Skip to main content

Singapura

Mahu buat pencalonan online? Pencarum CPF mesti guna biometrik

Anggaran Waktu Membaca:
Mahu buat pencalonan online? Pencarum CPF mesti guna biometrik

Bangunan CPF di Tampines. (Gambar fail: CNA/Calvin Oh)

Diterbitkan : 20 May 2025 01:47PM Dikemas Kini : 20 May 2025 01:51PM
SINGAPURA: Pencarum Tabung Simpanan Pekerja (CPF) yang membuat pencalonan online perlu menggunakan biometrik mereka mulai Mei sebagai sebahagian daripada langkah keselamatan tambahan.

Demikian menurut Lembaga CPF pada Selasa (20 Mei).

Langkah-langkah itu adalah tambahan kepada langkah-langkah antipenipuan, termasuk Kunci Pengeluaran CPF dan tempoh bertenang 12 jam bagi menaikkan had pengeluaran harian untuk mengeluarkan wang secara online.

Lembaga CPF juga mengumumkan bahawa semua panggilan keluar kini menggunakan satu nombor telefon. Sejak pertengahan April, semua panggilan daripada Lembaga CPF dibuat menggunakan nombor 6227 1188.

Bagi panggilan yang terlepas, pencarum CPF akan menerima SMS gov.sg atau emel daripada alamat yang berakhir dengan @cpf.gov.sg atau @e.cpf.gov.sg dengan butiran panggilan balik.

Lembaga CPF menyatakan peralihan kepada satu nombor telefon itu, bertujuan membantu memudahkan orang ramai untuk mengesahkan sama ada panggilan yang diterima adalah daripada penguasa tersebut atau bukan.

Ia sudah disenaraiputihkan dalam aplikasi ScamShield.

Langkah ini meneruskan usaha Lembaga CPF pada Disember tahun lalu yang mana panggilan keluar datang daripada dua nombor telefon - 6227 1188 dan 6202 3388.

CEGAH PENIPUAN

Penipu yang menyamar sebagai para pegawai pemerintah mungkin memetik butiran peribadi, seperti nama atau nombor kad pengenalan, untuk kelihatan sah, menurut Lembaga CPF.

"Jangan secara automatik mempercayai seseorang hanya kerana mereka mempunyai maklumat peribadi anda," tambah lembaga itu.

"Penipu mungkin juga menghubungi telefon bimbit atau telefon rumah anda untuk mendakwa bahawa terdapat isu-isu dengan akaun CPF atau Singpass anda, atau berlaku kegiatan jenayah seperti pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan akaun anda, dan meminta butiran peribadi."

Jika butiran peribadi diperlukan, kakitangan Lembaga CPF akan menggunakan SingPass untuk mengesahkan identiti pencarum, tambahnya.

Para pegawai pemerintah tidak akan meminta orang ramai memindahkan wang, mendedahkan butiran log masuk bank, memuat turun aplikasi mudah alih daripada app store tidak rasmi atau memindahkan panggilan kepada polis.

Para pencarum CPF berusia 55 tahun dan ke atas boleh mempertingkat keselamatan simpanan CPF mereka dengan mengaktifkan Kunci Pengeluaran CPF atau 'CPF Withdrawal Lock', yang tidak membenarkan pengeluaran CPF dibuat online apabila mereka tiada perancangan terdekat untuk membuat sebarang pengeluaran, tambah Lembaga CPF.

Mereka yang sedang menerima bayaran CPF ke dalam akaun peribadi boleh mempertimbangkan untuk mengaktifkan Kunci Wang atau 'Money Lock' bank masing-masing untuk melindungi simpanan bank mereka.

"Pencarum yang mengesyaki diri mereka sudah diperdaya dalam penipuan melibatkan simpanan CPF mereka harus membekukan akaun bank, menukar kata laluan Singpass dan mengaktifkan Kunci Pengeluaran CPF untuk menghalang pengeluaran segera CPF," menurut lembaga itu.

"Mereka harus segera membuat aduan polis dan memaklumkan kepada Lembaga CPF."

Pada 2024, sekurang-kurangnya S$1.1 bilion lesap akibat penipuan - iaitu naik 70.6 peratus berbanding 2023, menurut statistik tahunan Pasukan Polis Singapura (SPF).

Jumlah keseluruhan kes penipuan juga melonjak 10.6 peratus kepada 51,501 kes pada 2024. Daripada jumlah ini, kes pindahan yang dibuat individu secara sukarela kepada penipu menyumbang kepada 82.4 peratus tahun lalu.

Penipuan melibatkan penyamaran sebagai para pegawai pemerintah juga menyaksikan "kenaikan ketara", dengan kerugian S$151.3 juta.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita