Skip to main content

Singapura

Mahkamah tolak tuntutan pemecatan tidak sah oleh bekas ketua agensi Prudential, yang sebelum ini buat aduan salah laku kepada MAS

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah tolak tuntutan pemecatan tidak sah oleh bekas ketua agensi Prudential, yang sebelum ini buat aduan salah laku kepada MAS
Bangunan Prudential di Scotts Road. (Gambar: Google Street View)
Diterbitkan : 10 Nov 2025 05:45PM Dikemas Kini : 10 Nov 2025 05:46PM
SINGAPURA: Mahkamah Tinggi menolak kes tuntutan saman kerana dipecat secara tidak sah, yang difailkan oleh bekas ketua agensi Prudential. Beliau mendakwa dirinya dibuang kerja kerana melaporkan salah laku syarikat.

See Jen Sen bekerja untuk Prudential Assurance Co Singapore selama 19 tahun, sebelum perjanjian agensinya ditamatkan pada Mac 2022.

Encik See mendakwa bahawa pemberhentian itu berlaku kerana beliau menjadi pemberi maklumat mengenai dakwaan salah laku Prudential dalam perniagaannya kepada Penguasa Kewangan Singapura (MAS).

Dalam penghakiman yang dikeluarkan pada Isnin (10 Nov), Hakim Choo Han Teck menolak semua tuntutan See bagi pemecatan kerja yang tidak adil, pengayaan tidak adil dan tuntutan di bawah Akta Syarat Kontrak yang Tidak Adil.

Beliau juga menolak tuntutan balas oleh Prudential, yang menyatakan bahawa ia mengalami kerugian kerana Encik See melanggar klausa dalam perjanjian agensi.

Encik See diwakili oleh Ragbir Singh Ram Singh Bajwa dari Bajwa & Co dan Gan Teng Wei dari Castle Law, manakala Prudential diwakili oleh Terence Seah dan Joavan Christopher Pereira dari JWS Asia Law.

KES TERSEBUT

Encik See adalah seorang ejen, pengurus bersekutu dan pemimpin agensi di Prudential.

Pada Oktober 2020, beliau adalah pengarah perkhidmatan kewangan di Prudential apabila beliau mendapat tahu mengenai iklan insurans hayat di media sosial oleh wakil-wakil Prudential dan pihak ketiga.

Encik See percaya bahawa ini tidak mematuhi garis panduan pengiklanan yang ditetapkan oleh MAS.

Encik See membangkitkan kebimbangannya kepada pasukan pematuhan Prudential pada Oktober 2020 dan menulis kepada ketua pegawai eksekutif Prudential pada masa itu, yang merujuk aduannya kepada ketua pegawai risiko syarikat.

Siasatan dijalankan selama sekitar tiga bulan tanpa hasil, kata Hakim Choo.

Selepas itu, Encik See menulis kepada Penguasa Kewangan Singapura sebanyak 13 kali antara Mei 2021 dengan Oktober 2021 di bawah nama samaran "Patrick Goh" untuk memaklumkan kepada MAS tentang pelanggaran tersebut.

Pada 7 Mac 2022, Prudential menyerahkan notis pemecatan kerja di bawah perjanjian agensi kepada Encik See, dengan memberi notis 14 hari kepadanya.

Encik See sebaliknya menyaman Prudential kerana melakukan pemecatan secara salah, sambil mendakwa beliau dipecat kerana menjadi seorang pemberi maklumat.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita