Mahu bantu kanak-kanak tangani isu kesihatan mental cetus minat lulusan GCE A ini dalam psikologi
SINGAPURA: Sekitar 93.9 peratus calon lulus sekurang-kurangnya tiga mata pelajaran H2 dalam peperiksaan GCE Peringkat A tahun lalu.
Mereka juga lulus dalam mata pelajaran Kertas Am atau Pengetahuan dan Penyelidikan.
Secara keseluruhannya, 10,899 calon menduduki peperiksaan GCE Peringkat A dalam kohort tersebut.
“Ini adalah setanding dengan prestasi calon dalam Peperiksaan GCE Peringkat A pada tahun-tahun sebelumnya,” menurut Kementerian Pendidikan (MOE) dan Lembaga Peperiksaan dan Penilaian Singapura (SEAB).
Pada tahun sebelumnya, kadar yang dicatat adalah 93.5 peratus.
BERKORBAN MASA DENGAN KELUARGA
Antara yang menerima keputusan GCE A kali ini ialah Nurul Shafiqah Razali, 20 tahun.
Bekas penuntut Institut Millennia itu boleh berbangga dengan pencapaiannya setelah berkorban masa untuk ulang kaji pelajaran.
Menurutnya, beliau menghabiskan lebih banyak masa dengan buku di perpustakaan daripada meluangkan masa bersama keluarga sewaktu tempoh membuat persediaan.
Hampir setiap hari, Shafiqah akan meluangkan masa mengulang kaji di perpustakaan, dengan menghabiskan sehingga lapan jam di sana pada waktu hujung minggu.
"Antara cabaran yang saya hadapi ialah kesingkatan masa kerana saya harus mengimbangi setiap mata pelajaran dan menghafal setiap kandungan dan pada yang masa itu juga, saya harus mencari masa untuk berjumpa dengan guru bagi sesi konsultasi," kongsi Shafiqah kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
"Saya akan mengorbankan masa bersama keluarga kerana selalunya setiap hujung minggu, kita akan keluar tetapi untuk mencari lebih banyak masa, saya akan mengorbankan masa keluarga untuk bersama buku," tambahnya.
Sungguhpun begitu, Shafiqah memastikan untuk memberikan dirinya sedikit kelonggaran agar dapat menjaga kesihatan mental dan fizikalnya.
MINAT DALAM BAHASA DAN SASTERA MELAYU
Pelajar yang berbakat dalam bidang seni itu juga mula jatuh cinta dengan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu apabila mula didedahkan kepada keindahannya waktu di Institut Millennia.
"Saya minat dengan bahasa Melayu kerana saya suka sangat menulis cerita naratif kerana bahasanya yang bebas dengan bunga-bunga kata dan peribahasa dan saya dapat menonjolkan lagi jalan cerita saya. Untuk sastera Melayu pula, saya suka dengan irama dan kesingkatan kata-kata yang telah menonjolkan apa yang tersurat dalam hati," kongsi Shafiqah.
Beliau juga pernah dilantik sebagai Sahabat Sastera untuk berkongsi minatnya itu kepada rakan sebaya di bawah satu inisiatif oleh Majlis Bahasa Melayu Singapura.
Dengan bimbingan para mentor di bawah inisiatif itu, Shafiqah juga berpeluang untuk mengarang puisinya sendiri.
"Saya tidak mempunyai pengalaman dari sekolah menengah untuk mendalami sastera Melayu. Dengan program ini, saya telah mempelajari irama dan sebagainya untuk mengenal pasti kandungan karya-karya sukatan pelajaran dan ia juga telah membuat saya lebih gemar untuk merekakan sajak saya sendiri," ujar Shafiqah.
AKTIF DALAM KEGIATAN SEKOLAH
Selain memberikan tumpuan kepada akademik, Shafiqah juga aktif dalam kegiatan-kegiatan sekolah.
Pelajar itu berkhidmat dalam Majlis Perwakilan Pelajar dan turut menggalas pelbagai tanggungjawab dan peranan termasuk sebagai artis, kurator dan pengendali pameran seni sekolahnya itu pada 2022.
Hasil disiplin dan ketekunan dalam mengimbangi masanya, Shafiqah berjaya meraih keputusan yang memuaskan.
"Individu yang menjadi inspirasi dan telah memberikan motivasi ialah ibu saya. Ibu saya ialah seorang yang sangat kuat dan telah mengorbankan tenaga dan masa untuk melakukan apa-apa sahaja untuk anak-anaknya. Saya ingin membanggakannya menerusi akademik dan memberikannya kehidupan yang lebih baik," menurut Shafiqah.
Pelajar itu berharap dapat melanjutkan pelajaran dalam bidang Psikologi di universiti kelak.
"Saya ingin memahami cara individu-individu berfikir dan apa sebabnya mereka bersikap begitu dan saya ingin menceburi dalam kalangan kanak-kanak kerana saya suka sangat dengan kanak-kanak dan saya ingin menolong kanak-kanak yang menghadapi kesukaran mental," jelas Shafiqah, yang mempunyai dua orang adik.
LULUSAN GCE PERINGKAT A BOLEH KURANGKAN TEMPOH DAPAT DIPLOMA POLITEKNIK
Butiran lanjut mengenai proses kemasukan dalam AU boleh diperolehi di laman universiti.
Para pemohon juga boleh pergi langsung ke AU pilihan untuk mendapatkan penjelasan lanjut.
Lulusan GCE A yang layak dan berhasrat untuk melanjutkan pelajaran di politeknik boleh memilih untuk tidak mengambil sesetengah modul dalam sekitar 135 kursus.
MOE menjelaskan bahawa ini boleh mengurangkan tempoh masa mereka untuk mendapatkan diploma politeknik sehingga satu tahun.
Pelajar yang berminat boleh membuat permohonan langsung ke politeknik bermula 23 Feb hingga 7 Mac untuk kemasukan pada April.
Para pelajar juga boleh membuat permohonan pada Ogos 2024 untuk kemasukan pada bulan Oktober.
Butiran lanjut boleh didapatkan di laman web politeknik.
Pelajar juga boleh bertanya kepada guru mereka atau kaunselor Pendidikan dan Bimbingan Kerjaya (ECG) di sekolah mereka untuk mendapatkan panduan mengenai pilihan pendidikan mereka.
Mereka juga boleh merujuk ke portal MySkillsFuture atau MOE CourseFinder untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut tentang pilihan pendidikan, laluan kerjaya dan kursus yang disediakan untuk mereka.
MOE dan SEAB juga menambah bahawa para pelajar boleh membuat temu janji kaunseling ECG sebagai tambahan kepada sokongan yang disediakan oleh pihak sekolah.
Pusat ECG MOE menawarkan khidmat kaunseling online dan dalam talian kepada para calon GCE A dari 9.00 pagi pada 19 Februari hingga 5.00 petang pada 16 Mac.
Pada hari Sabtu pula, pusat itu akan dibuka dari 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.