Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mahkamah tolak permohonan 22 banduan dihukum mati berhubung surat dihantar penjara ke AG

Sebuah mahkamah telah menolak permohonan oleh 22 banduan yang dihukum mati untuk mendapatkan maklumat berhubung surat-surat yang dikatakan peribadi dari dua banduan kepada peguam dan keluarga mereka yang telah dihantar oleh Khidmat Penjara Singapura (SPS) ke Pejabat Peguam Negara (AGC).

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah tolak permohonan 22 banduan dihukum mati berhubung surat dihantar penjara ke AG

(Gambar: SPS)

Diterbitkan : 16 Mar 2021 08:32PM Dikemas Kini : 16 Mar 2021 08:37PM

SINGAPURA: Sebuah mahkamah telah menolak permohonan oleh 22 banduan yang dihukum mati untuk mendapatkan maklumat berhubung surat-surat yang dikatakan peribadi dari dua banduan kepada peguam dan keluarga mereka yang telah dihantar oleh Khidmat Penjara Singapura (SPS) ke Pejabat Peguam Negara (AGC).

22 banduan itu, yang diwakili oleh peguam M Ravi, telah memulakan tindakan guaman untuk mendapatkan maklumat daripada Peguam Negara (AG), termasuk identiti mereka yang meminta surat-surat tahanan disampaikan kepada Peguam Negara dan identiti mereka yang mengirimkan maklumat itu.

Banduan-banduan tersebut telah mempertimbangkan untuk meneruskan prosiding undang-undang terhadap Peguam Negara atau pegawainya atas tuduhan melanggar tugas profesional untuk melindungi hak banduan, salah laku di pejabat awam dan ganti rugi atas pelanggaran tersebut.

Dalam keputusan yang dikeluarkan pada Selasa (16 Mar), Hakim See Kee Oon menolak permohonan tersebut, dengan berkata ia bukan forum yang tepat untuk tindakan tersebut. Menurutnya banduan dilarang daripada membuat permohonan sedemikian terhadap AG, dan pendedahan maklumat seperti yang diminta adalah "tidak perlu atau relevan".

22 banduan tersebut adalah: Syed Suhail Syed Zin, Gobi Avedian, Datchinamurthy Kataiah, Moad Fadzir Mustaffa, Hamzah Ibrahim, Iskandar Rahmat, Lingkesvaran Rajendaren, Norasharee Gous, Nazeri Lajim, Saminathan Selvaraju, Rosman Abdullah, Roslan Bakar, Masoud Rahimi Mehrzad, Zamri Mohd Tahir, Pannir Selvam Pranthaman, Fazali Mohamed, Rahmat Karimon, Tan Kay Yong, Ramdhan Lajis, Jumaat Mohamed Sayed, Tangaraju Suppiah dan Muhammad Faizal Mohd Shariff.

Kecuali Iskandar Rahmat, bekas pegawai polis yang terlibat dalam dua pembunuhan di Kovan pada 2013, yang lainnya sedang menantikan hukuman gantung atas kesalahan mengedar dadah.

Hujah utama AG bersandarkan pada hakikat bahawa banduan tersebut tidak mempunyai sebab untuk mengajukan permintaan mereka terhadap Pemerintah. Pun begitu, AG secara sukarela mendedahkan semua surat-menyurat yang mereka terima dari penjara demi ketelusan.

AG juga berhujah bahawa kuasa mahkamah untuk mengarahkan permohonan yang diminta oleh para banduan tertakluk kepada batasan undang-undang, dan dapat diarahkan terhadap Pemerintah hanya jika ada proses sivil tertentu yang tidak termasuk dalam kes ini.

Hakim See berkata, mahkamah sebelumnya telah menyatakan bahawa meskipun Peraturan Penjara membenarkan penjara membuat salinan surat-menyurat banduan bagi tujuan pentadbiran dalam memeriksa dan merakam surat, mereka tidak dibenarkan untuk mengirimkan surat-surat tersebut ke AGC.

Sekiranya AGC ingin mendapatkan salinan surat tersebut, ia perlu mendapatkan persetujuan banduan berkenaan atau perintah mahkamah.

"Namun, mahkamah juga akur bahawa insiden tersebut berlaku atas kesilapan pihak AGC dan bukan percubaan untuk mencari kelebihan dalam prosiding tersebut," kata Hakim See.

Beliau merujuk kepada keputusan sebelumnya yang menunjukkan risiko yang mungkin timbul daripada permohonan dibuat sembarangan sebelum kes itu diselesaikan.

Beliau menambah wadah yang tepat bagi proses disiplin yang disebut para banduan adalah Tribunal Disiplin Persatuan Guaman, dan berkata mereka "berpotensi mempunyai sebab untuk mengambil tindakan terhadap Pemerintah melalui tindakan sivil yang difailkan terhadap AG".

Menurut laman Facebook peguam M Ravi, banduan-banduan itu harus membayar kos S$10.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan