Skip to main content

Singapura

Mahkamah tolak saman ganti rugi S$1.7 juta bekas pramugara terhadap SIA

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah tolak saman ganti rugi S$1.7 juta bekas pramugara  terhadap SIA

(Gambar: CNA/Koh Wan Ting)

Diterbitkan : 19 Oct 2024 08:48AM
SINGAPURA: Mahkamah pada Jumaat (18 Okt) menolak tuntutan seorang bekas anak kapal, yang meminta ganti rugi lebih S$1.7 juta daripada Singapore Airlines (SIA) selepas mendakwa tergelincir akibat tompok gris dan terjatuh ketika berada di dalam pesawat.

Ketika menolak dakwaan Encik Durairaj Santiran, Hakim Vinodh Coomaraswamy berkata "tiada kawasan licin di lantai" pesawat itu dan sekalipun ada, syarikat penerbangan itu tidak melanggar kewajipannya untuk menjaga pramugara itu.

Hakim berkata Encik Durairaj bukan saksi yang boleh dipercayai kerana terdapat beberapa "perbezaan bukti, mementingkan diri sendiri dan tidak dapat dijelaskan bukti yang dikemukakan" dalam tuntutan dan keterangan yang diberikannya di mahkamah di bawah pemeriksaan balas.

KES BEKAS PRAMUGARA

Encik Durairaj bekerja sebagai pramugara pesawat A350 dalam penerbangan kira-kira 17 jam dari San Francisco ke Singapura pada September 2019.

Penerbangan itu berada di peringkat akhir perjalanan apabila dia terjatuh.

Dia dibawa keluar dari pesawat dengan kerusi roda apabila ia mendarat di Lapangan Terbang Changi, dan dia didiagnos dengan 'cervical disc prolapse' atau tulang belakang berganjak keluar dari tempat asal (slipped disc).

Awal tahun ini, dia menyaman SIA, menuntut lebih S$1.7 juta sebagai ganti rugi.

Dalam versinya, Encik Durairaj berkata dia melihat tompok gris di lantai dapur kelas ekonomi selepas tukang cuci meninggalkan ruang itu.

Dia juga berkata dia memaklumkan kepada pihak atasan mengenai tompok itu sebelum penerbangan berlepas, dan diberitahu untuk membersihkan tompok gris itu dengan semburan pembersih disinfektan dan tuala kertas.

Kemudian dalam penerbangan, Encik Durairaj mendakwa dia tergelincir pada tompok gris itu dan jatuh terlentang.

Tuntutannya merujuk kepada ketidakupayaannya yang berpunca daripada pelanggaran kewajipan syarikat penerbangan itu terhadapnya sebagai majikannya, selain menyediakan tempat kerja yang selamat dan sistem kerja yang selamat.

Encik Durairaj juga mendakwa bahawa dia mengalami kesakitan dan ketidakselesaan pada bahagian belakang dan leher semasa duduk, berdiri, berjalan atau berlari.

"TIADA KAWASAN LICIN" DALAM PESAWAT

Walaupun Singapore Airlines (SIA) mengakui bahawa Encik Durairaj terjatuh semasa dalam penerbangan itu, ia menafikan terdapat kawasan licin di lantai pesawat.

SIA juga menafikan bahawa dia telah mengalami kecederaannya kerana SIA melanggar tanggungjawab untuk menjaganya.

Menurut hakim, keterangan Encik Durairaj mengenai insiden itu berbeza dengan keterangan kakitangan lain yang bertugas dalam penerbangan itu.

Selepas mendengar keterangan saksi-saksi lain, beliau berkata Encik Durairaj bukan saksi yang boleh dipercayai.

Hakim Coomaraswamy berkata terdapat beberapa perbezaan yang bersifat "mementingkan diri sendiri" antara keterangannya di mahkamah dan apa yang dinyatakan dalam afidavitnya.

Dalam afidavitnya, Encik Durairaj menyatakan bahawa dia telah memaklumkan kepada pegawai atasannya tentang "tompok gris" di lantai dapur "sebaik sahaja selepas mengesannya dan dia telah cuba membersihkannya hanya selepas atasannya mengarahkannya berbuat demikian.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita