarah.
Beliau berhasrat untuk terus memperjuangkan keadilan dalam penjagaan kesihatan, khususnya bagi komuniti yang kurang mendapat layanan, sambil mengekalkan prinsip empati dan sabar yang telah terpahat sejak hari pertama perjalanannya.
Sebelum ini, beliau juga aktif dalam kerja-kerja kemasyarakatan semasa mengikuti pengajian dalam jurusan sains biologi dan psikologi di Universiti Teknologi Nanyang (NTU).
Kebolehannya bertutur dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu, Cina dan Inggeris juga memberinya kelebihan untuk mendekati dan membantu pesakit dan golongan memerlukan.
"Kadang-kadang pesakit rasa lebih selesa bercakap dalam bahasa ibunda mereka. Jadi bila saya boleh cakap dalam bahasa yang mereka faham lebih senang nak bina kepercayaan dan faham apa yang mereka cuba sampaikan," kata Cik Inarah.
Selain itu, beliau juga mahir menggunakan bahasa isyarat untuk mendampingi dan membantu golongan berkeperluan khas.
Beliau juga aktif dalam kerja-kerja kemasyarakatan menerusi Projek Khidmat Berkala Komuniti Kurang Daya Pendengaran (RSPDC) sehingga dilantik sebagai Pengerusi kumpulan itu.
Cik Inarah juga berharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap golongan kurang daya pendengaran.
Projek Khidmat Berkala Komuniti Kurang Daya Pendengaran (RSPDC) mendedahkan para sukarelawan pelajar kepada komuniti kurang di luar bilik darjah, seperti menyediakan tuisyen untuk kanak-kanak kurang pendengaran.
Di samping itu, Cik Inarah juga menyandang jawatan selaku Presiden Kelab Khidmat Kebajikan.
Pengorbanan dan dedikasi Cik Inarah itu diiktiraf apabila beliau menerima Anugerah Cendekiawan Koh Boon Hwee dalam Majlis Konvokesyen NTU pada Julai lalu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.