Skip to main content

Singapura

Mahkamah Tinggi SG tolak permohonan rayuan buruan Indonesia, Paulus Tannos cabar proses ekstradisi

Anggaran Waktu Membaca:
 Mahkamah Tinggi SG tolak permohonan rayuan buruan Indonesia, Paulus Tannos cabar proses ekstradisi

Paulus Tannos, yang ditahan reman di Singapura sejak 17 Jan 2025. (Gambar: petikan dari kpk.go.id)

Diterbitkan : 02 Jun 2026 02:38PM Dikemas Kini : 02 Jun 2026 02:40PM
SINGAPURA: Mahkamah Tinggi Singapura menolak permohonan ahli perniagaan Indonesia, Paulus Tannos, untuk mencabar keputusan yang memulakan prosiding ekstradisi terhadapnya ke Indonesia atas dakwaan pembabitannya dalam satu kes rasuah utama.

Dalam keputusan yang dikeluarkan pada Jumaat (29 Mei), Hakim Aidan Xu memutuskan bahawa Tannos, 71 tahun, gagal mengemukakan asas yang kukuh bagi membolehkan semakan kehakiman dibuat terhadap keputusan Menteri Undang-Undang Singapura untuk meneruskan permintaan ekstradisi oleh Indonesia.

Tannos, yang memegang status penduduk tetap Singapura, dikehendaki oleh Komisi Pemberantasan Korupsi Indonesia (KPK) atas dakwaan pembabitannya dalam skim rasuah berkaitan projek kad pengenalan elektronik negara itu, atau projek e-KTP.

Dia didakwa terlibat dalam pembayaran rasuah bagi mendapatkan tender projek e-KTP untuk sebuah konsortium, di mana beliau merupakan pengarah presiden bagi salah sebuah syarikat di bawahnya. Dia juga didakwa mengambil bahagian dalam pembayaran rasuah kepada pegawai pemerintah Indonesia selepas tender tersebut dianugerahkan.

Perbuatan rasuah itu didakwa menyebabkan kerugian sekitar 2.3 trilion rupiah (S$165.17 juta) kepada negara Indonesia. Kes ini didakwa berlaku antara tahun 2010 hingga 2013.

Tannos ditangkap oleh pegawai Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) di Singapura pada 17 Januari 2025 ekoran permintaan Indonesia, dan telah ditahan sejak tarikh tersebut.

Singapura menerima permintaan ekstradisi rasmi pada 24 Februari 2025. Pada 18 Mac 2025, Menteri Undang-Undang Singapura mengeluarkan notis di bawah Akta Ekstradisi bahawa Indonesia meminta penyerahan Tannos.

Tannos berulang kali menentang penyerahannya ke Indonesia, dan perbicaraan ekstradisinya sudah bermula di Mahkamah Negara pada Jun tahun lalu. Tannos, yang juga dikenali dengan nama Tjhin Thian Po, turut gagal dalam beberapa usahanya untuk dibebaskan dengan ikat jamin.

Selepas bahagian pertama perbicaraan ekstradisinya selesai, Tannos memfailkan permohonan terkini di Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap notis yang dikeluarkan oleh Menteri Undang-Undang itu.

HUJAH-HUJAH TANNOS

Tannos diwakili oleh peguam Suang Wijaya, Hamza Zafar Malik, dan Faraaz Amzar Mohamed Farook daripada firma Eugene Thuraisingam Asia.

Pihak pendakwaan bagi pihak negara pula dikendalikan oleh Kaunsel Negara Vincent Leow, Sivakumar Ramasamy, Kenneth Chua, Sarah Siaw, dan Emily Zhao daripada Pejabat Peguam Negara (AGC).

Tannos berhujah bahawa notis tersebut melanggar Akta Ekstradisi kerana permintaan yang dibuat tidak mematuhi syarat-syarat di bawah perjanjian ekstradisi Singapura-Indonesia.

Sebagai sebahagian daripada hujahnya, Tannos mendakwa dokumen sokongan bagi permintaan itu, termasuk kenyataan saksi dan waran tangkap, mempunyai kecacatan struktur.

Mengenai perkara itu, Hakim Xu mendapati bahawa pengesahan daripada Peguam Negara Indonesia mematuhi syarat perjanjian, permintaan itu disertakan dengan waran tangkap yang sah, dan kenyataan daripada penyiasat Indonesia adalah mencukupi.

Tannos juga mendakwa bahawa Menteri Undang-Undang telah bertindak secara tidak sah kerana gagal mendapatkan penjelasan daripadanya, gagal memberikan alasan atas keputusannya mengeluarkan notis tersebut, dan gagal mengambil kira faktor lain seperti tempoh masa yang berlalu sejak dakwaan kesalahan itu berlaku.

Bagi hujah ini, Tannos bersandarkan kepada satu peruntukan dalam Akta Ekstradisi Singapura yang menyatakan bahawa menteri tidak boleh mengeluarkan notis ekstradisi jika beliau berpuas hati bahawa, disebabkan faktor masa yang telah lama berlalu sejak dakwaan kesalahan dilakukan, tindakan menyerahkan pelarian itu adalah "tidak adil, menindas, atau hukuman yang terlalu berat".

Dia berhujah bahawa menteri gagal menjelaskan mengapa faktor masa yang telah berlalu tidak menjadikannya "tidak adil, menindas, atau hukuman yang terlalu berat" untuk menyerahkannya, memandangkan keputusan mengeluarkan notis itu memberi kesan langsung kepada kebebasan peribadi seseorang pelarian.

Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi itu menyatakan bahawa keputusan menteri untuk mengeluarkan notis berkenaan tidak membawa kepada kehilangan kebebasan peribadi secara langsung.

Hakim Xu bersetuju dengan hujah pihak pendakwaan negara bahawa keputusan menteri untuk mengeluarkan notis hanyalah langkah awal dalam proses ekstradisi, dan bukannya satu ketetapan muktamad sama ada Tannos harus diekstradisi atau tidak.

Beliau bersetuju dengan pihak negara bahawa perbicaraan ekstradisi selepas ini yang akan menentukan sama ada Tannos perlu ditahan di dalam penjara sementara menunggu waran penyerahannya dikeluarkan.

Beliau merujuk kepada afidavit yang dikemukakan oleh salah seorang kakitangan Menteri Undang-Undang, Encik Neo Eng Hong, yang membantu memproses permintaan ekstradisi tersebut.

Afidavit Encik Neo menyatakan bahawa menteri telah mengambil kira fakta-fakta yang ada di hadapannya, termasuk tempoh had masa untuk mendakwa Tannos di Indonesia yang akan tamat dalam tempoh beberapa tahun lagi. Beliau juga mempertimbangkan bahawa ekstradisi Tannos dituntut atas kesalahan yang serius dan pihak Indonesia tidak melengah-lengahkan masa dalam memohon ekstradisi tersebut.

"Oleh yang demikian, hujah pemohon bahawa responden gagal memberikan penjelasan yang bermakna mengenai alasan menteri adalah tidak berasas," kata Hakim Xu.

Hakim Xu juga menolak hujah Tannos bahawa menteri diwajibkan untuk mendapatkan bantahan daripadanya sebelum mengeluarkan notis berkenaan, sebahagiannya kerana tindakan sedemikian akan memberi amaran kepada pelarian tentang penangkapan mereka dan memberi peluang untuk mereka melarikan diri.

Hakim menyimpulkan bahawa bukti di hadapannya tidak menunjukkan adanya kes prima facie yang membolehkan semakan kehakiman dilakukan.

Tannos juga memohon semakan terhadap penahanannya, dengan mendakwa bahawa permintaan ekstradisi itu tidak sah atau ia tidak dipenuhi dalam tempoh masa munasabah yang ditetapkan.

Dia berhujah bahawa di bawah syarat perjanjian ekstradisi, penahanannya adalah tidak sah kerana beliau sepatutnya dibebaskan dalam tempoh 45 hari selepas penahanan sementara dilakukan.

Bagaimanapun, memandangkan keputusan Hakim Xu mendapati Tannos gagal membuktikan kes prima facie bahawa permintaan ekstradisi itu tidak sah, hakim menolak permohonan untuk perintah semakan penahanan tersebut.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita