Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mahkamah tunda keputusan kes Lee Suet Fern berhubung peranannya dalam wasiat terakhir Lee Kuan Yew

Persatuan Guaman (LawSoc) pada Khamis (13 Ogos) memohon untuk melucutkan peguam veteran Lee Suet Fern daripada senarai peguam atas salah laku profesional berhubung cara wasiat terakhir Lee Kuan Yew, perdana menteri pengasas Singapura, dikendalikan.

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah tunda keputusan kes Lee Suet Fern berhubung peranannya dalam wasiat terakhir Lee Kuan Yew

Lee Suet Fern (Gambar: Laman Morgan Lewis)

Diterbitkan : 14 Aug 2020 12:57PM Dikemas Kini : 14 Aug 2020 01:01PM

SINGAPURA: Persatuan Guaman (LawSoc) pada Khamis (13 Ogos) memohon untuk melucutkan peguam veteran Lee Suet Fern daripada senarai peguam atas salah laku profesional berhubung cara wasiat terakhir Lee Kuan Yew, perdana menteri pengasas Singapura, dikendalikan.

Cik Lee, menantu Encik Lee dan isteri Lee Hsien Yang, adalah seorang peguam dengan pengalaman selama 37 tahun dan disenaraikan online sebagai seorang pengarah di Morgan Lewis Stamford.

Peguam Cik Lee, Peguam Kanan Kenneth Tan dan mantan Peguam Negara Walter Woon, menggesa mahkamah supaya menggugurkan kesemua dakwaan terhadapnya, sambil berhujah bahawa mendiang Lee Kuan Yew menyedari tindakannya.

Mahkamah seramai tiga hakim, iaitu badan disiplin tertinggi dalam menangani salah laku peguam, mendengarkan hujah daripada kedua-dua pihak selama lima jam pada Khamis sebelum memutuskan untuk menangguhkan keputusannya. Keputusan akan diumumkan pada satu tarikh kelak.

Tribunal disiplin sebelum ini mendapati Cik Lee bersalah atas dua tuduhan salah laku profesional sebagai seorang peguam.

Tuduhan-tuduhan itu adalah:
- Gagal melindungi kepentingan Lee Kuan Yew dengan menyiapkan dan mengaturkan pelaksanaan wasiatnya sedangkan sepertiga hartanya akan diwarisi oleh suami Cik Lee, dan
- Gagal menasihati Lee Kuan Yew untuk mendapatkan nasihat bebas berhubung sepertiga hartanya yang bakal diwarisi suami Cik Lee

Mendiang Lee Kuan Yew mempunyai tujuh wasiat, dengan enam wasiat pertama disiapkan oleh peguam mendiang, Kwa Kim Li.

Cik Kwa bagaimanapun tidak terlibat dengan wasiat terakhir, yang dipercayai diuruskan sendiri oleh Cik Lee kerana Cik Kwa tidak berada di sini ketika itu dan Lee Kuan Yew meminta wasiatnya yang pertama dijadikan sebagai wasiat terakhirnya. Wasiat tersebut disiapkan dan dilaksanakan pada Disember 2013.

Wasiat terakhir itu berbeza daripada yang keenam kerana ia mengembalikan pembahagian sama rata harta Lee Kuan Yew buat ketiga-tiga anaknya - Perdana Menteri Lee Hsien Loong, Lee Hsien Yang dan Lee Wei Ling, dan memasukkan semula klausa agar rumah mendiang Encik Lee di 38 Oxley Road dirobohkan.

Tribunal disiplin mendapati bahawa Cik Lee menggesa Lee Kuan Yew supaya menandatangani wasiat itu dengan "segera" tanpa kehadiran atau pelibatan Cik Kwa, yang melanggar peraturan yang ditetapkan bagi para peguam yang melarang mereka daripada menyiapkan wasiat di mana anggota keluarga mereka berkemungkinan 'mewarisi sebahagian besar" daripada wasiat tersebut.

CIK LEE HANYA KIRIMKAN WASIAT: PEGUAM BELA

Peguam Cik Lee bagaimanapun berhujah bahawa beliau setakat mengirimkan salinan wasiat pertama yang diperolehi daripada suaminya Lee Hsien Yang, dan sebenarnya tidak terlibat dalam menguruskan wasiat tersebut.

Lantas, beliau tidak bertindak sebagai peguamnya dan tiada pelanggaran peraturan dan maka itu tidak perlu untuk melucutkannya daripada senarai peguam.

Meskipun terdapat pelanggaran teknikal, tindakan yang diusulkan terhadap Cik Lee tidak seharusnya diambil, kata Prof Woon.

Merujuk kepada Lee Kuan Yew sebagai MM atau Menteri Pembimbing, Prof Woon berkata: "(Walaupun terdapat) pelanggaran teknikal ... kita perlu merujuk kepada persoalan sama ada perlu untuk mengenakan tindakan sedemikian? MM sendiri adalah seorang peguam. Beliau adalah seorang peguam yang hebat. Wasiat bukan dokumen yang rumit. Beliau sudah membacanya dan beliau memahaminya. "

Beliau juga berkata Lee Kuan Yew ketika itu sudah menyuruh penolong peribadinya supaya memberitahu peguam tetapnya Cik Kwa selepas menandatangani wasiat akhir bahawa ia dipersetujui oleh ketiga-tiga orang anaknya.

"Agak jelas MM sedar apa yang beliau lakukan. Tiada alasan untuk mengenakan tindakan apa pun di bawah Akta Kerjaya Guaman," kata Prof Woon, yang turut berhujah melalui Zoom di hadapan Hakim Besar Sundaresh Menon dan Hakim Judith Prakash dan Woo Bih Li, dengan Lee Hsien Yang menghadirinya sebagai pemerhati.

Prof Woon juga mengkritik dapatan tribunal disiplin, dengan berkata bahawa menyimpulkan bahawa Lee Kuan Yew diperdaya adalah sesuatu yang "sangat tidak munasabah" dan berkata adalah tidak boleh diterima sama sekali apabila tribunal berkenaan mengkritik integriti Cik Lee dan suaminya tanpa bukti yang jelas untuk menyokong kesimpulan tersebut.

Tribunal disiplin sebelum ini mendapati Cik Lee sebagai "saksi yang bermuslihat, yang menggambarkan dirinya sebagai mangsa yang tidak bersalah dan telah difitnah".

Ia juga menyifatkan tingkah laku Lee Hsien Yang "sama-sama bermuslihat", dengan berkata bahawa beliau "berbohong kepada orang ramai" dan kepada tribunal tersebut dan cuba "menyembunyikan bagaimana beliau dan isterinya telah memperdayakan ayahnya sendiri, Encik Lee (Kuan Yew), berhubung wasiat terakhir ”.

Prof Woon berkata LawSoc belum membuktikan bahawa Cik Lee bertindak sebagai peguam Lee Kuan Yew, dan sebaliknya mendakwa bahawa beliau bertindak sebagai menantunya, yang secara kebetulan memiliki sebuah firma guaman.

DAPATAN TRIBUNAL CEMAR NAMA BAIK LEE KUAN YEW: WALTER WOON

"Jika kita melihat kepada buktinya secara menyeluruh, mengetahui bahawa MM memahami (wasiat tersebut), tidak ada alasan untuk mengenakan tindakan," kata Prof Woon. "Dapatan tribunal disiplin bahawa (Encik Lee) adalah seorang lelaki uzur berusia 90 tahun yang tidak memahami wasiatnya sendiri walaupun setelah membacanya berulang kali... (beliau) pada dasarnya ibarat sudah nyanyuk, itulah yang dikatakan tribunal."

"Ingin saya katakan ini mencemari nama baik Lee Kuan Yew. Anda mengatakan kepada dunia bahawa beliau adalah seseorang yang sudah nyanyuk. Dan ini tidak boleh diterima sama sekali. Semua tuduhan harus digugurkan."

Beliau menambah bahawa wasiat terakhir Lee Kuan Yew "bukan wasiat baru" tetapi yang lama yang sebelumnya ditandatangani pada 2011 dan dibincangkan bersama keluarga dan peguamnya.

Mengenai tuduhan bahawa Cik Lee sepatutnya menasihatkan Lee Kuan Yew supaya mendapatkan nasihat bebas, Prof Woon berkata: "Apa yang seharusnya beliau nasihatkan? 'Adakah anda benar-benar pasti mahu memberikan sepertiga bahagian kepada suami saya?'

"Untuk memberitahu MM - Saya tidak boleh melakukannya, anda perlu mendapatkan nasihat guaman bebas ibarat menghina kebijaksanaannya. Ia memberikan gambaran (MM) tidak tahu apa yang perlu dilakukannya. Beliau pasti naik berang. (Kemarahan) itu pasti boleh didengar sampai ke Istana. "

Beliau berkata LawSoc dan tribunal disiplin terlalu menumpukan perhatian tanpa mempertimbangkan gambaran lebih luas, dengan mengatakan seolah-olah tidak cukup untuk menunjukkan bahawa terdapat pelanggaran, tingkah laku juga sudah cukup untuk mewajarkan tindakan diambil.

Peguam utama LawSoc, Koh Swee Yen dari WongPartnership, menggesa mahkamah supaya menegakkan dapatan tribunal dan mengenakan tindakan paling berat terhadap Cik Lee.

TRIBUNAL DAPATI LEE SUET FERN KURANG KREDIBILITI: LAWSOC

Cik Koh turut menggesa mahkamah supaya meneliti dapatan tribunal terhadap "kredibiliti" Cik Lee dan suaminya.

Mahkamah tiga hakim itu berulang kali menyoal kedua-dua peguam LawSoc dan peguam Cik Lee berhubung hujah-hujah yang dikemukakan oleh kedua-dua belah pihak.

Hakim Prakash meminta Cik Koh supaya merujuk kepada tuduhan-tuduhan yang dikemukakan dan tidak membentangkan kes yang berbeza, sementara Hakim Besar Sundaresh Menon tidak bersetuju dengan Prof Woon bahawa LawSoc harus membuktikan bukan setakat pelanggaran peraturan, tetapi apa yang dilakukan "adalah memalukan". 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan