Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mahkamah tolak rayuan kurangkan hukuman lelaki yang rogol 4 anak perempuan

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah tolak rayuan kurangkan hukuman lelaki yang rogol 4 anak perempuan

Gambar: AFP/ Roslan Rahman

Diterbitkan : 09 Sep 2022 05:02PM Dikemas Kini : 20 Sep 2022 11:01PM
SINGAPURA: Mahkamah Rayuan pada Jumaat (9 Sep) menolak rayuan terhadap hukuman oleh seorang lelaki yang mencabul kehormatan empat anak perempuannya selama 14 tahun.

Lelaki yang berusia 45 tahun itu, yang tidak boleh didedahkan namanya disebabkan perintah mahkamah untuk melindungi identiti anak perempuannya, dijatuhi hukuman penjara 33 tahun dan dua bulan pada Mac lalu. Dia juga dikenakan maksimum 24 sebatan rotan.

Lelaki itu mengaku bersalah atas tujuh dakwaan rogol, serangan seksual melibatkan penembusan, mencabul kehormatan dan penganiayaan anak. Lagi 26 dakwaan dipertimbangkan.

Dia merogol dan mencabul kehormatan empat orang anak perempuannya antara 2004 dengan 2018 dan tidak memberikan makanan selama 5 hari dalam tahun 2018 apabila marah dengan mereka.

Selepas menjatuhkan hukuman itu, hakim menyatakan penderaan tersebut "dahsyat" dan merupakan salah satu "kes rogol dan serangan seksual paling teruk" yang pernah beliau lihat.

Pada Jumaat (9 Sep), lelaki itu mengemukakan rayuan terhadap hukumannya dan meminta hukuman penjara dikurangkan kepada 30 tahun.

Bercakap menerusi seorang jurubahasa kepada Ketua Hakim Sundaresh Menon dan hakim Judith Prakash serta Tay Yong Kwang, lelaki itu berkata: "Saya merayu kepada hakim jika boleh untuk mengurangkan hukuman saya."

"Saya ingin menekankan bahawa saya pesalah kali pertama dan bukan pesalah berulang, oleh itu saya meminta untuk mengurangkan hukuman saya," kata lelaki itu. Dia menambah bahawa dia tidak meminta "untuk dilepaskan".

Hakim Justice Menon berkata: "Dia boleh berkata bahawa dia pesalah kali pertama namun kesalahannya berlaku sepanjang tempoh bermula dari 2004 hingga 2015 jadi dalam jangka yang panjang, malah, ia berlaku hingga 2018 dan terdapat 33 dakwaan secara keseluruhan.

Beliau menyatakan bahawa 24 daripada dakwaan tersebut merupakan kesalahan seksual "terhadap anaknya sendiri", jadi kes ini tidak boleh dilihat sebagai kesalahan pertama kali.

Sebaliknya, ia satu "kelakuan yang berterusan sepanjang tempoh yang panjang," kata Ketua Hakim.

Lelaki itu kemudian mula bercakap tentang beberapa bukti yang dalam kes tersebut yang "kurang jelas". Dia bertanya mengapa salah seorang mangsa tidak mahu menjalani pemeriksaan dan berkata bahawa ia "tidak adil" untuk mahkamah menjatuhkan hukuman sebegitu jika bukti tidak jelas.

"Sebagai contoh, jika tiada contoh jelas dalam kes ini... DNA daripada pakaian seseorang boleh berpindah ke pakaian orang lain, tetapi tidak bermakna ia datang daripada saya, ia boleh datang daripada orang lain," katanya.

Ketua Hakim berkata bahawa lelaki itu merayu untuk dikurangkan hukumannya dan bukan menentang sabitannya dan "tiada persoalan tentang kebersalahannya dalam perkara ini".

Lelaki itu kemudian memberi satu lagi alasan untuk cuba mengurangkan hukumannya.

"Saya berharap saya dapat menunaikan umrah. Jika saya dilepaskan nanti pada usia 65 ke atas, saya takut tidak kuat untuk menjalankan umrah," katanya.

Ketua Hakim menyatakan ini "tidak akan memberi sebarang perbezaan" kerana tertuduh meminta hukuman dikurangkan dua tahun dan beliau tidak rasa ia relevan.

"Kami tolak rayuan itu," kata Ketua Hakim Menon. "Tiada kesilapan pada penilaian hakim."
Sumber : CNA/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan