Mahu anggota keluarga berkeperluan khas terus terjaga jika anda tiada? Skim ini membantu...
Skim Dana Amanah Keperluan Khas MUIS memastikan kebajikan anggota keluarga berkeperluan khas terjaga, walaupun ibu bapa atau anggota keluarga lain meninggal dunia misalnya.
Cik Lenny Marlina (paling kiri) bersama anak dan suaminya. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)
BERITAmediacorp: Nur Harlina, 16 tahun, dikesan mengalami Autisme sejak berusia enam bulan lagi.
Meskipun anak sulung itu mempunyai dua orang adik yang normal, ibu beliau, Cik Lenny Marlina, tetap bimbang tentang kebajikan dan kehidupan Nur Harlina selepas pemergian beliau suami isteri.
"Kebimbangan saya tentu sekali tak ada orang akan jaga dia. Kita tahu mana atau siapa yang akan ada untuk dia, sebaik-baiknya memang adik-beradik. Tapi kalau sekiranya tak ada penjagaan yang betul, sebaiknya kita nak cari tempat jagaan untuk dia, itu semua proses yang akan mengambil masa," kongsi Cik Lenny Marlina, 34 tahun.
Cik Lenny kini menjadi keluarga-keluarga Melayu/Islam dengan anggota keluarga berkeperluan khas, yang layak mendapat bantuan sehingga S$10,000 daripada Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) untuk menubuhkan sebuah dana amanah.
Dipanggil Skim Dana Amanah Keperluan Khas MUIS, ia memastikan kebajikan anggota keluarga sedemikian terjaga, walaupun ibu bapa atau anggota keluarga lain meninggal dunia misalnya.
MUIS sudahpun mengenepikan S$1 juta dolar untuk membantu keluarga berpendapatan rendah dan pertengahan yang memerlukan, menubuhkan dana amanah sedemikian.
Skim Dana Amanah Keperluan Khas MUIS itu akan dikendalikan oleh Special Needs Trust Company (SNTC), menyusuli satu Memorandum Persefahaman (MOU) yang dimeterai kedua-dua pihak hari ini (1 Feb).
Pemeteraian MOU itu disaksikan Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli, Timbalan Ketua Eksekutif MUIS Dr Albakri Ahmad, dan anggota Lembaga Pengarah SNTC, Dr Abdul Majeed Abdul Khader.
KURANG 2% KELUARGA MELAYU SERTAI SKIM DANA AMANAH INI
MUIS menyatakan, maklum balas menunjukkan modal yang diperlukan untuk menubuhkan dana amanah bagi anggota keluarga berkeperluan khas terus menjadi halangan.
Maka itulah kurang dua peratus daripada lebih 600 klien SNTC yang menubuhkan dana amanah seperti itu adalah keluarga Melayu.
Namun dengan skim ini, keluarga-keluarga yang layak akan menerima wang pokok $5,000 untuk membuka akaun.
Sehingga $5,000 lagi akan ditokok kepada akaun itu jika keluarga berkenaan juga menyumbang jumlah yang sama ke dalam dana amanah itu.
Selain wang tunai, mereka boleh memilih untuk memasukkan wang daripada Tabung Simpanan Pekerja (CPF), insurans dan juga hartanah mereka.
Lantaran itu, MUIS dan SNTC berharap, dengan adanya Skim Dana Amanah Keperluan Khas MUIS itu, lebih ramai lagi keluarga Melayu/Islam seperti itu akan tampil menubuhkan dana amanah.
MUIS berharap membantu sehingga 100 keluarga supaya membuka dana amanah seperti itu.
DANA AMANAH TIDAK TERTAKLUK PADA FARAID, IA HIBAH
Namun mengapakah penyertaan skim ini masih lagi rendah?
Selain masalah wang pokok, antara puncanya termasuklah kurang kesedaran serta kekeliruan tentang hukum faraid.
Bagi menjawab persoalan itu, Ustaz Irwan Hadi menjelaskan bahawa jawatankuasa fatwa berpandangan bahawa ia tidak tertakluk kepada hukum faraid, sebaliknya ia berbentuk "hibah".
"Dana amanah ini adalah bentuk hibah, yang mana apabila kita telah mengetepikan harta untuk keperluan anggota keluarga yang ada keperluan istimewa, ia adalah dikira sebagai hibah yang tidak lagi tertakluk kepada faraid tetapi hanya untuk keperluan khusus anggota keluarga yang mempunyai keperluan istimewa," kata Ustaz Irwan Hadi.
BUKAN UNTUK ORANG KAYA SAHAJA
Keluarga yang layak menyertai skim itu hendaklah mempunyai pendapatan seisi rumah tidak melebihi $8,000 atau pendapatan per kapita tidak melebihi $2,000.
Keluarga Cik Lenny Marlina misalnya, yang menetap di rumah HDB lima bilik di Choa Chu Kang, layak kerana pendapatan seisi rumahnya kurang $6,000.
Selepas menerima wang pokok $5,000 daripada MUIS, Cik Lenny Marlina dan suaminya, Mohamad Nahar Johari, merancang untuk turut mencalonkan Nur Harlina sebagai pewaris wang CPF, hartanah dan insurans mereka.
(Gambar: MUIS)
"Dana $5,000 ini bukan dana yang kecil, ini jumlah yang besar jadi ia telah membantu kita menabungkan dana yang secukupnya.
"Dana SNTC telah memberikan saya jaminan, sekiranya kalau saya atau suami dah tak ada di dunia ini, SNTC akan menjaga anak saya Nur Harlina supaya dia dijaga dengan betul," kata Cik Lenny Marlina kepada BERITAmediacorp.
Pengurus Besar SNTC, Cik Esther Tan memberitahu BERITAmediacorp, kebanyakan orang tidak membuka akaun dana amanah kerana bertanggapan bahawa ia mahal dan hanya untuk orang-orang kaya.
"Saya rasa ramai bertanggapan bahawa dana amanah hanya untuk orang kaya. Sebaliknya, kami adalah pertubuhan bukan untuk keuntungan, yang mahu membantu keluarga berpendapatan rendah hingga pertengahan membuat perancangan awal bagi peruntukan untuk anak-anak mereka yang berkeperluan khas," kata Cik Esther.
Malah, jumlah S$5,000 itu juga sebenarnya jauh lebih murah berbanding bayaran pokok yang ditetapkan oleh syarikat-syarikat dana amanah privet, yang boleh menjangkaui $50,000.
MUIS kini merancang untuk mendampingi pelbagai pihak berkepentingan untuk meningkatkan kesedaran tentang skim itu dan berharap anggota masyarakat Islam juga memainkan peranan menggalak keluarga atau kenalan yang mempunyai anggota berkeperluan khas untuk tampil mendapatkan sokongan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.