Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mahkamah Tinggi M'sia batalkan tindakan guaman Lawyers for Liberty terhadap Shanmugam: MHA

Prosiding terhadap Menteri K Shanmugam oleh sebuah kumpulan hak asasi manusia Malaysia yang menuduh Penjara Changi melakukan hukuman mati secara kejam, dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Malaysia bulan lalu, kata Kementerian Dalam Negeri (MHA) pada Khamis (1 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah Tinggi M'sia batalkan tindakan guaman Lawyers for Liberty terhadap Shanmugam: MHA

Dari kiri: Pengarah Lawyers for Liberty Melissa Sasidaran, penasihat N Surendran dan peguam mereka Gurdial Singh Nijar dan Ambiga Sreenevasan (Gambar fail: CNA)

Diterbitkan : 01 Oct 2020 03:01PM Dikemas Kini : 01 Oct 2020 03:07PM

SINGAPURA: Prosiding terhadap Menteri Ehwal Dalam Negeri Singapura K Shanmugam oleh sebuah kumpulan hak asasi manusia Malaysia yang menuduh Penjara Changi melakukan hukuman mati secara kejam, dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Malaysia bulan lalu, kata Kementerian Dalam Negeri (MHA) pada Khamis (1 Okt), sambil menyifatkan tindakan guaman kumpulan itu "tidak berasas".

Pada Januari, kumpulan Lawyers for Liberty (LFL) menyatakan pihaknya telah memfailkan usul di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Encik Shanmugam, setelah arahan pembetulan oleh Pejabat POFMA (Akta Perlindungan Daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online) dikeluarkan.

Saman sivil itu, yang difailkan pada 24 Januari, meminta pengakuan dari Mahkamah Tinggi yang menunjukkan bahawa Encik Shanmugam tidak boleh mengambil tindakan terhadap Lawyers for Liberty di Malaysia di bawah POFMA.

Kumpulan itu memberitahu para wartawan bahawa perintah itu adalah "percubaan oleh Singapura untuk menceroboh atau menyekat kebebasan bersuara di Malaysia"

Lawyers for Liberty tidak pernah memfailkan kertas mahkamahnya ke atas Encik Shanmugam, kata MHA pada Khamis.

"Sebaliknya, surat-surat tersebut kemudiannya melepasi tarikh luput dan, atas alasan yang LFL tidak nyatakan, LFL tidak meneruskan permohonannya untuk memperbaharui surat-surat tersebut, dan untuk meneruskan prosiding ke atas menteri itu di Singapura," menurut kementerian itu.

Tindakan Lawyers for Liberty kemudiannya dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Malaysia pada 21 Sep, tambah MHA.

"Tindakan undang-undang LFL tidak berasas, dan itu ditunjukkan oleh hakikat bahawa ia kini memutuskan untuk tidak meneruskan tindakan undang-undang," menurut MHA.

DAKWAAN LAWYERS FOR LIBERTY

Pada 16 Januari, Lawyers for Liberty mengeluarkan kenyataan media yang menuduh cara kejam dalam pelaksanaan hukuman mati di Penjara Changi Singapura.

Dalam kenyataannya, pihaknya mendakwa bahawa pegawai penjara diarahkan untuk "menarik tali pada leher tahanan ke arahnya" dan "menendang bahagian belakang leher tahanan dengan kuat untuk mematahkannya", bila sahaja tali itu putus semasa hukuman gantung.

MHA menjawab pada 22 Januari bahawa tuduhan itu "tidak berasas langsung" dan juga "tidak benar, tidak berasas dan tidak masuk akal".

Arahan pembetulan kemudian dikenakan oleh pejabat POFMA terhadap Lawyers for Liberty, bersama dengan tiga pihak lain - catatan Facebook Kirsten Han, rencana online oleh The Online Citizen dan catatan Facebook oleh Yahoo Singapore.

Lawyers for Liberty menyatakan ketika itu bahawa pihaknya tidak akan mematuhi arahan pembetulan itu, dan menegaskan dakwaannya bahawa tahanan yang dijatuhi hukuman mati di Penjara Changi dihukum dengan kejam.

"DAKWAAN SENSASI"

Pada Khamis, MHA menekankan bahawa dakwaan oleh kumpulan itu "liar dan sama sekali tidak benar".

"Tingkah laku LFL dalam memulakan tindakan undang-undang, menerbitkan hal yang sama, dan kemudian gagal melaksanakan perkara tersebut, yang menyebabkan tindakannya dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Malaysia, konsisten dengan tingkah laku LFL sejauh ini," kata MHA.

“LFL membuat dakwaan sensasi terhadap Perkhidmatan Penjara Singapura, dan cara tahanan dilayani, dan berjanji akan mengemukakan bukti.

"Tetapi tiada apa-apa yang dikemukakan untuk menyokong tuduhannya yang liar dan langsung tidak benar itu."

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan