Skip to main content

Singapura

Mahkamah Tinggi tolak rayuan SDP terhadap arahan POFMA berhubung rencana "10 juta penduduk"

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 10 May 2022 06:31PM Dikemas Kini : 10 May 2022 09:19PM

SINGAPURA: Seorang hakim Mahkamah Tinggi pada Selasa (10 Mei) menolak cabaran Parti Demokratik Singapura (SDP) terhadap satu arahan pembetulan yang dikeluarkan di bawah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi dalam Talian (POFMA).

Parti itu diarah membayar Peguam Negara kos guaman sebanyak S$7,000.

Hakim Woo Bih Li memutuskan bahawa SDP 'dengan sengaja memasukkan' dakwaan bahawa jumlah penduduk Singapura akan meningkat sehingga hampir 10 juta orang menjelang 2030 dalam satu kenyataan media, walaupun tahu ia tidak benar.

Parti tersebut menyatakan maklumat itu berdasarkan unjuran seorang kakitangan awam kanan.

Arahan pembetulan itu, berkaitan dengan dakwaan dibuat SDP semasa kempen Pilihan Raya Umum 2020.

Dalam satu perbahasan di televisyen, ketua parti Chee Soon Juan berkata bahawa Pemerintah merancang atau "meneroka idea" untuk mempunyai 10 juta penduduk di Singapura.

Parti itu berkempen bagi pengundi mengatakan 'tidak' kepada jumlah tersebut.

SDP menyatakan bahawa jumlah itu menjadi buah mulut dalam perbincangan awam. Ia juga merujuk kepada sebuah rencana di akhbar The Straits Times pada Mac 2019, yang mengandungi kenyataan Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat tentang jumlah penduduk.

Tajuk itu mencetuskan perbahasan hangat antara Dr Chee dan Dr Vivian Balakrishnan dari Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Menyusuli perbahasan itu, Encik Heng dan The Straits Times menjelaskan bahawa Pemerintah tidak pernah mencadangkan or menetapkan sasaran untuk menambah jumlah penduduk Singapura kepada 10 juta orang.

KENYATAAN MEDIA

Sehari selepas perbahasan itu, SDP menerbitkan kenyataan media dalam Facebooknya di mana ia mendakwa bahawa Ketua Eksekutif Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), Dr Cheong Koon Hean, telah berkata bahawa kepadatan penduduk Singapura akan meningkat daripada 11,000 penduduk bagi setiap kilometer persegi kepada 13,700 antara sekarang dengan 2030.

“Ini bermakna jumlah penduduk kita akan meningkat kepada hampir 10 juta menjelang 2030,” tambah SDP.

PAP sudahpun meminta SDP memohon maaf kerana mengelirukan rakyat Singapura dengan angka tersebut. Tetapi SDP enggan menarik balik kenytaan tersebut, sambil menjawab bahawa ia tidak mengada-adakan angka itu dan sudah mencapai salah satu matlamat kempennya.

Pejabat POFMA kemudian diarah untuk mengeluarkan arahan pembetulan kepada SDP.

Arahan itu menjelaskan bahawa Dr Cheong merujuk kepada kepadatan tanah di kawasan bandar, bukan kepadatan penduduk, dalam ucapannya semasa Siri Kuliah IPS-Nathan pada April 2018.

Kepadatan kawasan bandar hanya mengambil kira tanah yang ada di kawasan bandar dan tidak termasuk tanah yang digunakan untuk pelabuhan, lapangan terbang dan pertahanan serta tujuan lain.

Permohonan SDP untuk membatalkan arahan pembetulan itu ditolak oleh Menteri Pembangunan Negara.

Parti itu kemudian membuat rayuan kepada Mahkamah Tinggi berdasarkan kenyataan mereka adalah satu pendapat yang tidak tertakluk di bawah POFMA.

Mereka juga berhujah bahawa ia bukan kenyataan palsu tentang sesuatu fakta.

Rayuan itu ditangguhkan sehingga selepas Mahkamah Rayuan mengeluarkan set penghakiman pertamanya ke atas POFMA pada Oktober tahun lalu. POFMA berkuat kuasa dua tahun sebelumnya.
 

Sumber : Today/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita